Automotif

Nyaris Maut Leher Dililit Tali Layang-Layang, Detik Cemas Penunggang Motosikal Di MRR2

Share

Apa perasaan anda bila sedang menunggang motosikal, tiba-tiba terasa seperti ada jerutan di leher, dan anda tak boleh berhenti kerana dikelilingi kereta yang laju?

Itulah mimpi ngeri yang dialami oleh seorang lelaki berusia 27 tahun, Muhammad Faris Rosaidee  seorang penjawat awam yang nyaris kehilangan nyawa gara-gara tali layang-layang yang melintang di jalan.

Insiden yang berlaku sekitar jam 6 petang di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Tasik Metropolitan Kepong ini bukan sekadar satu lagi berita sensasi ia adalah kisah amaran buat semua lelaki yang setiap hari menjadikan jalan raya sebagai laluan hidup. Terutamanya para penunggang motosikal.

Gambar Hiasan AI

“SAYA CUMA TUNGGU TALI TU PUTUS SENDIRI”

Dalam nada tenang namun jelas masih tergamam, Faris berkongsi detik cemas itu:
“Saya tak boleh berhenti sebab kiri kanan kereta. Cuma boleh perlahankan motosikal dan tunggu tali dekat leher putus sendiri,” katanya.

Ketika kejadian, Faris dalam perjalanan dari Batu Caves menuju ke Bandar Sri Damansara. Seperti biasa, MRR2 menjadi laluan pilihan. Tapi hari itu lain – tali layang-layang yang halus dan hampir tidak kelihatan mula-mula singgah di badan, kemudian naik ke dada dan terus ke leher.

Tiga lapisan perlindungan –jaket, baju dan beg galas semuanya koyak, malah kesan luka melecur di bahu menjadi bukti betapa tajam dan berbahayanya tali tersebut. Mujur Faris memakai penutup muka khas yang turut melindungi leher, jika tidak mungkin lain ceritanya.

BUKAN KES TERPENCIL , BOM JANGKA BUAT PENUNGGANG

Faris bukan mangsa pertama dan jika tiada tindakan, dia juga bukan yang terakhir. Bermain layang-layang bukanlah satu kesalahan. Tetapi bila tali dibiarkan melintang di lebuh raya, ia bukan lagi permainan itu adalah senjata maut yang tak nampak mata.

Apa yang membimbangkan, tali jenis ini kadang-kadang diikat dengan kaca (tali ‘gelasan’) boleh menyebabkan kecederaan serius, termasuk memutuskan salur darah leher. Sekilas pandang, ia mungkin kelihatan seperti benang halus, tapi impaknya… setanding dengan pisau.

APA YANG PATUT KITA LAKUKAN?

Keselamatan diri bukan hal remeh. Ia satu keutamaan. Berikut langkah yang boleh menyelamatkan nyawa:

Pakai penutup leher atau scarf riding – bukan sekadar gaya, ia lapisan pertahanan pertama.
Gunakan visor tertutup penuh – elak tali terkena terus ke muka atau leher.
Tingkatkan kesedaran komuniti – laporkan kawasan berisiko kepada pihak berkuasa.
Pilih laluan alternatif jika ada

– terutamanya di musim orang galak bermain layang-layang.

Faris telah membuat laporan polis dan aduan kepada DBKL. Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membahayakan pengguna jalan raya. Beliau turut memuat naik video insiden untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Saya risau kalau perkara ini berlaku kepada orang lain. Saya masih bernasib baik,” katanya.

Tali layang-layang bukan musuh utama. Tapi sikap ambil mudah itulah punca utama. Ride safe, bro. Nyawa bukan mainan.

Sumber: Harian Metro / Sinar Harian 

Published by
Nana