Berita

Ramadan Ondash Tolak Pertarungan Semula Dengan Johan Ghazali

Share

Pertarungan antara Johan “Jojo” Ghazali dan Ramadan “The Scorpion” Ondash berlangsung baru0baru ini cukup sengit. Bahkan ia berlarutan sehingga tamat tiga pusingan di Stadium Lumpinee, Bangkok.

Ondash akhirnya diumumkan sebagai pemenang menewaskan wakil Malaysia itu menerusi keputusan berbelah bahagi dalam aksi Muay Thai kategori 61.2 kilogram pada The Inner Circle 24.

Kemenangan itu merupakan pencapaian terbesar dalam kerjaya petarung Lubnan berusia 19 tahun tersebut. Namun, meskipun keputusan pertarungan begitu rapat, dia tidak berminat memberikan peluang pertarungan semula dengan segera kepada Johan.

Ketika ditanya media Thailand di belakang pentas sama ada beliau bersedia menyelesaikan perdebatan menerusi pertemuan kedua, dia memberikan jawapan tegas.

“Tidak,” katanya sebelum berseloroh bahawa pertarungan semula hanya mungkin berlaku sekiranya ditawarkan bayaran yang sangat lumayan.

Nada gurauannya mencetuskan ketawa dalam kalangan wartawan, tetapi mesej yang ingin disampaikan cukup jelas. Ondash mahu bergerak ke hadapan dan memburu peluang lebih besar dalam divisyen berkenaan.

Persahabatan Kekal Di Luar Gelanggang

Walaupun menolak pertarungan kedua, dia tidak menganggap Johan sebagai musuh. Kedua-duanya sudah mengenali satu sama lain sejak bertanding dalam kejohanan amatur sekitar 2019 dan pernah mempunyai hubungan persahabatan yang baik.

Sebelum perlawanan, dia sendiri menjelaskan bahawa cabarannya terhadap Johan hanyalah soal kerjaya dan bukan masalah peribadi.

Selepas kemenangannya, Ondash kembali menggunakan nada lebih mesra ketika ditemu bual di dalam gelanggang.

“Sekarang kami pergi makan bersama. Tiada masalah,” katanya.

Kenyataan itu menggambarkan bahawa segala ketegangan sepanjang promosi dan pertarungan hanya terhad dalam gelanggang.

Bagi Ondash, Johan masih dianggap seperti seorang saudara meskipun mereka terpaksa saling menyerang demi mengejar cita-cita masing-masing.

Aksi mereka turut terganggu beberapa kali apabila pelindung gigi Ondash tercabut. Pengadil Ricky Sewell akhirnya menunjukkan kad kuning selepas terpaksa menghentikan perlawanan berulang kali.

Ondash mengakui pelindung gigi tersebut sudah lama digunakan dan berjanji akan menggantikannya sebelum pertarungan seterusnya.

BACA: Dua Badang Negara Gegarkan Glasgow, Sukan Angkat Berat Malaysia Raih Dua Emas Penuh Bergaya

Mahu Aliff Naik Kategori

Selain Johan, nama seorang lagi petarung negara, Aliff Sor Dechapan turut dibangkitkan. Aliff merupakan satu-satunya petarung yang pernah menewaskan Ondash sepanjang tujuh penampilannya dalam ONE Championship.

Aliff mencatat kemenangan sebulat suara ke atas Ondash pada Disember 2025. Beliau kemudiannya menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao pada pusingan kelima untuk menjadi Juara Dunia Interim Muay Thai ONE kategori 56.7 kilogram serta juara dunia pertama Malaysia dalam organisasi tersebut.

Namun, Ondash menjelaskan bahawa tubuhnya tidak lagi sesuai untuk turun ke kategori berkenaan. Selepas kekalahan kepada Aliff, beliau naik ke kategori 61.2 kilogram dan menewaskan Suriyanlek Por Yenying sebelum mencabar Johan.

“Kalau dia boleh naik ke kategori 61.2 kilogram, saya alu-alukan,” katanya mengenai kemungkinan bertemu Aliff sekali lagi.

Ondash turut menyatakan bahawa kategori lebih ringan kini menjadi medan abangnya, Abdallah Ondash. Beliau pula mahu membina laluan sendiri menuju tali pinggang kejuaraan dunia dalam kategori baharunya.

Kemenangan ke atas Johan meningkatkan rekod profesional Ondash kepada 14 kemenangan dan empat kekalahan. Dalam ONE Championship, beliau kini mengumpul enam kemenangan daripada tujuh penampilan serta kekal sempurna dalam dua pertarungan kategori 61.2 kilogram.

Ondash tidak memanggil mana-mana juara secara khusus. Sebaliknya, beliau bersedia menentang sesiapa sahaja sekiranya ONE Championship membawanya bertanding dalam acara akan datang di Qatar.

Selepas menewaskan Johan, matlamatnya kini bukan lagi membuktikan siapa petarung muda terbaik. Ondash mahu kemenangan itu menjadi batu loncatan untuk mengejar sesuatu yang lebih besar, iaitu gelaran juara dunia ONE Championship.

Kredit sumber: Bangkok Post

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Published by
Farizul Izwany Ibrahim