Siapa yang suka dengan keadaan rumah yang kotor serta bersepah? Namun memandangkan orang zaman ini banyak yang sibuk dengan pelbagai urusan, memang tak sempatlah nak mengemas jawabnya.
Nak tunggu hujung minggu, lambat lagi. Nak upah orang gaji, mahal pula kalau bayar bulan-bulan. Cuma harapnya ada yang sudi datang bersihkan rumah apabila berkesempatan sajalah.
Mulakan servis bersihkan rumah
Namun adakah orang yang sediakan servis sebegitu? Jawapannya adalah, “Ya, ada” dan ia diuruskan oleh seorang anak muda, Shaz yang baru berusia 27 tahun sebaik sahaja menamatkan pelajaran dari Univerisiti Malaya.
Ujar Shaz atau nama sebenarnya Shazwan Affendy Abdul Wahab, dia menamakan bisnesnya sebagai Shaz Family Services dan sudah menjalankan operasi sejak setahun tahun lalu.
Dalam perkhidmatan itu, Shaz bukan sahaja menyediakan khidmat membersih dan mengemas malah ia turut merangkumi tugas mengecat dan bungkus barangan untuk pindah rumah jika ada permintaan.
Hanya part time pada asalnya
Pada mulanya, kerja-kerja yang dilakukan adalah separuh masa sahaja. Sekadar mencari wang tambahan namun setelah mendapat permintaan, Shaz berfikir untuk melakukannya secara serius.
Sehubungan itu bermula Januari 2019, ia merupakan langkah berani Shaz untuk menggerakkan servis bersih dan kemas rumah itu secara serius sehingga mendapat kepercayaan ramai.
Sudah hadap lebih 70 buah rumah
Kini Shaz memiliki seramai 10 orang pembantu dan dalam tempoh setahun ini, Shaz Family Services sudah ‘menerjah’ lebih 70 buah rumah dalam kawasan Kuala Lumpur dan juga Selangor berdasarkan tempahan awal.
“Sepanjang menjalankan servis ini, banyak cabaran dan pengalaman yang kami perolehi. Antaranya, dapat pengalaman mengenali bermacam-macam ragam tuan rumah serta mencuci rumah yang terlalu kotor.
“Namun demikian, semua itu tidak jadi masalah bagi kami. Malah menjadikan kami lebih bersyukur kerana dapat mengenali pelbagai ragam manusia yang boleh kami jadikan pengajaran dalam hidup,” katanya.
Pelanggan bagi respon positif
Sepanjang menjalankan servis bersih dan kemas tersebut, kata Shaz, banyak tuan rumah banyak memberi respon yang positif serta komen yang membina untuk mereka perbaiki dari semasa ke semasa.
“Apa yang paling manis sekali dalam menjalankan servis ini adalah tuan rumah berpuas hati serta melihat rumah yang bersepah jadi bersih setelah mendapat sentuhan kerja kami sendiri,” kongsinya.
Mahu bantu keluarga jadi motivasi
Kerana mahu membantu keluarga, keinginan itu menjadi satu motivasi besar buat Shaz sehingga dia menjalankan servis tersebut.
Selain ingin menyimpan duit demi masa depan untuk dirinya dan keluarga, Shaz juga ingin sediakan perkhidmatan dalam kadar harga yang berpatutan untuk sesiapa yang memerlukan perkhidmatan.
“Dalam masa sama, kami juga ingin wujudkan peluang pekerjaan secara sambilan kepada pelajar sekolah yang kurang bernasib baik bagi menampung perbelanjaan harian mereka untuk pergi ke sekolah,” kongsinya.
Caj antara RM180 – RM400
Ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Drama) dari Universiti Malaya ini kepada Maskulin, setiap servis dikenakan caj pada harga RM180 hingga RM400.
“Namun ia bergantung kepada jarak, luas rumah dan juga tahap kekotoran yang perlu diselesaikan. Selain itu, kami hanya mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik sahaja,” katanya.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI