
Dunia Formula 1 kini bukan sekadar perlumbaan siapa paling laju di litar. Ia turut mencerminkan budaya, fesyen dan komuniti peminat yang semakin besar setiap tahun. Seiring perkembangan ini, PUMA x McLaren Racing mengumumkan kerjasama global baharu bermula 2026, yang bakal menyaksikan PUMA menghasilkan team kit serta koleksi apparel rasmi untuk McLaren.
Menurut kenyataan rasmi, kerjasama ini menyatukan dua jenama berprestasi tinggi yang berkongsi nilai inovasi, teknologi dan komuniti global. Ia juga memberi peluang kepada peminat untuk menikmati pengalaman perlumbaan yang lebih dekat dan penuh gaya.
Menerusi kerjasama ini, PUMA akan menghasilkan team kit untuk keseluruhan portfolio McLaren Racing termasuk:
Ini menjadikan PUMA x McLaren Racing bukan sekadar kolaborasi dalam F1, tetapi turut meliputi pelbagai cabang sukan permotoran global yang sedang berkembang pesat.
Ketua Pegawai Eksekutif PUMA, Arthur Hoeld, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu penghormatan besar, apatah lagi McLaren hadir sebagai juara berganda musim 2025.
“Di PUMA, kami amat berbangga dengan sejarah panjang dan kejayaan kami dalam dunia permotoran. Ia satu penghormatan untuk menulis bab baharu bersama McLaren Racing, juara Pembina dan Pemandu 2025, sebagai rakan baharu kami,” katanya.
Beliau menambah bahawa PUMA x McLaren Racing akan menghasilkan koleksi yang menggabungkan kekuatan kedua-dua jenama, direka khusus untuk peminat McLaren di seluruh dunia.
Bagi peminat, kerjasama ini hadir dengan dua fokus utama iaitu Replica Collection dan Lifestyle Collection.
Replica Collection direka berasaskan warna ikonik McLaren, papaya, yang mencerminkan pakaian rasmi dipakai oleh pemandu dan ahli pasukan ketika hujung minggu perlumbaan. Koleksi ini sesuai untuk peminat yang mahu tampil lebih race ready sama ada di litar atau di mana-mana sahaja.
Lifestyle Collection pula membawa elemen PUMA x McLaren Racing ke dalam gaya harian. Ia diinspirasikan daripada sejarah perlumbaan McLaren yang panjang tetapi dengan sentuhan streetwear moden – gabungan siluet klasik dan rekaan kontemporari.
Selain pakaian, kerjasama ini turut menjanjikan pengalaman menarik untuk peminat. PUMA dan McLaren bakal memperkenalkan aktiviti immersive termasuk acara khas dan unique drops yang membawa peminat lebih dekat dengan semangat McLaren.
Pengalaman pertama dijangka debut pada perlumbaan pembukaan musim Formula 1 di Australia, dengan butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
Ketua Pegawai Eksekutif McLaren Racing, Zak Brown, berkata Formula 1 kini berada pada tahap terbaiknya, dengan semakin banyak jenama fesyen dan gaya hidup memasuki dunia ini.
“Formula 1 kini berada pada tahap yang sangat kuat, dan kami gembira menyambut kemasukan jenama seperti PUMA yang mahu berhubung dengan komuniti peminat global. Tiada rakan yang lebih sesuai untuk memperkukuh portfolio pakaian peminat kami selain PUMA,” katanya.
Menurut Brown, peminat kini mahu menzahirkan minat mereka terhadap sukan ini bukan hanya di litar, tetapi juga dalam kehidupan seharian. “Kami tahu peminat mahu menunjukkan semangat mereka, dan pendekatan inovatif PUMA x McLaren Racing akan membawa koleksi serta pengalaman yang lebih menarik di seluruh dunia,” tambahnya.
BACA: Godzilla Store Malaysia Dibuka Januari 2026, Destinasi Wajib Peminat Kaiju di Asia Tenggara
Koleksi PUMA x McLaren Racing Lifestyle kini boleh didapati pada harga antara RM129 hingga RM529. Sementara itu, Replica Collection akan mula dijual pada 2 Februari di butik PUMA terpilih, JD Sports, Foot Locker, serta platform dalam talian.
Kerjasama PUMA x McLaren Racing bukan sekadar logo di atas baju, tetapi simbol era baharu dalam dunia Formula 1 – gabungan prestasi, gaya dan komuniti. Untuk peminat McLaren, inilah peluang untuk membawa identiti papaya mereka ke jalan raya, bukan hanya di litar.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.