Selepas perkahwinan, pasangan suami isteri akan melalui fasa yang serba mencabar. Manis dan indah itu memang ada namun berjayakah kita mengharunginya seumur hidup?
Tambah-tambah lagi banyak betul trend artis sekarang berkahwin-cerai dan ia memberikan gambaran yang cukup buruk pada imej ikatan yang suci itu.
Ada yang berkahwin atas suka sama suka tetapi penghujungnya, dengan selamba mereka berkata, dah tiada jodoh.
Tidak! Jodoh itu ada dan anda sedang memilikinya. Jika ada masalah, selesaikan dan jadilah matang.
Bukan masih amalkan perangai budak WeChat yang kalau tak suka terus tinggal. Kalau boleh para suami tolonglah bertegas dalam pelbagai hal termasuk :
1. Berbelanja kurang dari pendapatan
Anda dan pasangan perlu mengetahui kedudukan kewangan dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Biasanya dalam berbelanja, wanita lebih cenderung untuk berbelanja lebih kerana wanita yang mengetahui selok belok barangan yang diperlukan di rumah. Tetapi ini tidak bermakna anda boleh membelanjakan wang sesuka hati. Kami sarankan anda membeli satu atau dua perabot dahulu pada bulan pertama mengikut keutamaan.
2. Rujuk orang berpengalaman
Kaedah pengurusan kewangan yang teratur juga boleh diperoleh dengan merujuk maklumat dan panduan yang diambil dari buku-buku, majalah atau pengalaman melalui rakan-rakan yang telah lama berumahtangga. Jangan sesekali mendapatkan pengalaman dari seseorang yang memang terkenal dengan sikap boros dan suka mementingkan gaya hidup tinggi. Kalau boleh, pastikan anda tahu memilih sumber rujukan mengikut kemampuan anda.
3. Ubah tabiat zaman bujang
Siapa kata sikap zaman bujang tidak langsung mempengaruhi alam perkahwinan? Kalau dahulu anda biasa membelanjakan duit sesuka hati, tetapi setelah berkahwin sistem kewangan anda perlu diatur dengan bijak dan seimbang. Mungkin selepas kahwin, anda perlu fikirkan hal keluarga ataupun simpanan di masa hadapan. Ia juga melatih diri dan ahli keluarga lain lebih bijak mengendalikan urusan kewangan untuk mengurangkan perbelanjaan seisi rumah.
4. Tentukan matlamat
Biasanya selepas berkahwin, setiap pasangan pasti merancang untuk membeli beberapa aset penting seperti pembelian rumah, kereta dan juga aset lain. Rasanya tidak salah anda mempunyai perancangan seperti itu. Bagi pihak lelaki, tentunya tanggungjawab menjadi lebih besar kerana sebelum berkahwin, anda harus menyediakan segala-galanya. Tetapi tidak salah jika anda melakukan perbincangan bersama pasangan sebelum merancang untuk berkahwin.
5. Agihkan pendapatan
Setelah mengetahui jumlah pendapatan seisi rumah sebulan, anda boleh mengagihkan perbelanjaan mengikut keutamaan. Perbelanjaan untuk keperluan asas yang terdiri dari makanan, pakaian dan tempat tinggal. Perbelanjaan untuk kehendak seperti membeli perabot, peralatan elektrik, perhiasan dan kenderaan. Manakala agihan untuk simpanan penting untuk waktu kecemasan dan kesihatan. Pelaburan jangka panjang juga perlu dirancang.
6. Rekod perbelanjaan sebenar
Ramai pasangan berjaya membuat agihan perbelanjaan namun tidak merekodkan perbelanjaan sebenar. Harus diingat! Melalui rekod perbelanjaan ini kita dapat mengetahui nilai sebenar perbelanjaan yang dikeluarkan berbanding ketika membuat perancangan perbelanjaan. Jadi mulai saat ini, pastikan anda simpan setiap bil-bil dan resit yang dibelanjakan.
7. Nikmati hidangan di rumah
Tabiat makan biasanya bermula sejak zaman bujang lagi. Mungkin anda selalu makan di restoran yang lebih mempunyai keburukan dari kebaikan. Perlu diingat, selepas berkahwin, belanja anda akan bertambah. Lebih baik makan di rumah. Bukan sahaja dapat menjaga kesihatan tetapi juga mengeratkan hubungan dengan pasangan.
8. Buat belanjawan bersama
Bagi pasangan suami isteri yang bekerja, mereka harus membuat belanjawan bersama-sama dengan menggabungkan pendapatan dan perbelanjaan keluarga. Antara faedah yang diperolehi ialah dapat mengelakkan wanita menanggung beban si suami atau si suami yang terpaksa berhadapan dengan si isteri yang menempah barang-barang atau berbelanja di luar kawalan.
9. Ukur baju di badan sendiri
Bagi anda yang baru berumah tangga mungkin terikut-ikut dengan keperluan seperti mana yang dimiliki oleh orang lain yang telah berkahwin. Mungkin pada waktu inilah masing-masing sedaya-upaya memenuhi impian setiap pasangan. Anda tidak perlu mengikut cara orang lain, sebaliknya perlulah mengikut kemampuan sendiri. Sebagai lelaki mungkin anda memainkan lebih peranan mengawal perbelanjaan.
10. Kumpul duit lebihan barang dapur
Siapa kata dengan saki baki duit syiling hasil lebihan membeli barang dapur tidak boleh mencecah sehingga ratusan ringgit? Kadang-kala kita tidak sedar bahawa duit yang sedikit itu ‘lama-lama menjadi bukit’. Mulakan dengan membuat tabungan setiap kali pulang dari membeli belah. Kadang-kala juga duit tersebut boleh digunakan untuk tujuan kecemasan seperti membaiki kereta rosak dan juga kemalangan yang tidak diduga.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI