
Kuala Lumpur bakal menjadi saksi kepada sebuah acara muzik yang bukan sekadar menghibur, tetapi turut membawa mesej inspirasi dan emosi mendalam melalui penganjuran Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025.
Bertempat di Mega Star Arena, festival yang bakal diadakan pada Pada 17 Ogos 2025 ini menjanjikan pengalaman muzik yang segar, disampaikan dalam format yang lebih peribadi dan menyentuh hati.
RIF 2025 merupakan hasil kerjasama antara Expoindo dan Thrive, dua nama yang tidak asing lagi dunia penganjuran acara hiburan di rantau ini.
Apa yang membezakan festival ini dengan konsert konvensional adalah pendekatannya yang menggabungkan persembahan muzik dengan ruang perkongsian kisah di sebalik lagu-lagu popular yang bakal dipersembahkan oleh artis terlibat.
“Nama ‘Ruang Inspirasi’ itu sendiri lahir daripada hasrat kami untuk menyediakan satu ruang di mana muzik bukan sahaja menghibur, tetapi juga menyentuh jiwa dan memberi inspirasi,” jelas Bram Tulong, wakil Expoindo.
Menjadi tarikan utama festival ini ialah kemunculan kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy.
Popular menerusi lagu-lagu seperti ‘Lantas’, ‘Lampu Kuning’ dan ‘Sialan’, Juicy Luicy bukan nama asing buat peminat muzik Malaysia. Dengan lirik yang dekat dengan realiti kehidupan anak muda dan melodi yang kuat, pemilihan mereka sebagai artis fasa pertama bagi RIF 2025 bukanlah satu kejutan.
“Tidak dinafikan, Juicy Luicy antara artis yang paling digemari oleh generasi muda di Malaysia. Lagu-lagu mereka bukan sahaja dekat dengan pengalaman hidup pendengar, malah sarat dengan mesej emosi yang kuat. Disebabkan itu mereka dipilih sebagai tumpuan utama RIF tahun ini,” tambah Bram Tulong.
RIF 2025 juga menampilkan satu konsep yang lebih intim dan eksklusif, di mana para artis bukan sahaja mempersembahkan lagu, tetapi juga berkongsi pengalaman peribadi serta perjalanan mereka dalam dunia seni.
Ini memberi peluang kepada penonton untuk merasai hubungan yang lebih dekat dan autentik dengan penghibur kesayangan mereka.
“Kami mahu penonton merasa lebih rapat dengan artis, bukan sekadar menonton dari jauh. Ada ruang perkongsian, cerita dan inspirasi yang menjadikan setiap momen lebih peribadi dan mendalam,” ujar pihak penganjur lagi.
Menariknya, festival ini akan menampilkan dua sesi persembahan dalam satu hari iaitu pada sebelah tengah hari dan malam.
Bagi sesi malam yang menampilkan Juicy Luicy, harga tiket presale telah diumumkan dan dijual sejak 3 Julai 2025. Tiket boleh didapati melalui aplikasi BBO Events atau laman web rasmi ri-fest.com/kualalumpur dengan harga bermula dari RM128 (Silver-Seated) hingga RM528 (VVIP-Seated).
Dalam usaha memperluas pengaruh dan jangkauan festival ini, Expoindo turut merancang untuk membawa RIF ke beberapa bandar utama lain di Malaysia. Misi ini turut menjadi langkah strategik dalam memperkukuh hubungan budaya dan muzik antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia.
“Harapan kami, RIF akan menjadi jambatan budaya yang mengeratkan lagi hubungan dua hala antara industri hiburan Malaysia dan Indonesia. Dalam masa yang sama, kami mahu menyebarkan nilai-nilai positif dan inspirasi kepada masyarakat melalui muzik yang kami bawakan,” kata Johnathon Wong, wakil BBO Events.
Dengan barisan artis tambahan yang akan diumumkan dalam masa terdekat, RIF 2025 dilihat sebagai platform yang bakal mengangkat pengalaman muzik ke satu dimensi baharu.
Subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.