
Foto: Hublot
Di sebalik jadual jelajah dunia yang padat bersama BTS, Jungkook sekali lagi mencuri perhatian menerusi sisi kemanusiaannya apabila dilaporkan menyumbangkan 1 bilion won (kira-kira RM3.03 juta) kepada Seoul National University Children’s Hospital.
Sumbangan tersebut dilaporkan akan digunakan bagi membantu menampung kos rawatan pesakit pediatrik daripada keluarga berpendapatan rendah, selain menyokong projek Integrated Care Center hospital berkenaan.
Jika sumbangan terbaharu itu diambil kira, jumlah keseluruhan yang disalurkan Jungkook kepada hospital tersebut kini mencecah 2 bilion won (kira-kira RM6.05 juta) selepas beliau pernah menyumbangkan jumlah sama pada April 2023.
Sumbangan Jungkook kepada hospital kanak-kanak berkenaan sebenarnya sudah bermula tiga tahun lalu.
Pada April 2023, Seoul National University Children’s Hospital mengumumkan penyanyi itu menyumbangkan 1 bilion won (kira-kira RM3.03 juta) untuk menampung perbelanjaan rawatan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan serta menyokong operasi Integrated Care Center.
Pusat itu diwujudkan untuk memberikan sokongan lebih menyeluruh kepada pesakit kanak-kanak dan keluarga mereka, bukan sekadar melalui rawatan perubatan. Hospital berkenaan turut merawat pesakit dengan penyakit serius dan jarang berlaku, termasuk kanser pediatrik serta leukemia.
Ketika membuat sumbangan pertamanya, Jungkook turut menyampaikan harapan agar bantuan tersebut dapat memberikan sedikit kelegaan kepada kanak-kanak yang sedang berdepan penyakit.
“Saya berharap ia dapat membantu kanak-kanak yang sakit dan mereka dapat kembali tersenyum dengan sihat,” katanya ketika itu.
Usaha kebajikan Jungkook juga tidak terhad kepada bidang kesihatan.
Pada Mac 2025, dia menyumbangkan 1 bilion won (kira-kira RM3.03 juta) kepada Hope Bridge Korea Disaster Relief Association susulan kebakaran hutan besar di Korea Selatan.
Dana tersebut digunakan untuk membantu mangsa yang kehilangan kediaman serta menyokong anggota bomba yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran.
Ketika itu, Jungkook berkata dia berharap bantuan berkenaan mampu meringankan beban mereka yang melalui tempoh sukar, selain mendoakan mangsa dan petugas dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin.
Sumbangan berterusan seperti ini memperlihatkan bagaimana populariti dan kejayaan globalnya turut diterjemahkan kepada usaha membantu komuniti yang memerlukan.
Sumbangan terbaharu ini dilaporkan ketika Jungkook sedang melalui jadual cukup sibuk bersama BTS menerusi jelajah dunia ARIRANG.
BTS baru sahaja menamatkan siri jelajah Amerika Utara dengan 31 persembahan di 12 bandar, semuanya habis terjual. Jelajah tersebut menarik kira-kira 1.92 juta penonton, termasuk lebih 282,000 peminat bagi empat persembahan terakhir di SoFi Stadium, Los Angeles.
Selepas Amerika Utara, BTS dijadualkan memulakan siri Amerika Selatan pada 2 Oktober di Bogotá, Colombia, sebelum meneruskan perjalanan ke Lima, Santiago, Buenos Aires dan São Paulo.
BACA: Insiden HYROX Beijing Cetus Perubahan Peraturan, Penganjur Tegas Lindungi Kebajikan Atlet
Di tengah pencapaian besar di pentas muzik dunia, tindakan Jungkook sekali lagi mengingatkan bahawa pengaruh seorang bintang tidak hanya diukur melalui jualan album, jumlah penonton atau rekod konsert.
Kadangkala, impak yang lebih besar hadir apabila sebahagian daripada kejayaan itu dikongsi dengan mereka yang benar-benar memerlukan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.