
MG Motor Malaysia terus menunjukkan momentum positif dalam pasaran automotif tempatan apabila meraikan ulang tahun kedua jenama itu di Malaysia menerusi acara “Passion To Drive” yang berlangsung di Bamboo Hills, Kuala Lumpur.
Sambutan tersebut bukan sekadar meraikan perjalanan dua tahun MG di negara ini, tetapi turut menjadi simbol perkembangan pesat jenama itu dalam segmen kenderaan elektrik dan mobiliti moden.
Sepanjang suku pertama 2026, MG Motor Malaysia dilihat semakin agresif memperkukuhkan kedudukannya menerusi pengembangan produk, aktiviti pelanggan dan pembangunan rangkaian selepas jualan di seluruh negara.
Antara pencapaian terbesar MG tahun ini ialah kejayaan MG Cyberster yang menerima anugerah “Performance Car of the Year” daripada MARii.
Pengiktirafan itu sekali gus mengukuhkan reputasi MG sebagai jenama yang bukan sahaja memfokuskan kepada mobiliti elektrik, tetapi turut menitikberatkan aspek prestasi, reka bentuk moden dan pengalaman pemanduan menyeronokkan.
Selain itu, MG turut memulakan tahun 2026 dengan penganjuran Persidangan Pengedar MG Motor Malaysia serta sambutan Tahun Baharu Cina yang menghimpunkan rangkaian pengedar seluruh negara bagi memperkukuhkan kerjasama dan strategi pertumbuhan jenama.
Salah satu perkembangan paling signifikan buat MG tahun ini ialah pelancaran rasmi MGS5 EV CKD di fasiliti EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka pada Mac lalu.
Model tersebut menjadi kenderaan elektrik pertama MG yang dipasang secara tempatan di Malaysia.
Langkah itu dianggap penting kerana ia bukan sahaja memperlihatkan komitmen jangka panjang MG terhadap pasaran Malaysia, malah menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuhkan pembangunan ekosistem EV tempatan.
MGS5 EV CKD kini ditawarkan pada harga RM116,900 dan menjadi antara model utama MG dalam usaha membawa mobiliti elektrik lebih mampu milik kepada rakyat Malaysia.
Model itu juga sudah tersedia untuk sesi pandu uji di semua bilik pameran MG seluruh negara dengan promosi pelancaran bernilai sehingga RM9,000.
Bagi MG Motor Malaysia, hubungan dengan pelanggan kini menjadi antara fokus utama jenama tersebut.
Sepanjang beberapa bulan lalu, MG aktif menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk kempen bilik pameran, rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya serta kempen pandu uji “Experience British Driving Dynamics”.
Jenama itu juga memperluaskan kehadirannya menerusi siri jelajah di beberapa lokasi gaya hidup dan pusat beli-belah popular seperti Desa ParkCity, Quayside Mall, The Curve, Starling Mall dan IOI City Mall.
Pendekatan ini dilihat membantu pengguna mengenali lebih dekat identiti dan pengalaman pemilikan MG.
Menurut MG Motor Malaysia, prestasi jualan syarikat turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan pada suku pertama 2026.
Jenama itu merekodkan peningkatan jualan sebanyak 57 peratus berbanding suku keempat 2025 dan meningkat 39 peratus tahun ke tahun berbanding suku pertama 2025.
Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi menyifatkan perkembangan tersebut sebagai permulaan yang cukup positif buat jenama itu di Malaysia.
“Suku pertama merupakan permulaan yang bermakna dan memberangsangkan bagi MG di Malaysia.
“Daripada pengiktirafan produk hingga pelancaran tempatan MGS5 EV CKD, pencapaian ini mencerminkan kekuatan rangkaian produk kami serta komitmen jangka panjang kami terhadap pasaran Malaysia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa fokus MG untuk tahun 2026 kekal tertumpu kepada pembangunan produk menarik, pengukuhan penglibatan pelanggan serta peluasan rangkaian jenama menerusi inovasi dan lokalisasi.
Dalam perkembangan lain, MG Motor Malaysia turut mengesahkan penyertaannya dalam Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) akan datang.
Menariknya, acara itu bakal menyaksikan kehadiran Naib Presiden Reka Bentuk Global SAIC Motor, Jozef Kaban yang akan berkongsi falsafah reka bentuk global MG dan hala tuju masa depan jenama tersebut.
Pada masa sama, MG turut merancang memperluaskan rangkaian selepas jualan menerusi pembukaan pusat MG 3S baharu di Kuantan dan Rawang selain meningkatkan fasiliti badan dan cat di seluruh negara.
BACA: 5 Indikasi Menunjukkan Anda Bersedia Sertai HYROX
Dengan momentum jualan yang semakin meningkat serta pelbagai pelan pengembangan sedang dirancang, MG Motor Malaysia jelas mahu mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain utama dalam pasaran EV tempatan.
Dan selepas dua tahun membina nama di Malaysia, jenama itu kini dilihat semakin serius memperluaskan pengaruhnya dalam industri automotif moden negara.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.