Background foto: Freepix.com

Sebagai seorang lelaki di antara penyakit yang ada kemungkinan berlaku kepada mereka yang perlu diberikan perhatian ialah kanser prostat. Tidak dinafikan pelbagai jenis kempen telah dijalankan oleh pelbagai pihak bagi memberikan kesedaran akan risiko kanser ini.

Namun tahukah anda masih ramai lelaki di luar sana hanya pernah mendengar tentang kanser prostat tetapi tidak tahu dengan jelas apakah risiko yang dibawa penyakit ini serta apakah langkah pencegahan awal yang boleh diambil.

MASKULIN berasa cukup bertuah kerana diberikan kesempatan untuk menemubual Pakar Perunding Onkologi dari Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Matin Mellor Abdullah.

Sebagai seorang yang arif akan risiko kanser prostat beliau berkongsi bahawa kanser prostat merupakan kanser ketiga tertinggi berlaku pada golongan lelaki di Malaysia. Melihatkan kedudukan tersebut ia adalah satu perkara yang cukup membimbangkan.

Ikuti temu bual eksklusif MASKULIN bersama Dr. Matin Mellor Abdullah tentang kanser prostat yang menjadi igauan buruk bagi setiap lelaki.

1. Kaji selidik menunjukkan kanser prostat adalah kanser ketiga tertinggi di Malaysia. Adakah kes kanser prostat semakin meningkat? Sila huraikan faktor risiko yang boleh menyebabkan kanser prostat.

Kanser prostat sememangnya semakin meningkat di Malaysia. Menurut Data Pendaftaran Kanser untuk tahun 2007-2011 menunjukkan kanser prostat menyumbangkan kurang daripada 3.3% jumlah kes kanser.

Manakala data pendaftaran dari 2012-2016 pula menunjukkan kanser prostat menyumbangkan 3.6% jumlah kanser yang dilaporkan dalam tempoh tersebut. Ia merupakan kanser tertujuh tertinggi di Malaysia dan kanser ketiga tertinggi di kalangan lelaki selepas kanser kolorektal dan paru-paru.

Terdapat beberapa faktor risiko menyebabkan kanser prostat. Ia termasuklah peningkatan umur, sejarah keluarga yang menghidap kanser prostat terutamanya jika beberapa ahli keluarga telah atau pernah menghidapinya.

Corak pemakanan mengikut Barat dan obesiti juga menyumbang kepada peningkatan risiko walaupun mekanismenya tidak diketahui sepenuhnya. Kanser prostat di kalangan mereka yang obes mungkin merupakan varian yang lebih agresif. Di Malaysia kanser prostat lebih biasa didapati di kalangan orang Cina diikuti oleh orang India dan orang Melayu.

2. Apakah tanda-tanda yang perlu diberi perhatian?

IKLAN

Kanser prostat mungkin tidak mempunyai sebarang gejala pada peringkat awal. Apabila ia merebak dalam prostat ia boleh menyebabkan aliran air kencing menjadi lemah, perlahan, kerap membuang air kecil, kesukaran untuk membuang air kecil dan menitis selepas membuang air kecil.

Secara kolektifnya ini dipanggil Lower Urinary Tract Symptoms atau LUTS. Walau bagaimanapun, ia bukan gejala khusus kanser prostat. Kemunculan darah dalam air mani juga merupakan petanda lebih besar.

Manakala gejala lain termasuk sakit pada bahagian pelvis dan di bahagian tulang lain jika kanser telah merebak. Ia juga boleh menyebabkan penyusupan pundi kencing dan rektum yang membawa kepada darah dalam air kencing dan kesakitan usus. Ia juga boleh menyebabkan masalah kawalan kencing yang lemah dan mati pucuk.

Saringan Awal Mampu Cegah Kanser Prostat Jadi Lebih Parah, Ini Kata Pakar Perunding Onkologi SJMC
Image by pressfoto on Freepik

3. Kanser prostat kebiasaanya dihidapi lelaki yang lebih tua. Bagaimana pula dengan risiko untuk lelaki yang lebih muda?

Kanser prostat kebiasannya dihidapi lelaki berusia lebih 50 tahun. Tidak begitu jelas mengapa sesetengah lelaki menghidap kanser prostat pada usia yang lebih muda dan kecenderungan genetik mungkin merupakan punca.

Penyelidikan sedang dijalankan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai golongan ini. Kanser prostat dalam lelaki yang lebih muda cenderung menjadi lebih agresif dan kadar survival mereka adalah lebih rendah daripada mereka yang menghidapinya pada usia yang lebih tua.

4. Mampukah saringan awal membantu mencegah kanser prostat di kalangan lelaki? Jika ya, bagaimana?

IKLAN

Saringan dilakukan untuk mengesan kanser pada peringkat awal. Ia tidak mencegah lelaki dari menghidapi kanser. Pokok pangkalnya, kanser sepatutnya dikesan melalui saringan peringkat awal bilamana rawatan akan lebih berkesan untuk membasmi kanser.

Saringan Awal Mampu Cegah Kanser Prostat Jadi Lebih Parah, Ini Kata Pakar Perunding Onkologi SJMC
Image by DCStudio on Freepik

5. Apakah jenis saringan yang ada dan berapa banyak jenis yang ada serta, adakah saringan itu menyakitkan?

Terdapat dua mod saringan:

i. Mengukur penanda kanser dalam ujian darah yang dipanggil Prostate-Specific Antigen (PSA) dan
ii. Pemeriksaan Rektum Digital (DRE)

PSA yang meningkat mungkin menunjukkan kehadiran kanser prostat. DRE pula merupakan kaedah pemeriksaan di mana jari bersarung digunakan untuk merasa permukaan prostat melalui rektum. Ketulan keras kanser prostat mungkin dapat dirasai melalui DRE.

Jika disyaki terdapat kanser prostat berdasarkan ujian saringan di atas, biopsi diperlukan untuk mengesahkan kehadiran kanser tersebut. Biopsi merujuk kepada prosedur di mana sampel diperolehi daripada prostat yang kemudiannya dihantar kepada pakar patologi untuk diperiksa bagi mengesahkan diagnosis.

IKLAN

6. Adakah kanser prostat boleh dirawat? Boleh doktor huraikan sedikit.

Sudah semestinya kanser prostat boleh dirawat. Namun persoalan yang lebih penting ialah sama ada ia boleh diubati. Ini bergantung pada peringkat semasa dikesan. Kanser prostat secara umumnya boleh dibahagikan kepada penyakit setempat atau metastatik berdasarkan penyiasatan peringkat.

Pesakit dengan penyakit setempat berpotensi disembuhkan apabila dirawat dengan sewajarnya dan secukupnya. Namun begitu, walaupun telah dirawat, sebahagian daripada mereka mengalami kanser ulangan dari semasa ke semasa.

Secara amnya, mereka yang menghidapi kanser metastatik tidak boleh diubati. Walau bagaimanapun, mereka boleh dirawat untuk mengawal penyakit tersebut daripada merebak dengan terlalu cepat.

Kanser prostat secara amnya adalah penyakit yang berkembang dengan agak perlahan dan boleh wujud bersama penyakit lain selama bertahun-tahun.

Tidaklah luar biasa jika seseorang meninggal dunia akibat penyakit lain ketika hidup dengan kanser prostat. Sentiasa terdapat pengecualian di mana penyakit ini boleh berkembang dengan cepat dan menyebabkan kematian.

7. Mengapakah kurangnya kesedaran di kalangan lelaki Malaysia untuk menjalani saringan kanser prostat?

Umumnya, terdapat kekurangan kesedaran tentang kanser prostat di seluruh dunia. Saya tidak tahu jika terdapat sebarang tinjauan di kalangan lelaki Malaysia yang menilai kesedaran mereka untuk menjalani saringan kanser prostat secara khusus. Secara amnya individu yang mempunyai LUTS harus menjalani PSA kemudiannya DRE, sebaik-baiknya dilakukan dalam urutan itu. Jika mendapat keputusan yang abnormal, mereka harus dirujuk kepada pakar urologi untuk penilaian lanjut dan pengesahan kanser prostat.

Semoga pencerahan dari doktor pakar ini mampu memberikan banyak manfaat untuk anda. Ingat ya, jika anda merasakan ada sesuatu yang janggal dan tidak kena pergilah lakukan saringan dengan segera!

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI