
Isu buli jalan raya nampaknya sekali lagi menjadi buah mulut masyarakat. Terbaru, polis sedang giat memburu kira-kira 20 penunggang motosikal.
Mereka dilapirkan melakukan aksi bertindak ganas mengepung, menumbuk dan menendang sebuah kereta Perodua Myvi dalam insiden cemas yang rakamannya tular di media sosial, awal pagi semalam.
Menurut laporan, kejadian tersebut berlaku berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong. Ia menyaksikan pemandu kereta, seorang pengawal keselamatan berusia 52 tahun, terperangkap dalam ketakutan apabila dikelilingi kumpulan samseng jalanan tersebut.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, mengesahkan mangsa tampil membuat laporan polis sejurus selepas insiden kira-kira jam 4 pagi itu.
“Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Dianggarkan kira-kira 20 penunggang motosikal terbabit dalam kes ini, dan usaha mengesan serta menahan kesemua mereka sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi rakaman berdurasi 29 saat yang tular, motosikal dilihat bergerak rapat di kedua-dua sisi dan hadapan kereta, menghalang laluan kenderaan mangsa.
Situasi menjadi lebih tegang apabila seorang penunggang dilihat menumbuk cermin bahagian pemandu sebelum menendang pintu di bahagian sama.
BACA: Seleksi Kasut Larian ‘Waterproof’ Terbaik Pilihan MASKULIN
Mangsa dilaporkan memperlahankan kereta bagi mengelak insiden lebih buruk. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 (khianat) dan Seksyen 279 (memandu atau menunggang secara merbahaya) Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain menyeru saksi-saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat kepada pihak berkuasa.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Kredit: Berita Harian, Harian Metro