Kesihatan

Lebih Ramai Rakyat Malaysia Ambil Suplemen, Tapi Adakah Ia Benar-Benar Selamat?

Share

Dalam dunia yang semakin sibuk dan berteknologi, ramai rakyat Malaysia kini menjadikan suplemen pemakanan sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

Gaya hidup yang pantas, pemakanan tidak seimbang, serta kemudahan akses kepada pelbagai produk kesihatan menyebabkan makanan tambahan dilihat sebagai solusi mudah untuk menjaga kesihatan.

Menurut Alex Teo, Pengarah Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik untuk Herbalife Asia Pasifik, perubahan gaya hidup ini telah membawa kepada peningkatan mendadak dalam penggunaan suplemen.

“Suplemen pemakanan kini menjadi penyelesaian popular bagi mereka yang ingin menjaga kesejahteraan diri dengan cara yang mudah dan terkhusus,” katanya.

Pengarah Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik, Alex Teo

Malah, data menunjukkan bahawa pasaran suplemen di Malaysia telah mencecah nilai USD 644.88 juta pada tahun 2023 dan dijangka terus berkembang hingga USD 919.58 juta menjelang tahun 2030.

Antara Populariti dan Risiko

Namun di sebalik popularitinya, timbul juga kebimbangan tentang keselamatan, kualiti dan ketelusan produk.

Sesetengah produk dikesan mengandungi bahan farmaseutikal tidak diisytihar yang boleh mendatangkan kesan sampingan berbahaya.

Oleh itu, kawalan kualiti dan pematuhan kepada peraturan kawal selia menjadi semakin penting.

Di Malaysia, semua makanan tambahan tertakluk kepada peraturan ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Produk mesti berdaftar, memenuhi syarat keselamatan dan keberkesanan, serta mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Foto hiasan

Tetapi tidak semua negara di rantau Asia Pasifik mempunyai tahap kawalan yang sama. Ada negara yang tegas seperti Korea Selatan dan Taiwan, manakala negara lain masih longgar dari segi penguatkuasaan.

Dalam suasana ini, pengesahan saintifik terhadap suplemen memainkan peranan penting.

Teknologi Baharu

Syarikat yang benar-benar komited terhadap keselamatan dan keberkesanan produk akan melabur dalam penyelidikan, bekerjasama dengan pakar saintifik, serta melakukan ujian pihak ketiga untuk mengesahkan ketulenan dan kandungan produk.

“Penggunaan teknologi baharu seperti pemakanan jitu dan pengoptimuman bio-ketersediaan meningkatkan lagi tahap penyerapan dan keberkesanan makanan tambahan, memastikan pengguna menerima manfaat maksimum daripada pilihan pemakanan mereka,” jelas Alex.

Bagi pengguna, penting untuk bijak memilih. Semak label dengan teliti, pastikan tiada bahan yang mencurigakan atau potensi alergen, dan rujuk sumber sah seperti www.npra.gov.my

untuk menyemak status pendaftaran produk.

Akhirnya, memilih suplemen bukan sekadar ikut trend. Ia memerlukan kesedaran, ilmu dan tanggungjawab untuk melindungi kesihatan diri.

Dan jenama yang berlandaskan sains serta telus dalam proses pembuatan akan sentiasa jadi pilihan yang lebih diyakini.

Subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim