Automotif

Mercedes-Benz Raikan 140 Tahun Inovasi Di Malaysia, Pamer S-Class Baharu

Share

Mercedes-Benz menandakan satu lagi detik bersejarah apabila meraikan ulang tahun ke-140 jenama itu menerusi kempen global “140 Years. 140 Places.” yang kini singgah di Malaysia.

Kempen berskala antarabangsa tersebut merupakan satu perjalanan epik merentasi enam benua menggunakan Mercedes-Benz S-Class baharu bagi meraikan 140 tahun inovasi sejak Carl Benz memfailkan paten automobil pertama dunia pada tahun 1886.

Selepas memulakan perjalanan dari Stuttgart, Jerman pada 29 Januari 2026, konvoi khas ini kini tiba di Kuala Lumpur sebagai salah satu daripada 140 destinasi terpilih di seluruh dunia.

Bersempena sambutan tersebut, Mercedes-Benz Malaysia bakal mengadakan acara khas di House of Mercedes-Benz, KLCC Square pada 30 dan 31 Mei yang menjanjikan pengalaman eksklusif kepada peminat automotif serta pelanggan jenama berkenaan.

Malaysia Punya Hubungan Istimewa Dengan Mercedes-Benz

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia serta Ketua Wilayah Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz, sambutan ulang tahun ke-140 ini mempunyai makna tersendiri buat Malaysia.

“140 Tahun Inovasi bagi Mercedes-Benz bukan sekadar satu pencapaian, tetapi bukti kepada apa yang boleh dicapai apabila semangat, ketelitian dan tujuan digabungkan bersama.

“Bagi Malaysia, sambutan ini mempunyai makna yang cukup istimewa. Menerusi perjalanan ‘140 Years. 140 Places.’ ini, kami berbangga untuk meraikan dan berkongsi warisan serta sejarah kaya jenama kami dengan rakyat Malaysia.

“Ia satu legasi yang dibina selama beberapa dekad menerusi komitmen berterusan Mercedes-Benz dalam mewujudkan hubungan bermakna dan berkekalan bersama pelanggan,” tambahnya lagi.

Hubungan Mercedes-Benz dengan Malaysia sebenarnya telah bermula lebih satu abad lalu. Sejarah mencatatkan bahawa Sultan Johor dipercayai antara individu terawal di Tanah Melayu yang memiliki sebuah Mercedes-Benz pada awal abad ke-20.

Perjalanan itu kemudiannya berkembang apabila jualan rasmi bermula pada tahun 1951 menerusi Cycle & Carriage sebelum Malaysia mencipta satu lagi sejarah penting pada tahun 1983 apabila menjadi negara pertama di dunia di luar Jerman yang memasang model Mercedes-Benz S-Class secara tempatan.

Pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pasaran paling penting dalam rangkaian global Mercedes-Benz.

S-Class Baharu Jadi Tumpuan Utama

Antara tarikan terbesar acara ini pastinya kemunculan Mercedes-Benz S-Class baharu yang bakal dipertontonkan kepada umum buat kali pertama.

Model ikonik tersebut menerima pelbagai penambahbaikan termasuk lebih 2,700 komponen yang dibangunkan atau direka semula bagi memastikan ia terus menjadi penanda aras dalam segmen sedan mewah.

Antara perubahan paling ketara ialah gril hadapan bercahaya yang kini 20 peratus lebih besar selain penggunaan sistem operasi terkini Mercedes-Benz Operating System (MB.OS) serta MBUX Superscreen yang menawarkan pengalaman digital lebih canggih dan intuitif.

Gabungan teknologi tersebut bersama sistem suspensi udara AIRMATIC yang terkenal dengan tahap keselesaan luar biasa menjadikan S-Class baharu sebagai simbol kemewahan moden Mercedes-Benz.

Jentera Formula 1 Mercedes Turut Dipamerkan

Bukan itu sahaja, peminat Formula 1 turut berpeluang melihat dengan lebih dekat jentera Mercedes MGP W01 yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Model tersebut merupakan jentera pertama hasil kerjasama antara PETRONAS dan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team.

Kerjasama yang bermula sejak tahun 2010 itu telah menghasilkan lapan kejuaraan Constructors’ Championship berturut-turut dari tahun 2014 hingga 2021 selain tujuh kejuaraan Drivers’ Championship.

Kehadiran jentera tersebut dijangka menjadi antara tarikan utama sepanjang acara berlangsung memandangkan PETRONAS merupakan rakan teknikal dan penaja utama pasukan Formula 1 Mercedes.

BACA: Izzue Islam Sebak Terima Nissan GT-R R35 Hadiah Daripada Isteri Sempena Hari Jadi Ke-36

Lebih Daripada Sekadar Kereta

Bagi Mercedes-Benz, sambutan ulang tahun ke-140 ini bukan sekadar meraikan sejarah dan pencapaian kejuruteraan.

Ia juga melambangkan evolusi pengalaman pelanggan yang kini menjadi fokus utama jenama berkenaan.

Menerusi program seperti Agility+ dan Young Star Agility+, Mercedes-Benz mahu menjadikan pemilikan kenderaan premium lebih mudah diakses sambil menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh.

Pendekatan tersebut turut disokong oleh pelbagai acara eksklusif, komuniti pelanggan serta pengalaman gaya hidup yang direka khas untuk pemilik Mercedes-Benz.

Dalam era automotif yang semakin kompetitif, Mercedes-Benz terus membuktikan bahawa kekuatan sebenar mereka bukan sekadar menghasilkan kereta premium, tetapi membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan.

Dan menerusi kempen “140 Years. 140 Places.”, Malaysia sekali lagi menjadi sebahagian daripada sejarah panjang jenama automotif paling berpengaruh dunia itu.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim