
Foto hiasan
Sebanyak 56,752 kes denggi direkodkan setakat 13 Ogos 2026, dengan 49 kematian dilaporkan sehingga 9 Ogos tahun ini.
Kementerian Kesihatan mengaitkan peningkatan ini dengan corak kitaran denggi dan perubahan jenis virus, di mana DENV-3 kini menjadi jenis yang dominan di seluruh negara.
Di tengah-tengah lonjakan kes ini, golongan yang menghidap penyakit kronik berdepan dengan risiko kesihatan yang lebih serius sekiranya dijangkiti denggi.
Satu kajian pada tahun 2026 terhadap pesakit dewasa yang dimasukkan ke hospital di utara Vietnam mendapati mereka mempunyai kebarangkalian dua kali ganda untuk mengalami denggi yang teruk.
Kajian lain di Brazil pula menunjukkan bahawa, dalam kalangan pesakit denggi berusia 9 hingga 45 tahun yang dimasukkan ke hospital, kadar kematian adalah 11 kali lebih tinggi bagi mereka yang menghidap penyakit kronik tertentu.
“Daripada pemerhatian saya, pesakit yang paling terjejas ialah warga emas yang mengalami obesiti dan diabetes. Apabila mereka lewat mendapatkan rawatan, pengurusan demam denggi menjadi jauh lebih sukar,” kata Dr Ganasan, Pakar Perubatan Kecemasan.
Pesanan beliau sempena Hari Nyamuk Sedunia ringkas sahaja: Jangan tunggu sehingga denggi menjadi teruk baru hendak bertindak.
Denggi mungkin bermula dengan gejala biasa seperti demam, sakit badan dan rasa letih atau lesu. Namun, bagi sesetengah orang, denggi boleh menjadi semakin teruk sebaik sahaja demam mulai reda.
Antara tanda amaran yang memerlukan perhatian perubatan segera termasuklah muntah atau cirit-birit yang berterusan (lebih daripada tiga kali), sakit perut yang teruk, pendarahan spontan, sukar bernafas, kelemahan yang ketara, kelesuan atau kekeliruan, hilang selera makan atau kesihatan merosot secara mendadak.
Dr Ganasan masih ingat kes seorang pemuda yang tiba di jabatan kecemasan dengan gejala muntah, cirit-birit dan keletihan, tetapi tidak demam. Hanya setelah ditanya, barulah dia mengakui bahawa dia demam tiga hari sebelum gejala tersebut muncul. Tekanan darah dan kiraan plateletnya rendah, dan ujian mengesahkan dia menghidap denggi.
Sebagai pakar perubatan kecemasan, beliau sering berdepan dengan pesakit pada saat genting, iaitu apabila gejala menjadi semakin teruk, berlaku pendarahan atau tekanan darah terlalu rendah yang memerlukan rawatan segera atau penjagaan rapi.
Dr Ganasan menjelaskan bahawa demam boleh hilang sebaik sahaja komplikasi mula muncul. Dalam kalangan warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik, keadaan kesihatan boleh merosot dengan lebih cepat dan teruk.
Secara ringkasnya, penyakit kronik boleh menyebabkan badan kurang berupaya untuk melawan jangkitan. Masalah kesihatan seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung atau buah pinggang dan obesiti dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk mengalami denggi yang teruk, walaupun tahap risikonya berbeza mengikut jenis penyakit dan individu.
Dr Ganasan menegaskan, ini bukan bermakna setiap individu yang menghidap penyakit kronik akan mendapat denggi yang teruk, atau individu yang sihat tidak berisiko. Namun, mereka yang mempunyai masalah kesihatan disaran mendapatkan nasihat perubatan lebih awal dan mungkin memerlukan pemantauan yang lebih rapi.
Ada satu kes yang masih terpahat kukuh dalam ingatan Dr Ganasan. Lelaki berusia awal 50-an, menghidap diabetes dan obesiti serta merokok, yang tetap bekerja walaupun sudah dua hari dia demam dan mengalami sakit-sakit badan kerana memikirkan tanggungjawabnya untuk mencari nafkah.
Pada hari keempat, dia menjadi terlalu lemah untuk bangun dari katil, makan atau minum. Dia bimbang jika dimasukkan ke hospital, dia tidak dapat meneruskan pekerjaan dan akan kehilangan pendapatan untuk menyara keluarga.
Dia hanya mendapatkan rawatan kecemasan selepas mengalami muntah darah. Walaupun telah menerima pemindahan darah dan rawatan yang intensif, dia akhirnya meninggal dunia.
Dalam tempoh beberapa hari sahaja, keluarga itu bukan sekadar kehilangan seorang suami dan ayah. Mereka kehilangan insan yang menjadi payung keluarga, impian yang dibina bersama serta kehidupan yang selama ini mereka usahakan demi masa hadapan anak-anak.
Dalam sekelip mata, isterinya terpaksa memikul tanggungjawab menjaga dan menyara dua orang anak yang masih kecil tanpa simpanan atau sebarang sumber kewangan. Dr Ganasan masih ingat kata-kata wanita itu: “Doktor, saya tidak tahu bagaimana hendak menjaga anak-anak saya. Saya tidak tahu bagaimana hendak meneruskan kehidupan.”
Bagi Dr Ganasan, kes itu menjadi peringatan pahit kerana kesan denggi tidak berakhir pada pesakit sahaja. Ia mampu mengubah laluan kehidupan seisi keluarga.
Grace Ooi, 45, tahu betapa pantasnya denggi boleh menjejaskan kehidupan seseorang. Selain menghidap diabetes dan hipertensi, dua kali dia diuji dengan jangkitan denggi.
Kali pertama dia diserang denggi ketika masih belajar di sekolah menengah dan dirawat di hospital selama berapa hari. Namun apabila sekali lagi dia dijangkiti denggi pada 2013, keadaannya jauh lebih teruk. Penyakit yang disangka biasa itu rupa-rupanya menghadiahkan dia pengalaman dan perjuangan paling getir yang pernah dilaluinya.
Selama hampir seminggu demamnya tidak menentu, dengan suhu badan yang turun naik. Beberapa kali juga dia mendapatkan rawatan sebelum disahkan menghidap denggi. Ketika dimasukkan ke hospital, kiraan plateletnya berada pada tahap satu angka. Dalam keadaan itu, dia memerlukan pemindahan darah dan ditempatkan di unit rawatan rapi selama tiga hari.
“Saya tidak tahu jangkitan denggi kali kedua boleh jadi lebih teruk, atau menghidap hipertensi boleh menyebabkan keadaan bertamban buruk,” katanya mengimbas pengalaman lalu.
Tidak pernah terlintas di fikiran Grace, pada hari ulang tahun kelahirannya dia berada di ICU, bukan bersama insan tersayang meraikan hari istimewa itu. Selama dua minggu dipaksa berehat daripada bekerja, hatinya dibelenggu rasa bersalah apabila melihat ibu kepenatan menjaga bapanya yang sedang sakit.
“Saya lebih bimbangkan tentang orang yang akan saya tinggalkan berbanding keadaan diri sendiri. Itulah yang paling berat bagi saya,” kata Grace.
Jangkitan denggi yang pernah dialami sebelum ini biasanya hanya memberi perlindungan jangka panjang terhadap jenis virus yang menjangkiti itu, bukannya terhadap keempat-empat jenis virus denggi. Jangkitan semula dengan jenis virus yang berbeza boleh meningkatkan risiko untuk mengalami denggi yang teruk. 5,6
DENV-3 tidak semestinya lebih mudah berjangkit atau lebih berbahaya berbanding jenis virus denggi yang lain.
Kepentingannya terletak pada imuniti populasi: mereka yang belum pernah dijangkiti DENV-3, masih terdedah dan berisiko untuk mengalami jangkitan virus ini. Demam denggi akan menjadi lebih teruk jika mereka pernah mengalami jangkitan jenis virus yang berbeza sebelum ini.
Perubahan jenis virus boleh menyebabkan lebih ramai orang terdedah kepada jangkitan dan menyumbang kepada penularan yang lebih meluas; manakala penyakit kronik pula merupakan faktor berasingan yang boleh mempengaruhi tahap keterukan jangkitan denggi yang dialami oleh seseorang.
Bagi Dr Ganasan, walau apapun jenis virus yang sedang menular, perkara penting dari sudut klinikal ialah menilai pesakit secara menyeluruh: umur, penyakit sedia ada, sejarah jangkitan denggi dan berapa cepat keadaan kesihatan mereka berubah.
Ada banyak langkah yang perlu dilakukan dalam usaha melindungi diri sendiri daripada denggi. Langkah seperti membuang air yang bertakung, menutup bekas simpanan air, menggunakan bahan penghalau nyamuk dan jaring penghalang serangga serta memakai pakaian yang melindungi tubuh, selain menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kejiranan kekal penting.
Dr Ganasan berkata, vaksinasi pula boleh memberi perlindungan tambahan dengan mengurangkan risiko mendapat denggi dan kemasukan ke hospital akibat denggi. Malah orang ramai boleh berbincang dengan pengamal penjagaan kesihatan mengenai kesesuaian vaksinasi untuk mereka berdasarkan garis panduan yang ditetapkan di Malaysia.
BACA: Anak Johor, Danish Iftikhar Lengkap Hatrik Emas, Pecah Rekod SUKMA 200m
“Denggi bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang jatuh sakit. Kes-kes yang pernah saya temui menunjukkan bagaimana denggi boleh menjejaskan seisi keluarga – termasuk penjaga pesakit, anak-anak yang masih berada di bawah tanggungan mereka dan rancangan masa depan yang telah disusun bersama,” kata Dr Ganasan.
“Inilah sebabnya pencegahan itu sangat penting. Ia bukan sekadar satu tindakan, bukan juga tanggungjawab satu rumah atau satu pihak berkuasa sahaja. Kita semua perlu memainkan peranan untuk mencegah pembiakan nyamuk, melindungi diri sendiri daripada gigitan dan bertindak segera apabila gejala mula muncul.”
Bagi golongan yang menghidap penyakit kronik, mempertingkatkan langkah berjaga-jaga bukan bermakna kita panik. Sebaliknya, ia menandakan kita sedar bahawa risiko yang dihadapi mungkin lebih besar. Bahkan, inilah cara untuk melindungi kesihatan diri sendiri, kesejahteraan keluarga dan detik-detik berharga yang ingin terus dikongsi bersama.