
Baru-baru ini tular sebuah video di mana seorang lelaki dan wanita segera kalut bersembunyi selepas kamera merakamkan aksi mereka berpelukan di konsert Coldplay.
Ia telah menjadi satu bahan jenaka ramai orang di seluruh dunia. Tapi bagi lelaki tersebut iaitu Andy Byron, bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi Astronomer, malam konsert Coldplay di Massachusetts menjadi titik mula kepada runtuhnya kerjaya dan perkahwinannya.
Insiden bermula apabila kamera ‘kiss-cam’ yang dipaparkan di layar besar stadium menangkap beliau bersama Ketua Sumber Manusia syarikat sama, Kristin Cabot, dalam keadaan berpelukan.
Kedua-duanya dilihat cuba menutup wajah mereka selepas menyedari rakaman itu sedang dipertontonkan kepada lebih 70,000 penonton.
Klip itu kemudiannya tular di media sosial, mencetuskan spekulasi liar, sindiran dan meme, hingga menjejaskan bukan saja reputasi mereka, malah hubungan peribadi dan kerjaya masing-masing.
Situasi menjadi lebih tegang apabila Byron dilaporkan bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Coldplay serta penganjur konsert atas dakwaan pencerobohan privasi dan tekanan emosi.
Menurut sumber, Byron bertegas beliau tidak pernah memberikan persetujuan untuk dirakam atau dijadikan bahan jenaka di khalayak umum.
HARAPAN TIPIS
Tambah parah apabila vokalis Coldplay, Chris Martin dikatakan bergurau secara spontan dengan menyebut “Mereka mungkin ada hubungan sulit, atau mereka terlalu pemalu.”
Peguam Camron Dowlatshahi dari firma MSD Lawyers berpendapat Byron mungkin boleh membuat tuntutan fitnah sekiranya kenyataan Chris Martin dianggap menjatuhkan maruah, namun beban pembuktian adalah tinggi.
Byron perlu menunjukkan tiada sebarang hubungan sulit berlaku, serta membuktikan kenyataan tersebut membawa kesan negatif yang jelas terhadap reputasi dan kehidupan peribadinya.
Dalam masa yang sama, peguam lain berpandangan bahawa harapan untuk berjaya dalam tuntutan ini agak tipis.
Ini kerana konsert berskala besar dengan ribuan penonton dan kamera di sekeliling lazimnya dianggap sebagai ruang awam. Maka, ekspektasi terhadap privasi adalah sangat minimum.
Susulan video tersebut, kedua-dua Byron dan Cabot — masing-masing sudah berkahwin — telah digantung tugas oleh syarikat mereka sebelum mengemukakan peletakan jawatan.
Lembaga pengarah Astronomer turut mengesahkan pengunduran rasmi Byron dalam satu kenyataan, manakala Kristin Cabot turut meninggalkan syarikat secara sukarela.
Kehidupan peribadi mereka juga menerima impak besar. Isteri Byron, Megan Kerrigan, dilaporkan telah membuang nama keluarga suaminya dari media sosial sebelum menutup akaun Facebook.
Manakala Cabot pula diketahui merupakan isteri kepada Andrew Cabot, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Privateer Rum.
Sehingga artikel ini ditulis, Coldplay masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi. Namun sumber hiburan mendedahkan bahawa Chris Martin hanya mampu tergelak apabila mendengar berita Byron bercadang menyaman mereka.
BACA: Wanita Lebih Mudah Jatuh Cinta Kepada Lelaki Tegas Secara Tidak Sedar
Insiden ini membuka perbincangan lebih luas tentang sempadan antara privasi, ruang awam, dan akibat tular dalam era digital.
Adakah seseorang masih mempunyai hak mutlak ke atas wajah dan reaksi mereka dalam tempat awam?
Atau adakah setiap gerak geri kini milik internet dan persepsi massa? Dalam dunia di mana satu detik kecil boleh meruntuhkan seluruh karier, barangkali ‘kiss-cam’ bukan lagi sekadar hiburan ringan.
Sumber: Sinar Harian/Agensi
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang









