
Kasut larian China kini tidak lagi boleh dipandang sebelah mata. Jika dahulu, kasut larian China sering dilihat sebagai pilihan kedua. Murah, mudah diakses, tetapi jarang dianggap sebagai pilihan serius untuk prestasi.
Dalam dunia larian rata-rata produk didominasi oleh jenama-jenama gergasi seperti Nike, Adidas, PUMA dan ASICS, ramai beranggapan bahawa jenama dari China sekadar mengisi ruang sebagai pilihan alternatif.
Adakah realiti itu masih benar? Hari ini, naratif itu semakin berubah.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kemunculan jenama seperti Li-Ning, Anta, Xtep dan 361° bukan lagi sekadar pelengkap pasaran. Mereka kini tampil sebagai pemain utama, bukan sahaja di China, tetapi juga dalam perbualan global tentang kasut larian berprestasi tinggi.

Persoalannya kini menjadi lebih menarik. Adakah mereka sekadar alternatif yang lebih murah, atau benar-benar mampu menjadi pesaing kepada jenama gergasi terutama negara-negara Barat?
Kasut Larian China dan Evolusi Teknologi
Perubahan paling ketara dapat dilihat dari sudut teknologi. Jika dahulu inovasi dalam dunia running shoes dikuasai oleh jenama Barat seperti Nike dengan ZoomX atau Adidas dengan Boost. Namun kini, jenama dari China kini membangunkan teknologi mereka sendiri yang semakin kompetitif.
Li-Ning, sebagai contoh, memperkenalkan teknologi busa yang lebih ringan dan responsif, manakala Xtep dan Anta pula agresif dalam penggunaan plat karbon untuk kasut perlumbaan.

Ini adalah kategori yang sebelum ini eksklusif kepada kasut premium jenama Barat, khususnya dalam segmen maraton dan perlumbaan.
Apa yang menarik, pendekatan mereka tidak lagi bergantung kepada ‘meniru’ semata-mata. Sebaliknya, setiap jenama mula membina identiti tersendiri dari segi “ride feel” — ada yang lebih fokus kepada cushioning maksimum, ada yang menekankan responsiveness dan energy return. Ini menjadikan persaingan hari ini bukan sekadar siapa lebih maju, tetapi siapa lebih sesuai dengan gaya larian individu.
Dalam erti kata lain, jurang teknologi yang pernah wujud dahulu kini menjadi semakin kecil.
Nilai Harga Jadi Game Changer
Tidak dapat dinafikan, faktor yang benar-benar ditakuti jenama gergasi dari Barat terutamanya ialah dari segi harga kerana dikhuatiri mengganggu keseimbangan pasaran.
Kasut larian China sering hadir dengan spesifikasi yang hampir setanding dengan model mereka, tetapi pada harga yang jauh lebih rendah.

Contoh di pasaran kini, pengguna boleh mendapatkan kasut dengan berteknologi plat karbon dan advanced foam pada harga yang hampir separuh daripada model flagship dari Nike atau Adidas.
Ini mencipta satu anjakan dalam cara pengguna menilai sesuatu produk. Nilai kini tidak lagi diukur berdasarkan jenama semata-mata, tetapi pada prestasi yang diberikan untuk setiap ringgit yang dibelanjakan.
Dan di sinilah kekuatan utama jenama China mula terserlah.
Data Pasaran Menyokong Kebangkitan
Fenomena ini turut disokong oleh data pasaran semasa. Dalam pasaran China sendiri, Anta kini memegang sekitar 23% pegangan pasaran, mengatasi Nike yang berada sekitar 20.7% dan Adidas sekitar 8.7%.
Lebih menarik, empat jenama utama China iaitu Anta, Li-Ning, Xtep dan 361° mencatatkan jumlah pendapatan melebihi 60 bilion yuan (RM3.51 bilion) dalam separuh pertama 2024 sahaja.
Pada masa yang sama, pertumbuhan budaya larian di China juga melonjak dengan ketara. Running kini menjadi aktiviti sukan paling popular dengan lebih 50% penyertaan, manakala kasut larian menyumbang lebih 40% daripada keseluruhan jualan kasut sukan.
Permintaan yang tinggi ini memaksa jenama tempatan untuk terus berinovasi, bukan sekadar untuk bersaing, tetapi untuk mendahului.
Cabaran Yang Masih Wujud
Namun, untuk mengatakan mereka sudah setara sepenuhnya mungkin masih terlalu awal.
Jenama Barat seperti Nike, Adidas dan malah dari Jepun seperti ASICS masih mempunyai kelebihan dari segi warisan, kepercayaan pengguna dan konsistensi kualiti jangka panjang.
Mereka telah lama membina reputasi melalui penyelidikan bertahun-tahun, ujian prestasi di peringkat elit, serta kehadiran kukuh dalam acara sukan global.
![]()
Selain itu, isu seperti ketahanan, kawalan kualiti antara model dan nilai jenama masih menjadi cabaran bagi sesetengah produk dari China.
Tidak semua model mampu memberikan konsistensi yang sama seperti pesaing Barat. Tapi jika diperjatikan perbezaan ini semakin kecil dari tahun ke tahun.
Masa Depan Kasut Larian China
Apa yang berlaku sekarang bukan sekadar kemunculan alternatif murah. Ia adalah satu peralihan dalam landskap industri.
Kasut larian China tidak lagi bermain di bawah bayang-bayang. Mereka kini membina identiti sendiri, memanfaatkan kekuatan rantaian bekalan, memahami pasaran domestik dengan mendalam, dan menawarkan kombinasi prestasi serta nilai yang sukar ditandingi.
Bagi pengguna, ini membuka satu dimensi baharu dalam membuat pilihan.
BACA: 10 Kasut Larian Tempo Terbaik 2025, Ini Ulasan MASKULIN
Akhirnya, persoalan bukan lagi sama ada kasut dari China cukup bagus. Sebaliknya, ia beralih kepada sesuatu yang lebih praktikal, adakah ia memberi prestasi yang setimpal, atau mungkin lebih, berbanding apa yang kita bayar?
Mereka bukan lagi sekadar mengejar. Mereka sudah pun berada dalam perlumbaan di garisan permulaan yang hampir sama.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




