Orang hanya melihat kekayaan bukan kesusahan di sebaliknya. Itulah dihadapi pengarah ‘Squid Game’, Hwang Dong-Hyuk berdepan bukan sahaja cabaran mental tetapi juga fizikal.
Menerusi satu temu bual dengan BBC, Hwang mengakui dia kehilangan ‘lapan atau sembilan’ batang gigi akibat tekanan ketika menyiapkan musim pertama. Jumlah ini lebih tinggi daripada enam batang yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Namun, mengapa dia kembali untuk musim kedua? Jawapannya mudah – wang! Walaupun kejayaan ‘Squid Game’ melonjak ke peringkat global, namun menurutnya dia tidak mendapat habuan kewangan sebesar yang disangka ramai.
“Walaupun siri pertama sangat berjaya, secara jujurnya, saya tidak memperoleh banyak keuntungan daripadanya.
“Jadi, menghasilkan musim kedua ini dapat menampung usaha saya yang lepas. Lagipun, cerita ini belum sepenuhnya selesai,” jelasnya.
TIGA TAHUN SELEPAS
Musim kedua siri penuh debar ini bakal ditayangkan pada 26 Disember 2024. Bintang utamanya, Lee Jung-Jae, kembali sebagai Gi-hun, yang kini bertekad untuk menghancurkan ‘Squid Game’ tiga tahun selepas kemenangannya.
Penonton juga bakal mengetahui lebih banyak kisah latar Front Man, watak yang dimainkan oleh Lee Byung-Hun.
“Anda mungkin tidak akan menyukai Front Man, tetapi cerita ini akan membantu anda memahami pilihan yang dia buat,” kata Lee.
Musim baharu dijangka ramai meneruskan legasi musim pertama yang sarat dengan babak mendebarkan, menyeramkan dengan reka bentuk set yang lebih besar.
Kita semua mungkin boleh jangkakan rekaan asrama yang luas, labirin yang kompleks, dan lebih banyak lorong misteri. Pengarah Hwang turut menambah elemen unik seperti sistem undian untuk meningkatkan ketegangan.
LEBIH KONFLIK, LEBIH TEKANAN
“Saya perhatikan ramai orang sekarang suka memilih ‘sisi’ mereka sendiri,” ujar Hwang dalam sidang media, seperti dilaporkan oleh Korea JoongAng Daily.
“Jadi, dalam musim kedua, kami masukkan elemen pilihan dan simbol ‘O’ serta ‘X’ untuk menyentuh tema satira tentang perpecahan sosial. Pemain akan berpecah kepada kumpulan yang bertelagah, menambah lagi konflik dan tekanan.”
Walaupun kesemua elemen baharu ini menarik perhatian, tekanan untuk memastikan musim kedua berjaya nampaknya mungkin memakan diri Hwang sekali lagi.
“Saya belum jumpa doktor gigi saya, tapi nampaknya saya kena cabut beberapa batang gigi lagi,” katanya berseloroh kepada BBC.
BACA: 10 Putera Mahkota Terkenal dan Paling Kaya di Dunia
Dengan jalan cerita yang semakin gelap dan ketegangan yang memuncak, musim kedua Squid Game dijangka mengikat perhatian penonton dari episod pertama hingga akhir. Bagi Hwang, cabaran ini bukan sekadar untuk penonton, tetapi untuk dirinya juga – fizikal, mental, dan mungkin juga… gigi yang tersisa.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI