
Memiliki sebuah Mercedes-Benz kini hadir dengan pilihan pembiayaan yang lebih fleksibel menerusi pengenalan kempen FLEX oleh Mercedes-Benz Malaysia, yang menampilkan pelan Agility+ dengan bayaran bulanan bermula daripada RM1,988.
Lebih daripada sekadar skim pembiayaan, Agility+ diperkenalkan sebagai penyelesaian mobiliti menyeluruh yang membolehkan pelanggan menyesuaikan pemilikan kenderaan mengikut kemampuan, gaya hidup dan perancangan kewangan masing-masing. Pelan ini ditawarkan untuk pelbagai model, daripada Mercedes-Benz A-Class hingga S-Class, termasuk rangkaian Mercedes-AMG.
Pendekatan tersebut selari dengan perubahan keperluan pengguna masa kini yang tidak lagi hanya melihat pemilikan kereta dari sudut harga jualan semata-mata. Faktor seperti komitmen bulanan, tempoh pembiayaan, jarak perjalanan tahunan dan pilihan selepas tamat kontrak turut memainkan peranan penting.
Menerusi Agility+, pelanggan boleh memilih tempoh pembiayaan antara satu hingga lima tahun, selain pilihan sehingga tujuh tahun. Bayaran pendahuluan pula bermula serendah 10 peratus.
Pelanggan turut boleh menentukan jarak perjalanan tahunan mengikut keperluan, bermula daripada 10,000 kilometer hingga 30,000 kilometer. Pilihan ini memberi lebih ruang kepada pengguna yang mempunyai corak pemanduan berbeza, sama ada menggunakan kenderaan untuk perjalanan harian di bandar atau kerap memandu jarak jauh.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia serta Ketua Rantau Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz berkata nama FLEX mencerminkan kebebasan pelanggan untuk memilih bagaimana mereka mahu menikmati pengalaman bersama jenama itu.
“Sepanjang lebih satu abad, Mercedes-Benz dipacu oleh inovasi dan komitmen untuk terus mengembangkan cara orang ramai menikmati mobiliti. Seperti yang dicerminkan melalui nama FLEX, pelanggan kini boleh menikmati fleksibiliti dalam pelan kewangan serta memilih pengalaman bersama jenama ini mengikut cara mereka sendiri,” katanya.
Menurutnya, pengalaman memiliki Mercedes-Benz bukan lagi hanya ditentukan oleh kenderaan yang dipandu, tetapi bagaimana setiap perjalanan dapat disesuaikan dengan gaya hidup pelanggan.
Antara ciri utama Agility+ ialah Guaranteed Future Value atau GFV. Sistem ini menetapkan nilai masa hadapan kenderaan sejak awal pembelian, bukannya hanya selepas tempoh perjanjian tamat.
Struktur tersebut membantu mengurangkan bayaran bulanan berbanding pinjaman konvensional.
Apabila tempoh pembiayaan berakhir, pelanggan diberikan tiga pilihan utama, iaitu melunaskan baki GFV dan menyimpan kenderaan, memulangkannya atau menggunakan nilai ekuiti untuk mendapatkan Mercedes-Benz baharu.
Pendekatan ini sesuai untuk pengguna yang gemar menukar kereta selepas beberapa tahun tanpa perlu terlalu memikirkan nilai jualan semula. Dalam masa sama, pelanggan yang mahu terus menyimpan kenderaan masih mempunyai pilihan untuk menyelesaikan baki pembayaran.
Agility+ turut boleh disesuaikan dengan beberapa keistimewaan tambahan, termasuk lanjutan waranti selama setahun, sehingga empat Compact Service Packages dan MobilityPlus.
Menerusi MobilityPlus, pelanggan boleh menerima sebuah Mercedes-Benz gantian sekiranya proses servis, tuntutan waranti atau pembaikan kemalangan mengambil masa 48 jam atau lebih. Pelanggan yang mempertimbangkan model Mercedes-Benz Certified Pre-Owned pula boleh memilih Young Star Agility+ yang turut dilengkapi GFV.
Selain aspek pembiayaan, pelanggan juga berpeluang menyertai pengalaman eksklusif seperti Mercedes-Benz Driving Experience, Mercedes-Benz FashionWeek Kuala Lumpur, MercedesTrophy dan program 100,000 km Club.
Sokongan selepas jualan pula disediakan menerusi 31 pusat jualan dan servis Mercedes-Benz di seluruh negara, termasuk khidmat juruteknik bertauliah.
BACA: Dua Badang Negara Gegarkan Glasgow, Sukan Angkat Berat Malaysia Raih Dua Emas Penuh Bergaya
Pengenalan Agility+ memperlihatkan bagaimana pemilikan kereta premium semakin berubah daripada pinjaman tradisional kepada pelan yang lebih fleksibel. Namun, pelanggan tetap perlu meneliti jumlah keseluruhan bayaran, had perbatuan, nilai GFV serta terma pemulangan kenderaan sebelum membuat keputusan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
