
Sumber Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia
Mykad generasi baharu mula dilancarkan secara berperingkat mulai hari ini, 17 September 2026, dengan peningkatan ciri keselamatan daripada 23 kepada 53 ciri.
Namun, pemegang Mykad sedia ada tidak perlu tergesa-gesa menukar kad mereka hanya kerana versi yang baharu telah diperkenalkan.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan bahawa MyKad sedia ada masih sah digunakan selagi kad berkenaan tidak rosak. Pelaksanaan MyKad ini akan dilakukan secara berperingkat dan terkawal.
Menurut JPN, pemegang MyKad sedia ada tidak diwajibkan menukarnya semata-mata kerana pengenalan versi baharu.
Bagaimanapun, mereka yang masih menggunakan Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) atau MyKad tanpa Ghost Image perlu menukarnya kepada MyKad versi baharu ini.
Bagi pemegang MyKad biasa yang masih dalam keadaan baik, tiada keperluan untuk hadir ke JPN semata-mata untuk mendapatkan kad baharu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu ke pejabat JPN apabila permohonan telah dibuka. Memandangkan proses penggantian ini akan dilaksanakan secara berfasa.
Perubahan kali ini bukan sekadar pada rupa kad. JPN memperkenalkan 53 Ciri keselamatan termasuk penambahbaikan pada reka bentuk fizikal, bahan kad, elemen anti-pemalsuan dan teknologi cip yang baharu. Antara ciri yang diperkenalkan ialah ukiran laser, ghost image, corak keselamatan kompleks dan penggunaan bahan polikarbonat berketahanan tinggi.
Struktur baharu itu diperkenalkan bagi menangani risiko pemalsuan, pengeklonan dan memanipulasi dokumen pengenalan diri.
MyKad Generasi baharu juga mempunyai perubahan pada kedudukan beberapa elemen fizikal kad, termasuklah gambar pemilik dan cip, selain ciri keselamatan yang boleh digunakan untuk membantu pengesahan ketulenan kad.
Jawapannya tidak. Kerana pertukaran kepada MyKad versi baharu ini tidak menyebabkan nombor kad pengenalan seseorang berubah. Maklumat peribadi pada kad juga akan kekal berdasarkan rekod rasmi JPN.
Ini bermakna pertukaran kad bukan menandakan kita harus menjalani proses pendaftaran identiti baharu, sebaliknya penggantian dokumen fizikal kepada struktur generasi baharu.
JPN turut menjelaskan bahawa MyKad generasi baharu masih boleh digunakan untuk urusan kerajaan, termasuk bantuan atau subsidi yang menggunakan MyKad sebagai medium pengesahan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan agensi berkaitan.
Bagi penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pertukaran MyKad juga tidak menyebabkan baki atau kelayakan bantuan hilang kerana rekod tersebut disimpan dalam sistem SARA, bukannya di dalam kad fizikal.
Tidak perlu, jika MyKad anda masih sah dan dalam keadaan baik.
JPN menyatakan orang awam tidak perlu hadir ke pejabatnya semata-mata untuk menukar MyKad lama kepada versi baharu. Sekiranya ingin membuat penggantian, permohonan boleh dilakukan mengikut prosedur JPN dan pemohon digalakkan membuat janji temu terlebih dahulu.
Bagi permohonan yang memenuhi syarat dan tidak bermasalah, MyKad generasi baharu boleh dikeluarkan mulai 17 September. Sesetengah cawangan yang mempunyai kemudahan cetakan boleh menyiapkannya pada hari sama, manakala cawangan lain memerlukan sehingga lima hari bekerja.
BACA JUGA : iOS 27 Kini Tersedia, Ini 10 Ciri Baharu Yang Patut Pengguna iPhone Cuba
Ringkasnya, tidak perlu tukar sekarang jika MyKad anda masih elok dan merupakan versi yang sah digunakan.
Pengenalan MyKad generasi baharu lebih kepada proses pemodenan dokumen pengenalan negara, dengan peningkatan ciri keselamatan dan struktur kad. Penggantiannya pula akan dilaksanakan secara berperingkat, bukannya melalui arahan supaya semua pemegang MyKad lama menukarnya serta-merta.
Bagi mereka yang memang perlu menggantikan kad kerana kerosakan, kehilangan atau kategori kad tertentu, permohonan boleh dibuat melalui saluran JPN mengikut prosedur yang ditetapkan.
Kesimpulannya: Kalau MyKad dalam dompet anda masih elok, tak perlu panik dan tak perlu berpusu-pusu ke JPN hari ini. Peralihan kepada MyKad generasi baharu memang sedang bermula, tetapi ia dilaksanakan secara berperingkat.
Sumber : Jabatan Pendaftaran Negara, Bernama dan NST