
Pertemuan selama dua jam yang pada awalnya dipenuhi gelak tawa, cerita dan nasihat kini menjadi antara kenangan terakhir paling bermakna buat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah bersama Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Ahli Parlimen Muar itu berkongsi rasa kehilangan selepas Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi Ahad. Pemergian Allahyarhamah turut disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Lihat siaran ini di Instagram
Bagi Syed Saddiq, berita tersebut sukar diterima kerana pertemuan mereka baru sahaja berlangsung kira-kira dua minggu lalu. Ketika itu, beliau dan Bella sempat meluangkan masa bersama Tun Dr Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir kita, saya berharap agar dua jam itu berkekalan selama-lamanya.
“Tun ketawa bersama kami. Bergurau dengan kami. Berkongsi cerita, memberi nasihat tentang perkahwinan, keluarga dan kehidupan.”
Dua Jam Yang Kini Menjadi Kenangan
Pertemuan tersebut cukup istimewa buat pasangan berkenaan kerana ia berlangsung ketika Syed Saddiq dan Bella sedang membuat persediaan menuju alam perkahwinan.
Bella sebelum ini turut berkongsi bahawa antara perkara yang ingin diketahuinya daripada Tun Dr Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir ialah bagaimana sebuah rumah tangga mampu kekal utuh selepas lebih tujuh dekad bersama.

Bagi Syed Saddiq, sisi Allahyarhamah yang ditemuinya pada hari itu bukan sekadar seorang tokoh yang cukup dikenali rakyat Malaysia, tetapi seorang insan yang mesra dan mudah didekati.
“Dia seorang yang baik hati, kelakar, mesra dan memiliki kebijaksanaan yang hanya lahir daripada pengalaman hidup yang penuh dengan kasih sayang serta pengorbanan.
“Dan hari ini, Tun sudah tiada. Saya benar-benar masih tidak mampu menghadamnya. I love you, Tun. More than the universe will ever know,” kongsinya.
Di sebalik rasa kehilangan, beliau menerima pemergian Allahyarhamah sebagai ketentuan Ilahi.
“Hati saya hancur. Sebahagian daripada diri saya masih enggan percaya bahawa anda sudah tiada lagi di sini.
“Namun, ini adalah ketentuan Allah. Kita datang daripada-Nya dan kepada-Nya kita kembali.”
Nasihat Tentang Perkahwinan Akan Terus Dibawa
Pertemuan itu ternyata menjadi lebih bermakna apabila Tun Dr Siti Hasmah sempat berkongsi pandangan mengenai kehidupan berkeluarga kepada pasangan tersebut.
Syed Saddiq merakamkan penghargaan atas setiap momen yang sempat dikongsi bersama.
“Thank you, Tun. Terima kasih kerana memberikan Bella dan saya satu kenangan terakhir yang begitu indah.
“Terima kasih atas setiap gelak tawa, setiap cerita dan setiap nasihat yang Tun tinggalkan kepada kami,” katanya.

Syed Saddiq dan Bella dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada 10 Oktober ini. Pasangan itu sebelum ini turut menyerahkan sendiri kad jemputan kepada Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah.
Namun, satu hajat Allahyarhamah untuk hadir meraikan mereka kini tidak akan kesampaian.
“Saddiq dan Bella tak dapat memenuhi hajat Tun untuk hadir ke majlis perkahwinan kami nanti.
“Namun, saya berjanji kepada Tun bahawa nasihat Tun itu akan kami bawa bersama dalam perkahwinan dan kehidupan kami di rumah, serta insya-Allah sepanjang hayat kami.”
Daripada sebuah pertemuan yang pada mulanya sekadar kunjungan sebelum melangkah ke fasa baharu kehidupan, dua jam itu kini membawa makna yang jauh lebih besar.

Ia menjadi pertemuan terakhir, tetapi nasihat yang ditinggalkan akan terus dibawa ke dalam perjalanan hidup mereka selepas ini.
BACA: Perginya Tun Dr Siti Hasmah, Doktor, Ibu & Tokoh Yang Menemani Sejarah Malaysia
Mengakhiri perkongsiannya, Syed Saddiq menitipkan doa buat Allahyarhamah.
“Semoga Allah mengurniakan Tun kedudukan yang tertinggi di dalam syurga. Sehingga kita bertemu lagi, Tun,” ujarnya.
Sumber: Threads Syed Saddiq
Lihat di Threads
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
