Program Subsidi Carseat BMW Malaysia Dilihat Berjaya Bantu Golongan B40

Seperti mana yang kita semua sudah maklum bermula pada tahun ini penggunaan kerusi kereta kanak-kanak adalah satu perkara mandatori. Melihatkan perkembangan ini, BMW Malaysia tempil dengan program subsidi bagi membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya dalam goongan B40.

Program subsidi ini dijayakan BMW Malaysia bersama Childline Foundation dan Safe ‘n Sound. Menurut Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi, terdapat keperluan penting untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan.

FASA PERTAMA

“Sambutan menggalakkan yang diterima bagi fasa pertama program subsidi berkenaan jelas menunjukkan bahawa ibu bapa kini lebih cakna mengenai keperluan kerusi kereta kanak-kanak dan lekas mengamalkan penggunaannya jika diberikan peluang yang bersesuaian.

“Lantaran itu, kepada pihak dan syarikat yang mampu membantu mensubsidikan kerusi kereta kanak-kanak ini, BMW Malaysia mengalu-alukan anda untuk menyertai program subsidi berkenaan untuk mendahulukan keselamatan kanak-kanak di dalam kereta sebagai sebuah keutamaan untuk semua.”

Program subsidi ini tersebut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif BMW Safety 360°. Pada fasa pertamanya, program ini berjaya menyediakan 150 unit kerusi kereta kanak-kanak snskidz Ace pada harga bersubsidi berjumlah RM 100 seunit. Pendaftaran bagi program subsidi berkenaan telah pun dibuka pada 2 Disember 2019. Sehingga kini sebanyak 25,000 pendaftaran telah diterima dalam masa dua minggu sahaja.

AGIHAN SELURUH NEGARA

Kerusi kereta kanak-kanak tersebut telah diberikan kepada para ibu bapa dari daerah Lembah Klang baru-baru ini, manakala kerusi khas yang masih berbaki akan diagihkan tidak lama lagi di seluruh negara.

Dengan tetapan menghala ke belakang, kerusi khas yang bernilai RM199 ini boleh digunakan dari usia kelahiran sehingga berat bayi mencecah 13kg, serta produk tersebut hadir dengan persijilan ECE R44-04.

Pihak yang berminat boleh menyertai program subsidi ini dengan mengirim penyertaan mereka ke bmw@voxeureka.com — dalam kiriman tersebut, nyatakan nama organisasi peserta dan jumlah subsidi (dalam Ringgit Malaysia) yang organisasi berkenaan ingin menawarkan sebelum 13 Februari 2020.

Perlangsungan program subsidi berkenaan adalah sejajar dengan inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk menguatkuasakan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak mulai tahun ini.

Bagi menggalakkan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak, para pemandu tidak akan didenda sepanjang enam bulan pertama peraturan tersebut dikuatkuasakan namun mereka akan diberikan amaran untuk memasang kerusi khas berkenaan di dalam kenderaan mereka.

Foto: BMW Malaysia