Hiburan

Ryan Bakery Berjinak-Jinak Jadi Pengarah

Share

KUALA LUMPUR: Bermula sebagai pencipta kandungan, pempengaruh media sosial, Ryan Bakery kini mula berjinak-jinak menduduki kerusi pengarahan.

Sempena Ramadan ini, Ryan bersama rakannya seperti Wan Chai, Yeett, Black, Adam Bakery dan Farihin Arnia muncul dalam drama pendek arahannya berjudul Budak Bedak The Series yang disiarkan di saluran Astro Gempak.

Ryan berkata, dia merancang menerbitkan siri berkenaan bagi siaran di saluran YouTube tetapi tidak menyangka Astro tertarik dengan ideanya.

“Budak Bedak The Series asalnya bukanlah untuk Ramadan, tetapi lebih kepada perkongsian doa harian dan kejadian berlaku di kelas mengaji.

Foto: Tangkap layar babak drama pendek Budak Bedak The Series.

“Tetapi, Astro melihat kandungan ini sesuai untuk disiarkan pada Ramadan, jadi kami teruskan projek ini.

“Siri ini mempunyai sebanyak 10 episod dan menemui penonton di Astro Gempak pada setiap Rabu, jam 12.30 tengah hari,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media Salam Ramadan Masa Anugerah Terindah, baru-baru ini.

Belum Yakin Mengarah Sendiri

Berkongsi pengalaman duduk di kerusi pengarahan, Ryan atau nama sebenarnya, Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 29, berkata ia pengalaman sangat menyeronokkan walaupun mengakui kekok pada mulanya.

Katanya, dia hanya menghasilkan kandungan untuk media sosial dan mengakui terdapat perbezaan dari sudut pengarahan.

“Selama ini, semua kandungan dirakam sendiri tapi untuk siri ini kami menggunakan kamera, jadi sepanjang mengarahkan drama ini saya dan seorang lagi pengarah, Lisa banyak berbincang.

Foto: Tangkap layar babak drama pendek Budak Bedak The Series.

“Buat masa ini, saya tak yakin untuk arahkan drama sendirian, memang ada minat tetapi banyak lagi yang perlu saya belajar,” katanya.

Berkongsi mengenai Ramadan, Ryan berkata, jadualnya memang sangat padat sehingga menjelangnya Aidilfitri.

Ryan yang baru bergelar bapa dua bulan lalu berkata, jadualnya padat disebabkan sebelum ini terpaksa bercuti bagi memberikan fokus kepada isteri yang baru bersalin.

“Banyak kerja tertangguh ketika isteri melahirkan anak sulung. Jadi, inilah masanya pengurusan terpaksa ‘cover’ balik kerja tertangguh.

“Saya anggap ini adalah rezeki anak. Alhamdulillah, isteri memahami kerana ini untuk masa depan kami sekeluarga,” katanya.

Sumber: Berita Harian

BACA: Gugur Air Mata Ibu Apabila Zizan Hadiahkan Mercedes Benz GLC300

IKLAN