Serangan Terhadap Ketua Polis Dang Wangi Dikecam, PM Gesa Dalang Segera Diberkas

Share

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan kekal menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Beliau berkata, kebebasan berhimpun merupakan salah satu hak asasi yang dijamin, namun rakyat perlu sentiasa ingat bahawa kebebasan itu datang dengan tanggungjawab.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah menunjukkan sikap terbuka dengan membenarkan pelbagai perhimpunan diadakan, asalkan ia tidak menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam.

Bagaimanapun, Anwar mengingatkan bahawa hak untuk berhimpun tidak boleh ditafsir secara mutlak hingga mengetepikan undang-undang serta adab yang perlu dijaga.

Foto : Utusan

“Prinsip kebebasan menuntut kita untuk bertanggungjawab, patuh kepada hukum serta menjaga adab dan undang-undang. Berhimpun secara aman tidak boleh sama sekali disalahgunakan,” tegas beliau.

Kecam Serangan Ke Atas Ketua Polis Dang Wangi

Dalam kenyataannya, Perdana Menteri turut mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi yang berlaku baru-baru ini.

Tindakan pihak tertentu yang mencederakan penjawat awam itu disifatkan sebagai perbuatan keji dan tidak boleh diterima sama sekali.

Anwar berkata, serangan ke atas anggota keselamatan bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencabar kewibawaan institusi polis sebagai penjaga keamanan negara.

“Ia satu tindakan yang melampau, tidak bertanggungjawab, dan mesti dikecam sepenuhnya,” katanya.

Foto : Utusan

Sehubungan itu, Anwar menggesa pihak berkuasa untuk segera mempercepatkan siasatan serta menahan dalang di sebalik serangan tersebut.

Beliau menekankan bahawa tindakan tegas perlu diambil agar kejadian serupa tidak berulang dan supaya rakyat tidak hilang keyakinan terhadap sistem keselamatan negara.

Tolak Hasutan, Utamakan Kedamaian

Anwar turut memberi peringatan agar himpunan aman tidak dijadikan alat untuk kepentingan politik sempit yang akhirnya menggugat ketenteraman rakyat.

Menurut beliau, budaya keganasan yang disemai melalui hasutan kebencian dan penyebaran maklumat palsu berpotensi menjejaskan perpaduan negara jika tidak dibendung.

“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian, dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” ujar Perdana Menteri.

Beliau menegaskan bahawa prinsip demokrasi perlu dipertahankan dengan penuh tanggungjawab.

Foto : Berita Harian

Hak rakyat untuk berhimpun mesti diimbangi dengan keperluan menjaga ketenteraman awam, demi memastikan Malaysia terus kekal aman dan harmoni.

Akhirnya, Anwar menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menolak sebarang bentuk provokasi dan tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang boleh mencetuskan perpecahan.

Katanya, kedamaian dan keharmonian nasional adalah milik bersama yang wajib dipelihara oleh setiap warganegara.

BACA LAGI : Selepas 70 Tahun, Warga Emas Ini Akhirnya Rasai Nikmat Jadi Warganegara Malaysia

Sumber : Utusan

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah. 

 

Published by
Darwisy Farain