Mandul Bukan Salah Wanita Saja, Dr Say Dedah Realiti Kesuburan Lelaki!

Share

Baru-baru ini, ketika ditanya mengenai topik ini dalam sebuah podcast ‘MASKULIN Gentle Cakap’ bersempena tayangan drama Mandul Bukan Pilihan di Astro, Dr Say Shazril tampil menjelaskan definisi sebenar kemandulan lelaki serta berkongsi pengalamannya sendiri.

Drama lakonan Hun Haqeem dan Mira Filzah tersebut menceritakan kisah rumah tangga yang diuji dengan hebatnya apabila isu zuriat dijadikan taruhan.

Watak Aldi (Hun Haqeem) misalnya terpaksa berdepan syarat berat daripada keluarga isterinya yang menetapkan pampasan RM1 juta jika mahu menceraikan anak mereka sekiranya terbukti mandul.

Walaupun dramatik, ia menyentuh realiti yang dihadapi oleh ramai pasangan di luar sana. Isu kemandulan terutamanya di kalangan lelaki jarang diperkatakan. Apa puncanya?

Foto : seeni

Mandul vs Tak Subur

Menurut Dr Say, masyarakat masih keliru dengan istilah mandul dan tak subur.

Mandul bermaksud langsung tiada peluang untuk mendapat anak, manakala tak subur pula bermaksud masih ada kemungkinan, walaupun kecil.

Beliau menjelaskan, pasangan yang sudah berkahwin lebih setahun, berhubungan secara normal tanpa perlindungan tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata, itu disebut kes primer.

Jika pasangan sudah ada anak tetapi gagal untuk anak seterusnya selepas tempoh mencuba yang panjang, itu pula dinamakan sekunder.

Ramai pasangan tertekan kerana menyangka mereka mandul, sedangkan sebenarnya mereka hanya tergolong dalam kategori tak subur.

Pengalaman Peribadi Dr Say

Lebih menarik, Dr Say sendiri pernah berdepan situasi ini. Beliau mendirikan rumah tangga pada tahun 2014, namun anak pertama mereka hanya lahir pada 2019.

Sepanjang tempoh lima tahun itu, beliau dan isteri berhubungan tanpa sebarang perlindungan, tetapi hasilnya tetap kosong.

Katanya, “Awal-awal kahwin, kami sibuk dengan kerja. Bila sudah beberapa tahun, baru mula timbul rasa pelik. Kenapa orang lain mudah dapat anak, tetapi kami tidak?”

Apabila menjalani pemeriksaan, Dr Say mendapati masalah datang daripada kualiti spermanya.

Morfologi sperma tidak normal ada sperma yang berkepala dua, tiada ekor, dan bentuknya cacat.

Secara saintifik, sperma yang tidak sempurna seperti ini sukar untuk sampai ke ovum dan menembusi lapisan luar telur bagi proses persenyawaan.

Faktor Gaya Hidup Jadi Punca

Selain faktor genetik dan biologi, gaya hidup moden lelaki hari ini turut menyumbang kepada isu kesuburan.

Menurut Dr Say, pengambilan kafein yang berlebihan seperti kopi, minuman tenaga dan suplemen pre-workout boleh memberi kesan negatif terhadap kualiti sperma.

 

Pemakaian seluar yang terlalu ketat, khususnya skinny jeans, serta tabiat meletakkan laptop di atas riba juga meningkatkan suhu testis.

Beliau mengimbas kembali zaman mudanya, ketika aktif bersenam dan bertanding dalam dunia kecergasan.

Ketika itu, beliau mengambil banyak produk tenaga serta mengenakan pakaian ketat demi gaya.

Namun akhirnya semua itu meninggalkan kesan terhadap tahap kesuburannya.

Boleh Tahu Dari Luaran?

Salah satu soalan yang kerap ditanya kepada Dr Say adalah sama ada kesuburan boleh dilihat dari luaran. Jawapannya, tidak.

Beliau menegaskan, “Ada orang tubuh gempal, merokok pula setiap hari, tetapi ada anak ramai. Ada pula lelaki yang nampak gagah, berotot dan nampak sihat, tetapi sebenarnya tak subur. Jadi, kesuburan bukanlah sesuatu yang boleh diukur dengan mata kasar.”

Ini sekaligus membetulkan persepsi masyarakat bahawa tubuh sasa dan gaya hidup sihat secara automatik menjamin kesuburan. Hakikatnya, setiap individu berbeza. 

BACA LAGI : Joseph Pilates, Lelaki Di Sebalik Asal Usul Senaman Regangan Badan

Cermin Realiti Dalam Drama

Foto : HelloDoktor

Apa yang dipaparkan dalam Mandul Bukan Pilihan

sebenarnya cerminan realiti yang berlaku dalam masyarakat.

Ramai pasangan berdepan tekanan bukan sahaja dari dalam rumah tangga, tetapi juga daripada keluarga dan masyarakat sekeliling.

Dalam drama, isu kemandulan dijadikan syarat yang berat jika terbukti mandul, watak Aldi terpaksa membayar pampasan RM1 juta kepada keluarga isterinya.

Melalui drama ini, penonton dapat melihat bahawa kemandulan bukan isu sebelah pihak.

Lelaki juga boleh menjadi punca, dan ia seharusnya difahami sebagai isu kesihatan bersama.

Realitinya, isu kemandulan bukan sesuatu yang patut dipersalahkan kepada satu pihak sahaja.

Sama seperti mesej yang cuba disampaikan dalam drama Mandul Bukan Pilihan, pasangan suami isteri seharusnya saling menyokong antara satu sama lain.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain