Nu Ideaktiv Jalinkan Kerjasama Bersama Enrichment Media Lab Bagi Transformasi Perniagaan Unggul

Share

Kerjasama di antara syarikat bukanlah satu perkara asing dalam dunia perniagaan. Apatah lagi dalam dunia perniagaan media dan pengiklanan.

Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai pengaruh cukup besar di pasaran kandungan berbahasa Melayu, Nu Ideaktiv Sdn Bhd sentiasa memainkan peranannya untuk membentuk masyarakat yang bukan sahaja berilmu malah mempunyai pemikiran yang dinamik.

Syarikat media yang merupakan sebuah usaha sama di antara Kumpulan Media Karangkraf dan Astro ini meneruskan lagi legasi perniagaan mereka pada hari ini dengan melakukan kerjasama rasmi bersama sebuah syarikat agensi media dan penasihat jenama yang pakar dalam idea, konsep dan kajian perniagaan relevan.

Bertempat di ibu pejabat Nu Ideaktiv, masjlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Enrichment Media Lab Sdn Bhd telah berlangsung dengan cukup lancar sekali.

Nu Ideaktiv yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim dan Pengarah Urusan Enrichment Media Lab, Muhamad Ashraf DM Tej Nasir telah menyempurnakan acara menandatangani memorandum.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim

Persefahaman ini sekali gus memeterai kerjasama dan perlantikan Enrichment Media Lab sebagai rakan pakar media mensasarkan segmen Perusahaan Kecil Sederhana Melayu (PKS).

RAKAN PAKAR MEDIA

Menerusi kerjasama ini, Enrichment Media Lab akan bertindak sebagai rakan pakar media yang menyediakan perkhidmatan dan perundingan untuk pakej pemasaran serta pengiklanan eksklusif bagi segmen PKS dalam industri kecantikan, kesihatan, makanan dan minuman, pakaian, perabot, pendidikan dan bimbingan.

Pengarah Urusan Enrichment Media Lab, Muhamad Ashraf DM Tej Nasir

Nu Ideaktiv memiliki lebih 17 jenama dan peneraju dalam industri media berbahasa Melayu menyediakan kandungan, platform dan pelaksanaan sejajar dengan kerjasama yang dibuat.

Menurut Syamil Fahim, MoU ini adalah permulaan untuk kerjasama bagi membantu dan meningkatkan lagi industri PKS negara ini menerusi media sebagai pemacu utama.

“Melihat kepada kepakaran yang dipunyai oleh Enrichment Media Lab dalam segmen industri pengiklanan PKS dan pengetahuan mereka bagaimana PKS merangka strategi dalam pemasaran dan pengiklanan, adalah menjadi satu peluang dan kelebihan bagi Nu Ideaktiv untuk berkolaborasi dan berkerjasama dengan syarikat ini bagi menguasai segmen pengiklanan media PKS.”

“Kerjasama ini juga bertujuan membantu perniagaan dan pengasas jenama untuk berkembang menerusi hebahan media meluas, pelaksanaan acara dan promosi rentas platform yang dimiliki Nu Ideaktiv di digital, program tv dan banyak lagi,” tambahnya lagi.

Manakala Enrichment Media Lab pula bertindak sebagai agensi pakar media melihat Nu Ideaktiv sebagai syarikat yang berpotensi untuk membantu membangun industri PKS.

“Nu Ideaktiv memiliki pelbagai jenama media No.1 di Malaysia yang boleh membantu PKS berkembang maju dan menembus audiens sasar bagi pertumbuhan perniagaan dan sasaran keuntungan syarikat.”

“Kerjasama ini tidak terhad kepada satu medium sahaja. Berdasarkan hala tuju sesebuah perniagaan, kita boleh melaksana pelbagai projek yang signifikan, mencapai sasaran dan mentransformasi perniagaan,” jelas Ashraf.

Antara kerjasama awal Nu Ideaktiv dan Enrichment Media Lab adalah menerusi penerbitan rancangan TV iaitu perjalanan keibubapaan pemilik jenama Noir dalam PA&MA : Diari Madammu, dan IMPIANA Makeover Ruang Selebriti yang dihiasi oleh Ella furniture. Rancangan ini bakal bersiaran di saluran Astro awal tahun hadapan.

“Kami juga sedang merangkakan satu acara besar untuk meraikan Ramadan dan Syawal, yang akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata Syamil lagi.

IKLAN