Malaysia #QuranHour 2025 Bakal Semarakkan Semangat ‘Merdeka Dengan Rasa’

Share

Memartabatkan Al-Quran dalam kehidupan semestinya menjadi perkara penting dan utama buat semua umat Islam. Pada tahun ini penganjuran Malaysia #QuranHour 2025 bakal berlangsung pada 30 Ogos. Kali ini ia membawa mesej amat relevan dengan semangat kemerdekaan di bawah tema ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff, surah al-Saff menjadi surah pilihan untuk diangkat pada tahu ini sebagai rujukan utama.

Ini kerana kandungannya menekankan peri pentingnya kesatuan, keikhlasan, disiplin dan keberanian dalam memperjuangkan kebenaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff

“Ayat-ayat dalam surah ini menjadi panduan untuk membina kekuatan masyarakat yang bukan sahaja taat kepada ALLAH, malah mampu memainkan peranan penting dalam membangunkan negara.

“Dalam konteks Malaysia Madani, kita melihat empat golongan yang perlu disantuni dengan penuh tanggungjawab dan adab. Pertama, rakyat yang saling menyantuni antara satu sama lain. Kedua, pemimpin yang memikul amanah besar.

“Ketiga, ahli Parlimen sebagai pembuat dasar dan keempat, penjawat awam yang menjadi pelaksana dasar negara,” katanya ketika program Interviu yang dihoskan Haizir Othman di Studio F, Kompleks Karangkraf di sini pada Isnin.

Penganjuran Malaysia #QuranHour pada tahun ini bakal dari jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari di Masjid Negara Kuala Lumpur dan turut dilaksanakan serentak di seluruh negara.

Sebagai penyiar utama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan program itu secara langsung bersama sinergi media lain seperti Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Sinar Harian, Media Prima, IKIM FM, Zayan FM, TV IKIM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv dan Santai Travel.

SERUAN UNTUK SEMUA

Dalam pada itu Marhaini berkata, Malaysia #QuranHour 2025 membawa misi #ResetRasa iaitu satu seruan untuk semua golongan masyarakat agar kembali menyemak arah perjuangan dan meningkatkan sensitiviti terhadap penderitaan di sekeliling.

“Surah al-Saff khususnya ayat 14 memperlihatkan peranan empat golongan utama iaitu pemimpin, pembina dasar, penjawat awam dan rakyat untuk membentuk saf kukuh dengan rasa, sabar dan kasih sayang,” katanya.

Beliau berkata, tema ‘Merdeka dengan Rasa’ menyeru masyarakat membebaskan diri daripada keangkuhan dan ketidakadilan ke arah pembentukan masyarakat yang adil, berihsan dan saling menyantuni.

“Malaysia #QuranHour bukan sekadar kempen membaca al-Quran tetapi satu gerakan nilai yang menyeru rakyat merasai, menyahut dan bertindak berpaksikan ALLAH SWT sebagai pusat perjuangan,” tambahnya lagi.

Penyampai radio Zayan, Mohd Faizal Ismail juga turut menyifatkan penganjuran Malaysia #QuranHour sebagai ruang penting untuk umat Islam kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian.

BACA: Tip & Teknik Dapatkan Larian 10km Dalam Masa Sebulan

“Kita memang perlu berusaha untuk menghidupkan al-Quran terutama dalam kalangan anak-anak muda dan masyarakat keseluruhannya.

“Mungkin dalam masa sekarang ini kita terlalu sibuk dengan kerja dan komitmen lain sehingga secara tidak sedar makin jauh daripada al-Quran, walaupun kita tahu al-Quran itu sangat penting dalam hidup kita sebagai umat Islam.

Faizal Ismail

“Tetapi Alhamdulillah, dengan adanya Malaysia Quran Hour dan World Quran Hour, sedikit sebanyak ia akan beri peluang untuk kita reset momentum, semak kembali jadual harian sama ada kita benar-benar memperuntukkan masa untuk al-Quran,” jelasnya dalam satu temu bual bersama Sinar Harian.

Buat anda di sekitar Lembah Klang ayuh turun sama-sama mengimarahkan Masjid Negara dengan program cukup istimewa Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos 2025!

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim