Ads

Nabil Azlan Raih Emas APMC 2026, Harumkan Nama Malaysia Dalam Esports

Nama Malaysia sekali lagi bergema di pentas sukan permotoran Asia Pasifik apabila pelumba sukan elektronik negara, Nabil Azlan, berjaya membawa pulang pingat emas menerusi kategori Assetto Corsa pada Kejohanan Sukan Permotoran Asia Pasifik atau APMC 2026.

Kejohanan yang berlangsung di Litar Bira, Pattaya, Thailand itu menyaksikan Nabil tampil cemerlang sepanjang saingan, sekali gus membuktikan bahawa bakat sim racing Malaysia mampu bersaing dengan pelumba terbaik dari rantau ini.

Atlet berusia 24 tahun tersebut melalui laluan yang cukup meyakinkan pada saingan Sabtu lalu. Selepas bermula dengan kelayakan di kedudukan kedua untuk suku akhir, Nabil berjaya memenangi kumpulannya sebelum meneruskan rentak kemenangan pada peringkat separuh akhir.

Momentum itu kemudian dibawa ke perlumbaan akhir apabila dia sekali lagi muncul sebagai pemenang, sekali gus menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara.

Nabil Azlan Raih Emas APMC 2026, Harumkan Nama Malaysia Dalam Esports

Emas Yang Sudah Lama Diburu

Kejayaan kali ini mempunyai makna cukup besar buat Nabil kerana pingat emas APMC merupakan sesuatu yang telah lama menjadi buruannya.

Pada edisi APMC 2025, dia hampir berada di puncak apabila berjaya meraih pingat perak menerusi kategori iRacing. Namun keputusan itu nampaknya menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk kembali dengan sasaran lebih besar pada tahun ini.

Nabil Azlan Raih Emas APMC 2026, Harumkan Nama Malaysia Dalam Esports

Menerusi perkongsiannya di media sosial, Nabil tidak menyembunyikan kegembiraan selepas akhirnya mencapai sasaran tersebut.

“Alhamdulillah, akhirnya berjaya membawa pulang pingat EMAS bagi kategori Esports Assetto Corsa di APMC 2026!

“Sudah lama saya menantikan saat ini. Sejak mula bertanding di APMC, inilah pingat emas yang sentiasa saya buru. Tahun lalu saya membawa pulang pingat perak dalam iRacing dan apabila memasuki pertandingan tahun ini, hanya satu perkara yang bermain di fikiran saya, iaitu membawa pulang emas itu. Dan akhirnya, ia menjadi kenyataan.

“Hujung minggu yang hampir sempurna, bermula dengan kelayakan di P2 untuk suku akhir, memenangi kumpulan suku akhir kami dan kemudian mencatat kemenangan dalam kedua-dua perlumbaan separuh akhir serta Grand Final.

“Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata betapa gembira dan bersyukurnya saya. Satu penghormatan besar untuk mewakili Malaysia dan mengibarkan Jalur Gemilang di pentas antarabangsa. Kemenangan ini sangat bermakna, terutama apabila mengenangkan betapa saya mahukannya selepas tahun lalu.

Nabil Azlan Raih Emas APMC 2026, Harumkan Nama Malaysia Dalam Esports

Ads

“Semua ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan ESI – Esports Integrated, KBSMalaysia, MAM – Motorsports Association of Malaysia, @axlesportseracingclub dan paling penting, ibu bapa saya yang sentiasa menyokong sepanjang perjalanan ini. Terima kasih kepada semua yang telah membimbing, memberi semangat dan percaya kepada saya.

“Tetapi perjalanan kami tidak berhenti di sini! Satu lagi pengumuman mengenai sim racing bakal dibuat tidak lama lagi, tetapi sebelum itu, kami mempunyai perlumbaan dunia sebenar hujung minggu ini. Nantikan!”

Kata kata tersebut menggambarkan betapa besar nilai pingat tersebut dalam perjalanan karier Nabil. Ia bukan sekadar kemenangan dalam satu kejohanan, tetapi hasil daripada usaha berterusan selepas terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kedua setahun sebelumnya.

Malaysia Kekalkan Rekod Emas Sejak 2023

Lebih membanggakan, kemenangan Nabil turut memastikan rekod konsisten Malaysia dalam disiplin esports di APMC terus bertahan.

Sejak acara berkenaan mula dipertandingkan pada 2023, kontinjen Malaysia berjaya membawa pulang sekurang kurangnya satu pingat emas pada setiap edisi.

Pencapaian ini memperlihatkan bahawa sim racing negara bukan lagi sekadar aktiviti permainan video atau hobi semata mata. Ia semakin berkembang menjadi satu cabang kompetitif yang memerlukan tahap kemahiran, disiplin dan persediaan serius.

Nabil Azlan Raih Emas APMC 2026, Harumkan Nama Malaysia Dalam Esports

Dalam perlumbaan simulator moden, seseorang pelumba bukan sahaja perlu pantas. Mereka juga perlu memahami teknik mengambil selekoh, pengurusan tayar, konsistensi masa pusingan serta keupayaan membuat keputusan ketika berlumba rapat dengan pesaing.

Kemahiran tersebut mempunyai banyak persamaan dengan perlumbaan sebenar, sekali gus menjadikan sim racing antara platform penting dalam perkembangan bakat sukan permotoran masa kini.

Ads

Empat Pelumba Bawa Cabaran Malaysia

Untuk edisi 2026, Malaysia menghantar empat wakil bagi dua kategori esports yang dipertandingkan.

Dalam kategori Assetto Corsa, Nabil ditemani seorang lagi pelumba simulator berpengalaman, Iqbal Suji.

Iqbal turut mempamerkan prestasi baik apabila berjaya mara sehingga ke peringkat akhir. Bagaimanapun, dia menamatkan keseluruhan saingan di kedudukan keenam.

Sementara itu, Raja Amirul Syauqat dan Ethen Low membawa cabaran Malaysia dalam kategori iRacing.

Lebih menarik, APMC 2026 merupakan penampilan sulung buat kedua-dua pelumba tersebut.

Ethen juga merupakan peserta termuda Malaysia dalam kejohanan kali ini apabila baru berusia 16 tahun. Walaupun gagal melangkah ke perlumbaan akhir selepas terkandas di separuh akhir, pengalaman bersaing di pentas antarabangsa sudah tentu menjadi pendedahan bernilai buat pelumba muda tersebut.

Raja Amirul pula berjaya mara ke peringkat akhir.

Dia memulakan perlumbaan dari petak ketujuh, namun persaingan sengit dengan seorang pelumba Australia menyaksikan Raja Amirul terbabas sebelum terpaksa menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan.

Ads

Berdepan Pelumba Dari Lebih 15 Negara

Persaingan esports pada APMC 2026 bukan sesuatu yang mudah apabila ia menghimpunkan peserta dari lebih 15 buah negara.

Kesemua empat wakil Malaysia bertanding di bawah naungan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

Mereka dipilih selepas menduduki tempat pertama dan kedua dalam kategori masing masing menerusi pertandingan kelayakan yang dikawal selia oleh MAM di Malaysia.

Penyertaan mereka ke APMC 2026 turut mendapat sokongan daripada Esports Integrated (ESI) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi program Malaysia Esports Accelerator (MEAP).

BACA: Kenapa Kita Menguap & Kaitannya Terhadap Kesihatan

Kemenangan Nabil kali ini sekali lagi menunjukkan potensi besar Malaysia dalam arena perlumbaan simulator.

Lebih daripada sekadar pingat, kejayaan tersebut memperlihatkan satu perkembangan menarik dalam landskap sukan permotoran tempatan, apabila laluan untuk menjadi pelumba kompetitif tidak lagi bermula semata mata di atas litar sebenar.

Bagi Nabil pula, emas APMC 2026 mungkin menjadi satu lagi langkah penting dalam perjalanan yang masih panjang.

Selepas perak tahun lalu dan emas pada tahun ini, satu perkara sudah terbukti, apabila peluang, latihan dan sokongan yang betul diberikan, bakat sim racing Malaysia mampu berdiri sebaris dengan nama terbaik di pentas antarabangsa.

Sumber:

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads