Sebut sahaja peria , pastinya ramai yang membayangkan kepahitannya. Bak kata orang tua yang pahit itulah ubat. Peria atau nama saintifiknya Momordica charantia diakui sejak zaman dahulu lagi akan khasiatnya dalam perubatan tradisional berasaskan herba.
Terdapat dua jenis peria iaitu peria biasa yang berbentuk panjang dan juga peria katak yang bersaiz lebih kecil.
Kebiasaannya, pokok peria ini mudah didapati di negara-negara beriklim tropika yang panas dan khatulistiwa seperti di negara kita, Indonesia, Sri Lanka, India dan Filipina.
Sayur peria amat diminati oleh masyarakat Cina. Walaupun pahit tetapi mempunyai banyak khasiat.
Bagi mengurangkan rasa pahit, peria direndam dalam air garam terlebih dahulu sebelum dimasak.
Ads
Habitat pokoknya memanjat menggunakan sulur paut manakala daunnya bersaiz sederhana mengandungi lima cuping dan berbau langu.
Bunganya berwarna kuning sementara buahnya pula ada yang berbentuk panjang dan bujur, bergantung kepada benih dan jenisnya, namun yang pasti peria mempunyai kulit yang berkedut-kedut.
Ads
Berdasarkan kajian, setiap 100 gram peria mengandungi 0.8 gram protein untuk membina tisu badan, 2.9 gram karbohidrat untuk tenaga, 0.9 gram fiber untuk penghadaman dan 56 miligram kalsium untuk menguatkan gigi dan tulang.
Lain-lain kandungan peria ialah lemak dan mineral. Peria juga boleh mencuci darah kotor yang menyebabkan bisul, kudis buta dan gatal-gatal. Caranya ialah dengan meminum segelas perahan buahnya yang dicampur dengan perahan limau nipis. Lakukan amalan ini selama tiga hingga empat bulan.
Ads
Ini boleh membantu mereka yang mengalami masalah gout, lelah, darah tinggi dan kencing manis. Bagi mereka yang mengalami masalah ketagihan alkohol, anda boleh cuba meminum perahan daunnya.
Perahan yang sama juga boleh digunakan untuk mengubati buasir. Caranya ialah mencampurkan perahan air daun peria dengan segelas susu dan amalkan selama sebulan; manakala akarnya dilumatkan dan airnya disapukan pada bahagian buasir.
Walaupun pahit, peria mengandungi tonik yang bertindak sebagai julap dan membuka selera makan. Selain itu, ia juga boleh dijadikan ulam oleh wanita yang baru bersalin untuk menambah susu badan.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Siapa tak kenal dengan Mr.Bean, boleh dikatakan setiap dari kita pasti terhibur dengan karekter sitkom yang paling terkenal di dunia. Sama ada kanak-kanak, mahupun golongan dewasa, pasti tak kering gusi melihat telatah Mr.Bean, yang dipopularkan oleh Rowan Atkinson. Imej Rowan tidak dapat dipisahkan dengan Mr.Bean.
Rowan berusia 11 tahun ketika memasuki Durham Choristers School manakala Tony Blair berusia 13 tahun. Kedua-dua individu ini adalah berbeza dari segi tingkah laku yang mana Rowan agak pemalu dan menyendiri dan Tony pula sangat mudah mesra dan menjadi model pelajar lain.
Kalau yang tak tahu, pasti beranggapan beliau adalah seorang yang seperti tidak berpelajaran, disebabkan oleh watak yang dibawa. Namun, Rowan Atkinson merupakan seorang yang sangat pintar. Beliau menamatkan ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan di Universiti Newcastle dan kemudiannya menyambungkan pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang yang sama di Queen’s College, Oxford. Beliau menghasilkan tesis bertajuk “Self – Tuning Control”.
Rowan mengalami masalah di mana beliau gagap. Namun, beliau menggunakan kekurangan itu dan menjadikannya sebagai alat komedi kerana menyebut “B” dengan lebih menonjol dan pelik. Ketika di bangku sekolah, beliau sukar untuk berkomunikasi dengan rakannya, membuatkan Rowan tertekan. Beliau kemudian dapat mengawal masalah itu ketika mula berlakon. “Jika saya melakonkan karekter selain diri saya, gagap saya hilang. Mungkin sebab ini saya membuatkan saya lebih bersemangat dalam karier ini,” jelas beliau.
Rowan merupakan seorang yang aktif dalam lakonan ketika di Oxford. Ketika di semester pertama, beliau pernah diarahkan untuk membuat satu sketsa yang mungkin akan dipersembahkan di Oxford Playhouse. Disebabkan beliau tidak pernah menulis apa-apa sebelum itu, beliau agak bingung. Masa yang ada hanyalah 2 hari dan tiba-tiba beliau mendapat idea untuk menghasilkan karekter yang pelik dan bisu, ketika sedang berdiri di hadapan cermin dengan gimik mukanya yang popular. Dari situlah bermulanya idea untuk menghasilkan Mr.Bean yang menjadi fenomena dunia.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa Mr.Bean? Adakah beliau suka makan kacang? Sebenarnya tidak. Nama Mr.Bean tidak terlintas, sehinggalah penghasilan program pertama. Beberapa nama berdasarkan sayur-sayuran dipertimbangkan, termasuklah Mr.Cauliflower dan Mr.White. Namun akhirnya nama Mr.Bean dipilih, yang kemudiannya menjadi trademark dan sinonim dengan watak yang dibawa beliau.
Agak pelik apabila difikirkan kerana rancangan Mr.Bean sangat kerap ditayangkan untuk tempoh berpuluh tahun, namun percaya atau tidak, realitinya rancangan Mr.Bean hanya mempunyai 14 episod keseluruhan. Ya, hanya 14 episod dan satu musim sahaja. Namun, ia mengambil masa 16 tahun. Setiap episod berdurasi 25 minit, dan mula ditayangkan pada 1 Januari 1990 bagi episod 1 dan berakhir dengan episod 14 pada 2006.
Bukan sahaja memiliki ijazah kejuruteraan elektrik dan genius dalam komedi, beliau juga mempunyai lesen lori. Disebabkan minat yang sangat tinggi terhadap lori, beliau telah mengambil ujian dan lulus, menjadikannya pemegang lesen kategori C+E (dahulunya Kelas 1). Lesen tersebut membolehkan beliau memandu kenderaan dengan berat melebihi 3,500 kilogram bersama treler lebih daripada 750 kilogram.
Pada Mac 2001, Rowan Atkinson bersama-sama isterinya, Sunetra dan anak mereka Ben dan Lily berlepas dari landasan udara di Ukundu, Kenya untuk ke bandar Lapangan Terbang Wilson di bandar Nairobi. Dengan tiba-tiba, juruterbang tersebut pengsan, membuatkan beliau terpaksa melakukan sesuatu. Tanpa apa-apa pengalaman dan latihan sebelum ini mengenai pemanduan pesawat, Rowan terpaksa mengambil alih tugas juruterbang ketika itu.
Dan apa yang mengejutkan adalah beliau berjaya mengawal pesawat tersebut di udara sehinggalah juruterbang tersebut kembali sedar.
Sumber : Illuminasi
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Sejak kebelakangan ini, tajuk berita mengenai kes buli, rogol dan paling teruk kes bunuh berlaku di sekolah seolah menjadi suapan harian berita buat kita semua. Sebelum bercakap tentang peranan bapa, terdahulu kita perlu akui perkara ini semua secara tak langsung menjadi satu cerminan bahawa ada sesuatu yang rosak dalam sistem nilai dan moral masyarakat kita.
Persoalannya, di mana silapnya? Adakah pada sistem pendidikan? Institusi keluarga? Atau pada budaya moden yang kita sendiri cipta dan agungkan?
Kita selalu menuding jari ke sekolah apabila anak-anak tersasar, tetapi realitinya, pembentukan akhlak dan moral tidak bermula di pagar sekolah tapi ia bermula di rumah.
Di situlah akar nilai manusia terbentuk, di situ juga asas empati, hormat dan kasih sayang dipupuk. Sekolah hanyalah medan melatih minda. Manakala rumah pula medan membina jiwa.
Namun dalam dunia moden yang serba pantas dan berteknologi ini, persekitaran yang sepatutnya menjadi benteng emosi bagi anak-anak semakin longgar.
Tekanan hidup, ketidakseimbangan masa antara kerja dan keluarga, serta pendedahan berlebihan terhadap dunia digital menjadikan generasi muda kita keliru. Bukan hanya tentang dunia, tetapi tentang diri mereka sendiri.
Sekolah hari ini menjadi tempat anak-anak menimba ilmu dan kemahiran teknikal. Mereka belajar mengira, membaca, berdebat, dan memahami sains.
Tapi sejujurnya, pendidikan moral dan sahsiah tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada guru. Guru ialah pembimbing, bukan pengganti ibu bapa.
Dalam banyak kes buli dan salah laku, akar masalah sering bermula dari rumah. Ada anak yang membesar dengan bapa yang tidak hadir secara emosional walaupun ada secara fizikal.
Ada yang tidak pernah mendengar kata pujian atau nasihat penuh makna daripada seorang ayah.
Peranan bapa dalam membentuk sahsiah anak amat penting kerana dari situlah nilai moral dan keteguhan jiwa anak terbina.
Kita terlalu menekankan pencapaian akademik, tetapi gagal menanam asas moral dan kawalan diri.
Lalu lahirlah generasi yang pintar dalam skor peperiksaan, tetapi kosong dalam memahami nilai kemanusiaan.
Dalam konteks pembentukan sahsiah anak-anak, khususnya remaja lelaki, peranan bapa tidak boleh diremehkan. Seorang bapa bukan sekadar pencari rezeki atau penguat kuasa disiplin, tetapi simbol kestabilan dan kekuatan moral.
Kehadirannya bukan sekadar fizikal, tetapi juga emosi, membantu membentuk cara anak melihat dunia, menilai tindakan dan menghormati orang lain.
Kajian psikologi menunjukkan bahawa remaja yang rapat dengan ayah lebih cenderung mengawal emosi dan membuat keputusan matang.
Mereka kurang terdedah kepada pengaruh rakan sebaya yang negatif kerana tahu nilai diri mereka. Ayah yang melibatkan diri dalam kehidupan anak bukan hanya membantu secara akademik, tetapi juga membina empati dan keteguhan jiwa.
Ini membuktikan bahawa peranan bapa dalam membentuk sahsiah anak bukan sekadar penting tapi ia adalah asas kepada kesejahteraan sosial.
Namun realitinya, ramai bapa hari ini terlalu letih dengan beban kerja dan tanggungjawab sosial sehingga lupa bahawa anak tidak perlukan kemewahan semata-mata — mereka perlukan perhatian, panduan dan contoh.
Mereka tidak belajar tentang kekuatan lelaki daripada media sosial, tetapi daripada ayah yang mereka lihat setiap hari.
Kita tidak boleh menafikan bahawa cabaran zaman sekarang jauh lebih kompleks. Tekanan akademik, buli siber, perbandingan sosial dan kehilangan arah diri menjadi punca utama gangguan emosi dalam kalangan remaja.
Namun, masih ramai ibu bapa, terutamanya bapa, yang melihat isu ini sebagai “manja” atau “lemah semangat”.
Hakikatnya, kesihatan mental anak-anak adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal mereka. Jika remaja tidak tahu cara mengurus tekanan, mereka akan mencarinya di tempat lain, mungkin melalui pemberontakan, buli, atau tingkah laku berisiko. Inilah sebab utama mengapa peranan bapa dalam membentuk sahsiah anak mesti diberi keutamaan dalam kehidupan moden hari ini.
Kes buli dan keganasan di sekolah bukan masalah terpencil — ia adalah simptom kepada penyakit sosial yang lebih dalam.
Rumah yang kehilangan peranan sebagai tempat membina nilai, dan bapa yang hilang dari peranan mendidik, menjadi antara punca utama.
Anak-anak tidak dilahirkan ganas; mereka dibentuk oleh dunia yang tidak stabil dan kasih sayang yang tidak cukup.
Dan selagi bapa terus menjadi figura yang hanya memberi arahan tanpa menjadi contoh, selagi itu kita akan terus membaca tajuk berita yang sama iaitu tentang anak-anak yang hilang arah. Dan kita sebagai masyarakat akan terus tertanya, “Di mana silapnya kita?”
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Mungkin ramai tidak menyangka bahawa penyanyi, penulis lirik dan artis serba boleh. Faizal Tahir tidak pernah mengadakan konsert solonya sepanjang aktif dalam industri nyanyian.
Selepas 17 tahun mengabdikan diri dalam karier nyanyian, Faizal Tahir akhirnya dibukakan hatinya untuk mengadakan konsert solo yang cukup dinantikan oleh peminatnya di seluruh negara. Pengumuman konsert ‘Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur’ pantas menjadi buah mulut terutamanya pengguna laman media sosial.
Rata-rata berasa teruja untuk menyaksikan persembahannya dan tidak kurang juga yang membicarakan tentang harga tiket yang ramai menganggap sedikit mahal.
Pada sidang media yang berlangsung di Jio Space, Petaling Jaya semalam, Faizal Tahir sempat berkongsi serba sedikit tentang perkara ini.
Jelasnya, walaupun sedikit terkejut selepas dimaklumkan oleh pengurus acara, Jio Events tentang harga tiket konsertnya bermula pada harga RM488 (platinum) hingga RM688 (VIP) namun dia percaya ada sebab munasabah.
“Saya sedikit terkejut tapi tak adalah sampai saya persoalkan, saya letakkan bidang ini kepada yang pakar. Mereka ada data dan analisis tersendiri.
“Soal harga ini saya tak boleh jawab lebih sebab di luar bidang kuasa saya. Saya pun sejujurnya bila tengok harga tiket tu ada bertanya semula kepada mereka (pengurusan), tapi saya serahkan segalanya kepada mereka.
“Saya tak tahu nak kata salah saya juga tak ambil pusing harga tiket atau tak tanya, tapi saya difahamkan mereka mengambil kira banyak benda sebelum meletakkan harga tiket sebegitu.
Faizal juga turut menegaskan bahawa untuk melakukan semakan semula harga tiket bukan satu perkara yang baik juga sebab sudah diumumkan. Tambahnya lagi, dia yakin pihak penganjur pun sudah ada strategi dan pakej yang disediakan.
Dengan harga yang diletakkan pada paras itu, Faizal bertekad untuk memberikan persembahan terbaik bagi memberikan keadlian terhadap harga tiket yang dibayar oleh peminatnya.
Menurut pelantun lagu ‘Sampai Syurga’ ini lagi dia tidak ingin mengambil kritikan yang boleh mengacau fokusnya.
“The show must go on, sentiasa ada kebarangkalian orang tak nak beli atauorang nak boikit. Kalau tak ada orang nak masuk tengok pun, saya akan masih teruskan persembahan.
“Tapi saya sebagai artis yang sudah 17 tahun dalam industri, saya ada sesuatu untuk dikongsikan kepada orang ramai dan saya akan pastikan ini adalah lebih kepada pengalaman muzik. Bukan hanya datang tengok saya perform dan balik tak dapat apa,” tambahnya lagi.
Konsert ‘Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur’ ini dibawakan secara eksklusif oleh Allianz Malaysia Berhada pada 2 September 2023 di Dewan Merdeka, World Trade Centre.
Tiket-tiket berharga RM488 (Platinum), RM588 (Diamond) dan RM688 (VIP) boleh dibeli menerusi www.jiotix.asia atau hubungi hotline: 011-5100 3111 (kiriman WhatsApp sahaja).
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang