
Disebalik seorang lelaki yang banting tulang bekerja setiap hari, mengurus keluarga dan berusaha mengurus keluarga dan memastikan setiap keperluan rumah tangga mencukupi, terdapat pengorbanan yang tidak semestinya dapat dilihat oleh orang lain.
Ada keinginan yang terpaksa diketepikan terlebih dahulu demi masa bersama keluarga, pengorbanan yang dilakukan kerana tuntutan kerja dan masalah peribadi yang terpaksa dipendam kerana tidak mahu menambah beban kepada orang tersayang.
Namun, dalam kehidupan moden yang semakin kompleks, peranan lelaki dalam keluarga tidak lagi boleh dilihat hanya melalui kemampuan menyediakan nafkah.
Perkara ini semakin mendapat perhatian apabila pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memulakan kajian berkenaan Lelaki Budiman Negara, di mana kajian nasional selama 18 bulan ini dibuat untuk memahami cabaran sebagai seorang lelaki dan membentuk dasar pemerkasaan lelaki yang lebih menyeluruh.
Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, agenda pemerkasaan lelaki perlu merangkumi bukan sahaja aspek kepimpinan dan ekonomi, tetapi juga dari segi daya tahan emosi, kesejahteraan mental, kematangan serta keupayaan memikul tanggungjawab dengan penuh integriti.
Bukan sekadar lelaki yang membawa pulang nafkah
Dalam masyarakat, lelaki sering dikaitkan dengan peranan sebagai pencari nafkah utama keluarga.
Namun, tekanan ekonomi, tanggungjawab terhadap institusi kekeluargaan dan tuntutan kerjaya menjadikan kehidupan sebagai seorang lelaki semakin mencabar.
Kajian mengenai kesejahteraan lelaki yang diumumkan oleh pihak kerajaan turut mengambil kira cabaran seperti kesukaran memenuhi keperluan kewangan, keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan berkeluarga serta peranan sebagai seorang ayah atau bapa dalam era digital.
Bagi sesetengah lelaki, tekanan tersebut tidak semestinya diluahkan secara terbuka.
Mereka mungkin terus bekerja walaupun penat, mengetepikan kehendak sendiri atau memilih untuk tidak menceritakan masalah kewangan dan emosi yang sedang dihadapi.
Tetapi keadaan itu tidak bermaksud mereka tidak terkesan. Sebaliknya, lelaki juga memerlukan ruang untuk berehat, mendapatkan sokongan dan bercakap tentang perkara yang membebankan fikiran.
Pengorbanan yang tidak mempunyai tanda harga
Sebagai seorang suami mungkin menangguhkan pemberian barang yang sudah lama diimpikan kerana perlu mengutamakan perbelanjaan lain seperti keperluan anak dan isteri.
Seorang bapa mungkin mengambil kerja lebih masa kerana mahu memastikan perbelanjaan persekolahan anak mencukupi.
Ada juga yang terpaksa mengorbankan hujung minggu, cuti atau masa bersama keluarga demi memastikan pendapatan tidak terjejas. Semua itu mungkin tidak kelihatan seperti bentuk pengorbanan besar.
Namun, apabila berlaku berulang kali selama beberapa tahun, ia akan menjadi sebahagian daripada kehidupan seorang lelaki itu sendiri yang mencuba untuk jadi yang terbaik demi memastikan keluarganya berada dalam keadaan baik.
Dalam masa yang sama, pengorbanan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kewajipan kepada seorang lelaki untuk menanggung segala-galanya seorang diri.
BACA JUGA : “Respect The Sport And Respect Your Body”, Dr Say Ingatkan Jangan Ambil Mudah Cabaran HYROX
Lelaki juga perlu belajar berkongsi beban
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sebelum ini menegaskan bahawa lelaki cenderung memendam emosi dan sukar berkongsi masalah dengan pasangan, manakala isu maskuliniti toksik dalam rumah tangga boleh berlaku apabila lelaki tidak menyedari tingkah laku mereka memberi kesan kepada pasangan.
Justeru, menjadi suami atau bapa yang bertanggungjawab bukan sekadar bekerja keras. Ia turut melibatkan kemampuan berkomunikasi, memahami pasangan, membantu mengurus rumah tangga dan mengetahui bila seseorang itu memerlukan bantuan.
Malah, pada 20 Ogos lalu, LPPKN menekankan bahawa pembentukan lelaki yang bertanggungjawab perlu bermula sejak kecil melalui didikan dan contoh yang diberikan ibu bapa. Apa yang dilihat dan diperhatikan anak ketika membesar boleh mempengaruhi pembentukan keperibadian mereka.
Anak perlukan ayah yang hadir, bukan sekadar penyedia
Dalam keluarga, kehadiran seorang bapa tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah wang yang dibawa pulang. Masa yang diberikan kepada anak juga mempunyai nilai tersendiri.
Kajian dan pandangan berkaitan keibubapaan di Malaysia semakin menekankan kepentingan bapa sebagai penjaga, pembimbing dan individu yang aktif dalam kehidupan anak, bukan sekadar pencari nafkah.
Anak mungkin tidak mengingati semua barang yang pernah dibelikan ayah.
Tetapi mereka mungkin mengingati ayah yang hadir pada hari pertama persekolahan, menemani mereka bermain bola, membantu menyiapkan kerja sekolah atau membawa mereka keluar pada hujung minggu.
Kadangkala, perkara kecil itulah yang menjadi kenangan paling besar apabila mereka dewasa.
Jangan sampai terlalu sibuk mencari kehidupan sehingga lupa menikmatinya
Ada lelaki yang bekerja keras kerana mahu memberikan kehidupan terbaik kepada keluarganya.
Namun, dalam usaha mengejar kehidupan yang lebih selesa, masa bersama keluarga boleh menjadi perkara pertama yang dikorbankan.
Persoalannya, apakah gunanya memiliki segala-galanya jika tidak sempat menikmati kehidupan tersebut bersama orang yang disayangi?
Sebab itu, pengorbanan seorang lelaki tidak sepatutnya hanya dilihat daripada apa yang sanggup dia berikan kepada keluarga.
Ia juga perlu dilihat daripada bagaimana dia menjaga dirinya supaya mampu terus berada bersama keluarganya dalam jangka panjang.
Kuat bukan bermaksud perlu pendam semuanya
Tekanan untuk sentiasa kelihatan kuat boleh menyebabkan sebahagian lelaki sukar mendapatkan sokongan apabila berdepan masalah emosi.
Satu analisis The Star mengenai kesihatan mental lelaki pada Jun lalu turut menekankan bahawa tekanan sosial terhadap lelaki untuk sentiasa kelihatan kuat boleh menyebabkan mereka memendam emosi dan berdepan masalah secara bersendirian.
Dalam konteks itu, mengakui bahawa diri sedang penat atau memerlukan bantuan bukan tanda kelemahan. Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada usaha untuk menjaga diri dan keluarga.
Lelaki yang baik bukan lelaki yang tidak pernah mempunyai masalah. Tetapi lelaki yang berusaha menyelesaikan masalah tanpa mengorbankan kesejahteraan dirinya dan orang di sekeliling.
Pengorbanan lelaki perlu dihargai, tetapi tidak boleh dinormalisasikan sebagai penderitaan
Pengorbanan memang sebahagian daripada kehidupan berkeluarga. Namun, keluarga yang sihat bukan dibina atas seorang individu yang sentiasa berkorban sehingga dirinya sendiri terabai.
Ia dibina melalui kerjasama. Suami membantu isteri, Isteri menyokong suami, Ibu bapa mendidik anak, Anak pula belajar menghargai pengorbanan ibu bapa.
Pada akhirnya, seorang lelaki tidak perlu menjadi sempurna untuk menjadi suami atau bapa yang baik.
Dia cuma perlu berusaha menjadi lelaki yang boleh dipercayai, hadir ketika diperlukan, bertanggungjawab terhadap keluarganya dan cukup berani untuk mengakui apabila dirinya sendiri memerlukan sokongan.
Kerana di sebalik setiap lelaki yang kelihatan kuat, mungkin ada cerita perjuangan yang tidak pernah diceritakan.
Dan kadangkala, satu soalan mudah seperti “Awak okay?” sudah cukup untuk membuatkan dia tahu bahawa pengorbanannya tidak pernah tidak dilihat.
Sumber Rujukan : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan masyarakat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Bernama TV, Astro Awani dan Lensa KPWKM.

je senang
