Mahkamah Tolak Permohonan Jaminan Sean ‘Diddy’ Combs

Share

Dunia muzik terutamanya hip hop dikejutkan sekali lagi apabila figura besar industri, Sean ‘Diddy’ Combs, kini berdepan kemungkinan menghabiskan sisa hidupnya di sebalik tirai besi.

Pada usia 55 tahun, nama yang pernah menjadi lambang kejayaan dalam dunia hiburan dan perniagaan itu kini berada dalam situasi paling getir sepanjang kariernya.

Terbaru, mahkamah di New York menolak permohonan jaminan Combs, sekali gus mengekalkannya dalam tahanan sehingga tarikh hukuman pada 3 Oktober.

Penolakan itu datang meskipun pasukan peguamnya menawarkan pakej jaminan bernilai USD50 juta (RM211 juta) dan berhujah bahawa beliau tidak berisiko melarikan diri atau mengancam keselamatan awam.

Permohonan jaminan ini bukanlah yang pertama. Sebelum ini, usaha sama dari pihaknya turut ditolak. Menurut laporan media tempatan, hakim berpandangan bahawa faktor keseriusan tuduhan dan impak sosial kes menjadikan pembebasan sementara satu risiko yang tidak wajar diambil.

Kredit: AP Photo

Combs didapati bersalah atas beberapa tuduhan berkaitan pelacuran, walaupun berjaya dibebaskan daripada tuduhan lebih berat dalam perbicaraan yang berlangsung sejak Julai lalu.

KETERANGAN SAKSI TERHADAP DIDDY

Beliau sebelum ini ditahan pada September tahun lepas, selepas siri dakwaan berkaitan kesalahan seksual mula menyeruak ke permukaan.

Pihak pendakwa raya menyifatkan tindakan Combs sebagai satu corak penderaan sistematik yang berlaku dalam jangka masa panjang.

Antara dakwaan yang dikemukakan termasuk paksaan, ugutan, dan penderaan fizikal serta seksual ke atas beberapa wanita.

Keterangan daripada saksi-saksi sepanjang perbicaraan memperkukuh gambaran gelap yang bertentangan sepenuhnya dengan persona awam Combs.

Kredit: AP Photo

Ironinya, lelaki yang suatu ketika dahulu mengangkat martabat hip hop ke pentas global, kini menjadi simbol kejatuhan dan pengkhianatan terhadap kuasa, kekayaan dan pengaruh yang disalah guna.

Jika disabitkan atas semua pertuduhan asal, Combs berdepan hukuman penjara seumur hidup. Namun buat masa ini, jangka hukuman maksimum yang dijangkakan ialah 20 tahun.

BACA: Debaran Episod Akhir ‘Honey Trap’ Bakal Jawab Persoalan, MSB atau CAKRA Siapa Akan Berkuasa?

Dunia sedang menanti tarikh 3 Oktober. Bukan kerana pelancaran album atau acara karpet merah, tetapi sebagai detik penentu bagi seorang ikon yang kini berada di ambang sejarah hitam.

Sama ada Sean ‘Diddy’ Combs akan terus dikenang sebagai perintis muzik atau jatuh sebagai figura yang gagal mengawal bayang-bayang kuasanya sendiri, hanya masa yang akan menentukannya.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim