Automotif

5 Perkara Perlu Dilakukan Bila Lampu ‘Check Engine’ Menyala

Share

Lampu Check Engine sering membuatkan pemilik kenderaan berasa cemas apabila ia menyala secara tiba-tiba. Namun, penting untuk difahami bahawa lampu ini tidak semestinya menandakan kerosakan besar pada enjin.

Kadangkala ia berpunca daripada isu kecil yang boleh diselesaikan dengan mudah, tetapi ada juga situasi yang memerlukan tindakan segera.

Untuk mengelakkan kerosakan lebih serius dan memastikan keselamatan di jalan raya, berikut ialah lima langkah bijak yang perlu dilakukan bila lampu Check Engine menyala.

1. Kekal Tenang, Tetapi Jangan Abaikan Lampu Check Engine

Langkah pertama ialah kekal tenang dan elakkan panik. Pada masa yang sama, jangan sesekali mengabaikannya. Jika lampu Check Engine menyala secara statik atau kekal menyala, kereta masih boleh dipandu untuk jarak dekat, namun pemeriksaan perlu dilakukan secepat mungkin.

Jika lampu berkelip-kelip, ia menandakan masalah yang lebih serius seperti engine misfire yang boleh merosakkan komponen penting termasuk catalytic converter. Dalam situasi ini, perlahankan kenderaan, berhenti di lokasi yang selamat dan dapatkan bantuan segera.

2. Periksa Penutup Tangki Minyak (Fuel Cap)

Penutup tangki minyak yang longgar sering menjadi punca utama lampu Check Engine menyala. Sistem EVAP akan mengesan kebocoran jika fuel cap tidak dipasang dengan betul dan mengaktifkan lampu amaran.

Untuk mengatasinya, buka dan pasang semula penutup tangki minyak sehingga terdengar bunyi klik beberapa kali. Pandu seperti biasa dan perhatikan jika lampu padam dalam beberapa perjalanan berikutnya.

3. Kenal Pasti Simptom Sebelum Memandu Jarak Jauh

Lampu Check Engine berfungsi sebagai amaran, namun prestasi kenderaan juga memberi petunjuk tambahan. Antara simptom yang perlu diperhatikan termasuk:

  • Enjin semput atau jerk
  • RPM tidak stabil ketika idle
  • Kuasa pecutan lemah
  • Penggunaan minyak meningkat mendadak
  • Asap ekzos luar biasa atau bau petrol kuat
  • Suhu enjin meningkat

Jika simptom ini jelas, elakkan memandu jauh atau memaksa kenderaan terus bergerak. Lakukan pemeriksaan segera untuk mengelakkan kerosakan lebih serius.

Image by peoplecreations on Freepik

4. Lakukan Imbasan OBD2 untuk Kenal Pasti Punca

Ramai pemilik kereta membuat andaian tanpa melakukan imbasan OBD2. Sebenarnya, lampu Check Engine hanyalah amaran – bukan diagnosis. Dengan menggunakan alat imbasan OBD2, anda boleh mendapatkan Diagnostic Trouble Code (DTC) yang menunjukkan punca sebenar masalah.

Imbasan ini boleh dilakukan di bengkel atau menggunakan peranti OBD2 Bluetooth yang disambung ke telefon pintar. Selepas kod ralat dikenal pasti, barulah tindakan tepat boleh diambil, sama ada membaiki komponen tertentu atau menjalankan servis lanjutan.

Elakkan memadam kod semata-mata untuk mematikan lampu. Jika punca sebenar tidak diselesaikan, lampu akan menyala semula.

5. Tentukan Sama Ada Kereta Masih Selamat Dipandu atau Perlu Ditunda

Selepas mengenal pasti simptom dan kod ralat, nilai sama ada kenderaan masih selamat untuk dipandu. Jika punca hanya isu ringan seperti fuel cap longgar atau sensor kecil, anda boleh teruskan pemanduan berhati-hati.

Namun jika berlaku misfire kuat, suhu enjin meningkat mendadak, gegaran teruk, kehilangan kuasa, asap tebal, atau lampu Check Engine berkelip, hentikan kenderaan dan gunakan perkhidmatan towing

. Kos menunda jauh lebih murah berbanding membaiki enjin yang rosak akibat dipaksa bergerak.

BACA: Alif Satar Teruja Miliki ‘Unicorn’ Superbike Rare, Petronas FP1

Sistem Amaran

Lampu Check Engine ialah sistem amaran penting untuk membantu pemandu mengenal pasti masalah pada kenderaan.

Jangan panik, jangan abaikan, dan jangan membuat andaian tanpa imbasan. Dengan melakukan pemeriksaan asas, mengenal pasti simptom, serta menjalankan imbasan OBD2, anda boleh mengelakkan kerosakan besar dan menjimatkan kos pembaikan dalam jangka panjang.

Gunakan lima langkah ini setiap kali lampu Check Engine menyala agar kenderaan anda kekal dalam keadaan optimum dan selamat dipandu.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim