
head of content and innovation FIEZREEN AHMAD konsep & penyelaras FARIZUL IZWANY perletakan grafik & arahan seni AZNIZA AZIZ teks FARIZUL IZWANY fotografi HAIKAL SHUIB suntingan foto HEZRY ROKMAN videografi AYP CREATIVE PRODUCTION suntingan video MIRUL penata gaya ARIF YUSOFF solekan HELMY SHARIP dandanan FAIZAL AZHAR
Ada cerita yang digerakkan oleh aksi. Ada yang dihidupkan oleh watak. KUDRAT 1968 memiliki kedua-duanya. Sebagai prekuel kepada fenomena Projek: High Council, KUDRAT 1968 membawa penonton ke tahun 1968, menyingkap asal-usul sebuah sistem yang dibina atas hierarki, kuasa dan warisan. Sebuah dunia yang kelihatan utuh, tetapi menyimpan retakan yang menanti untuk pecah.
Di tengah konflik itu berdiri dua lelaki dengan dua ideologi yang bertentangan. Kuda memperjuangkan warisan yang diwariskan kepadanya, manakala Abbas berani mencabar dan mempersoalkan sistem yang sama.
Pertembungan mereka bukan sekadar tentang kekuatan, tetapi tentang prinsip, kepercayaan dan makna keadilan. Seperti Tuah dan Jebat, mereka berkongsi keberanian yang sama, namun berjuang untuk kebenaran yang berbeza.
Lihat siaran ini di Instagram
Konflik ini dihidupkan oleh Mierul Aiman sebagai Tengku Uda bin Tengku Ali, atau Kuda, dan Zarif Ghazzi sebagai Abbas. Bersama, mereka menggalas peranan penting sebagai nadi kepada asal-usul dan masa depan universe Projek: High Council.

Di luar naratif, gandingan Mierul Aiman dan Zarif Ghazzi turut memainkan peranan penting dalam memperluaskan daya tarikan Dunia Kudrat.
Seorang hadir dengan pengaruh yang semakin kukuh dalam kalangan penonton arus perdana, manakala seorang lagi mewakili gelombang bakat baharu yang sedang mencipta nama. Bersama, mereka menjadi jambatan yang menghubungkan peminat setia Projek: High Council dengan generasi penonton yang semakin berkembang.
Satu Cerita. Dua Pengalaman
Apa yang membezakan KUDRAT 1968 bukan hanya ceritanya, tetapi cara ia dipersembahkan. Buat pertama kali di Malaysia, sebuah naratif dikembangkan menerusi pendekatan “satu cerita, dua format.”
Sebelum filemnya menemui penonton di pawagam, kisah KUDRAT 1968 bermula dengan empat episod siri premium Astro Originals yang berfungsi sebagai pintu masuk ke dunia cerita.
Siri ini membuka ruang untuk penonton mengenali watak-watak utama, memahami konflik yang membentuk mereka dan menyelami dunia yang mereka diami.
Kemudian, perjalanan itu diteruskan ke layar perak. Hasilnya ialah pengalaman yang lebih mendalam, lebih berlapis dan lebih berani. Bukan sekadar memperkenalkan sebuah kisah, tetapi membina sebuah dunia.
Kerana sebelum lahirnya legenda High Council, ada sejarah yang perlu diceritakan.
Dan sejarah itu bernama KUDRAT 1968.
Dunia Lama, Cabaran Baharu
Selepas kejayaan luar biasa ‘Projek: High Council’, Astro sekali lagi memilih untuk memperluaskan universe tersebut melalui sebuah prekuel yang jauh lebih berani.
Kali ini, latarnya bukan lagi dunia moden. Sebaliknya penonton dibawa kembali ke tahun 1968, satu era yang sangat asing buat hampir keseluruhan barisan pelakon muda.
Bagi Mierul Aiman, menerima tawaran membawakan watak Kuda pada mulanya hadir dengan rasa terkejut. Sebagai peminat Projek: High Council, dia sendiri tidak menyangka akan dipanggil kembali untuk berada dalam universe yang sama, tetapi melalui karakter yang berbeza sama sekali.

“Sebagai peminat ‘Projek: High Council, saya memang terkejut bila dapat panggilan ini. Saya agak keliru pada mulanya sebab jarang seorang pelakon membawa dua watak berbeza dalam universe yang sama.
“Tetapi bila fikir semula, perkara seperti ini sebenarnya bukan asing di luar negara. Jadi saya hanya perlu fokus untuk memastikan penonton melihat Kuda sebagai karakter yang benar-benar berbeza.”

Beliau juga sedar terdapat pelbagai reaksi daripada peminat di media sosial apabila namanya diumumkan.
Namun bagi Mierul, perkara paling penting ialah memastikan watak itu bercakap melalui lakonannya, bukan melalui persepsi orang ramai.
Tanggungjawab Besar Buat Wajah Baharu
Bagi Zarif Ghazi pula, peluang menyertai siri i merupakan antara detik paling besar dalam perjalanan seninya.
Namun bersama peluang itu hadir satu tekanan yang cukup besar.

“Bila saya dapat tahu saya bersyukur sangat, tetapi pada masa sama saya sedar ini tanggungjawab yang besar.
“Tekanan memang ada. Tapi saya sangat bertuah kerana pengarah dan rakan pelakon seperti Mierul banyak membantu dan memberi keyakinan bahawa saya mampu membawa watak Abbas. Dari segi mental dan fizikal memang saya kena bersedia sebaik mungkin.”
Dua Lelaki, Dua Dunia
Walaupun sama-sama berada dalam dunia yang dibina oleh sistem hierarki, Kuda dan Abbas melihat dunia melalui lensa yang sama sekali berbeza. Kuda lahir dalam dunia yang percaya sistem perlu dipelihara.
Dia melihat kestabilan hanya boleh dicapai apabila setiap individu memahami tempat masing-masing. Sebaliknya Abbas muncul sebagai ‘kuasa’ yang mencabar status quo tersebut. Baginya, sistem itu hanyalah tembok yang memisahkan manusia berdasarkan status, bukannya nilai sebenar seseorang.

Mierul melihat konflik terbesar Kuda bukan datang daripada orang lain, tetapi daripada dirinya sendiri.
“Kuda ada konflik dalaman yang jauh lebih besar daripada apa yang orang nampak.
“Cabaran terbesar saya ialah bagaimana hendak menyembunyikan konflik itu. Banyak perkara yang dia fikir, tetapi dia tidak boleh tunjuk melalui kata-kata.”
Mierul turut menjelaskan bahawa cabaran membawakan watak dalam latar tahun 1968 memerlukan seluruh pelakon mengubah cara bercakap dan bahasa tubuh.
“Cara percakapannya berada di antara bahasa baku tetapi dengan penekanan yang lebih kuat pada konsonan. Itu cabaran bukan sahaja untuk saya, tetapi seluruh barisan pelakon.”
Abbas Yang Enggan Hidup Dalam Bayang-Bayang
Berbeza dengan Kuda, Abbas lebih banyak berbicara melalui tindakan. Menurut Zarif, karakter itu ialah seorang anak muda yang dipaksa menjadi dewasa sebelum waktunya.
“Abbas seorang remaja yang dipaksa menjadi lebih dewasa kerana tanggungjawab yang dipikul hasil daripada nama bapanya.
“Dia bukan jenis banyak bercakap. Emosi Abbas lebih banyak diterjemahkan melalui gerak tubuh dan pandangan matanya.”

Lebih menarik, Abbas bukan sekadar mahu menentang sistem. Dia juga mahu keluar daripada bayang-bayang bapanya sendiri.
“Apa yang bermain dalam fikiran Abbas ialah bagaimana dia tidak mahu hidup sebagai bayangan bapanya.
“Dia sangat membenci ketidakadilan dan percaya apa yang dilakukannya ialah perkara yang betul. Sebab itu dia melihat Kuda sebagai orang yang terlalu jumud mempertahankan sistem.”

Kuda dan Abbas: Dua Jalan, Satu Takdir
Dalam KUDRAT 1968, hierarki bukan sekadar susunan kuasa. Ia menjadi simbol kepada dua cara manusia melihat dunia.
Mierul merumuskan hubungan Kuda dan Abbas dengan cukup ringkas.

“Saya lihat jurang perbezaan mereka jauh lebih besar daripada persamaan.
“Abbas mahu menghancurkan sistem. Kuda pula mempertahankannya dan mahu status quo terus kekal.
“Tetapi persamaan mereka ialah kedua-duanya mempunyai keberanian memilih jalan sendiri dan sanggup berjuang habis-habisan demi ideologi masing-masing.”
Di situlah kekuatan sebenar yang menjadi tunjang besar siri TV eksklusif Astro Originals ini.
Tiada siapa benar sepenuhnya. Tiada siapa juga salah sepenuhnya. Yang membezakan mereka hanyalah pengalaman hidup dari kanta mata masing-masing.
Erti Lelaki Yang Benar-Benar Kuat
Apabila ditanya tentang maksud lelaki kuat, kedua-dua pelakon memberikan jawapan yang cukup berbeza tetapi saling melengkapi.
Bagi Mierul, kekuatan bukan bermaksud mampu menumbangkan lawan. Sebaliknya, ia hadir melalui keupayaan mengawal diri.

“Bagi saya, kekuatan Kuda datang apabila seseorang mampu menahan emosi dan perasaannya.
“Selain itu, kepimpinan juga satu bentuk kekuatan kerana dia sentiasa percaya kepada pegangan hidupnya.”
Zarif pula melihat kekuatan Abbas melalui sifat degil yang lahir daripada pengalaman hidup.

“Abbas memang degil. Tetapi kedegilan itu datang kerana dia mahu meruntuhkan sistem yang pernah memberi kesan kepada hidupnya.
“Dia lebih banyak bercakap melalui tindakan. Namun dalam masa sama dia juga berdepan dilema apabila perlu membuat keputusan yang sukar.”
Astro Originals, Penanda Aras Baharu
Bagi Mierul Aiman dan Zarif Ghazzi, KUDRAT 1968 adalah bukti bagaimana Astro Originals terus menetapkan standard baharu dalam penceritaan tempatan selepas kejayaan Good Boys Go To Heaven.
Dengan ketelitian dalam pembangunan karakter, skala produksi dan perhatian terhadap setiap perincian, platform ini terus mengukuhkan reputasinya sebagai rumah kepada karya premium yang meninggalkan impak.
Darah Kita Sama
Pada terasnya, KUDRAT 1968 bukan sekadar tentang kuasa, hierarki atau siapa yang berhak memimpin. Ia adalah kisah tentang manusia, tentang keberanian mempertahankan prinsip, dan bagaimana perbezaan pandangan mampu membentuk masa depan.
Kuda dan Abbas mungkin memilih jalan yang berbeza, namun kedua-duanya digerakkan oleh keyakinan yang sama, iaitu untuk memperjuangkan apa yang mereka percaya. Di sebalik status, pengaruh dan keturunan, mereka berkongsi satu hakikat yang menyatukan. Darah mereka sama.
Perjalanan mereka bakal membuka lembaran baharu dalam Dunia Kudrat, membawa penonton menyaksikan bagaimana sebuah legasi tercipta, dan bagaimana sejarah mula ditulis.
Kelas Baharu, Pelajar Baharu. Astro Shaw’s KUDRAT 1968: High Council.
Langgan Astro X3 dan strim di sooka.

je senang
