Servis Kereta Sebelum Balik Kampung, Checklist Penting & Wajib Semak Sebelum Balik Raya

Share

Setiap kali musim perayaan, lebuh raya di seluruh negara pasti sesak dengan kenderaan yang menuju ke kampung halaman. Begitu juga menjelang Hari Raya Aidilfitri, ramai yang akan memulakan perjalanan jauh bersama keluarga untuk pulang beraya.

Namun sebelum anda memulakan perjalanan, ada satu perkara penting yang tidak boleh dipandang ringan iaitu memastikan kenderaan berada dalam keadaan terbaik. Melakukan servis kereta sebelum balik kampung merupakan langkah bijak bagi mengelakkan kerosakan di tengah jalan serta memastikan perjalanan lebih selamat.

Pemeriksaan ringkas sebelum bertolak bukan sahaja membantu mengelakkan kerosakan di tengah jalan, malah mampu menjamin keselamatan anda dan penumpang sepanjang perjalanan.

Berikut merupakan checklist asas servis kereta sebelum balik kampung yang wajar anda lakukan sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung.

1. Periksa Paras Minyak Petrol

Langkah paling asas sebelum perjalanan jauh ialah memastikan tangki minyak mencukupi. Sebaiknya isi minyak sehingga penuh sebelum bertolak supaya perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di stesen minyak yang mungkin sesak.

Selain itu pastikan penunjuk aras minyak pada meter berfungsi dengan baik supaya anda dapat memantau baki minyak sepanjang perjalanan.

2. Semak Paras Minyak Enjin

Minyak enjin memainkan peranan penting dalam memastikan enjin berfungsi dengan lancar. Tanpa minyak enjin yang mencukupi komponen enjin boleh mengalami geseran berlebihan dan akhirnya rosak.

Cara memeriksa minyak enjin cukup mudah.

  • Cabut dipstick daripada enjin
  • Lap bersih menggunakan kain
  • Masukkan semula dipstick
  • Keluarkan dan periksa paras minyak

Paras minyak enjin sepatutnya berada di antara tanda minimum dan maksimum. Jika terlalu rendah tambahkan minyak enjin yang sesuai dengan spesifikasi kereta anda.

3. Periksa Minyak Brek

Minyak brek sangat penting untuk sistem membrek kereta. Paras minyak brek yang rendah boleh menyebabkan brek kurang berfungsi dengan baik.

Anda boleh melihat paras minyak brek melalui bekas takungan minyak brek di bahagian enjin. Pastikan parasnya berada di antara tanda minimum dan maksimum. Jika kurang tambahkan minyak brek dengan berhati hati.

4. Semak Minyak Power Steering

Minyak power steering membantu pemanduan menjadi lebih ringan dan lancar. Semasa melakukan servis kereta sebelum balik kampung, komponen ini juga perlu diberi perhatian.

Semak paras minyak ini dan pastikan ia berada pada tahap yang sesuai. Selain itu perhatikan juga warnanya. Minyak power steering yang baik biasanya berwarna jernih keemasan. Jika warnanya terlalu gelap atau kehitaman itu petanda ia perlu diganti.

5. Semak Air Radiator

Ramai pemandu sering terlepas pandang perkara ini. Air radiator berfungsi untuk menyejukkan enjin ketika kereta sedang bergerak.

Pastikan paras air radiator berada antara tanda minimum dan maksimum. Jika terlalu rendah tambah air radiator atau coolant bagi mengelakkan enjin menjadi terlalu panas ketika perjalanan jauh.

6. Pastikan Wiper Berfungsi Baik

Perjalanan jauh mungkin berdepan dengan pelbagai keadaan cuaca seperti hujan atau jalan berdebu. Oleh itu fungsi wiper sangat penting untuk memastikan penglihatan sentiasa jelas.

Periksa juga washer fluid atau air pencuci cermin. Pastikan bekasnya penuh. Sebaiknya gunakan air suling atau air mineral supaya nozzle tidak mudah tersumbat. Anda juga boleh menambah sedikit cecair pencuci cermin.

7. Periksa Getah Wiper

Jika sudah lama tidak menukar wiper getahnya mungkin sudah keras atau haus. Ini menyebabkan wiper tidak dapat menolak air dengan baik ketika hujan.

Perhatikan pergerakan wiper sama ada ia lancar atau tersangkut. Jika wiper meninggalkan kesan air pada cermin itu petanda getah wiper perlu diganti.

8. Uji Sistem Penghawa Dingin

Perjalanan jauh tanpa penghawa dingin yang berfungsi dengan baik boleh menjadi sangat tidak selesa. Sebab itulah ia antara servis kereta yang penting!

Hidupkan aircond pada suhu paling sejuk dan kelajuan kipas maksimum. Pastikan udara yang keluar benar benar sejuk. Jika terdapat buih udara pada sign glass ia mungkin menandakan gas aircond rendah atau berlaku kebocoran.

9. Periksa Drive Belt dan Kipas

Drive belt merupakan komponen penting yang menggerakkan beberapa sistem dalam enjin seperti alternator kompressor aircond dan pam air radiator.

Jika belt kelihatan retak berbulu atau haus ia perlu diganti segera bagi mengelakkan kerosakan enjin.

10. Semak Keadaan Bateri

Foto: mach1services.com

Bateri kereta juga perlu diperiksa sebelum perjalanan jauh. Pemeriksaan ini merupakan sebahagian penting daripada proses servis kereta sebelum balik kampung.

Bagi bateri kering anda boleh melihat battery charge indicator. Jika lampu hijau menyala bateri masih baik. Jika merah atau putih kemungkinan bateri sudah lemah dan perlu ditukar.

Bagi bateri basah periksa paras air bateri dan pastikan ia berada di antara tanda minimum dan maksimum.

BACA: 5 Tip Pilih Warna Baju Melayu Sesuai Dengan Bentuk Badan dan Warna Kulit

11. Periksa Keadaan Tayar

Image by teksomolika on Freepik

Tayar merupakan komponen paling penting yang bersentuhan dengan jalan raya.

Sebelum bertolak pastikan tekanan tayar mengikut spesifikasi pengeluar. Pastikan juga bunga tayar tidak botak dan tiada rekahan atau benjolan.

Jangan lupa untuk memeriksa tayar simpanan sekiranya berlaku kecemasan.

Kepentingan Servis Kereta Sebelum Balik Kampung

Melakukan servis kereta sebelum balik kampung mungkin mengambil masa beberapa minit sahaja namun ia mampu mengelakkan masalah besar di tengah perjalanan.

Pemeriksaan asas servis kereta seperti minyak enjin, brek, bateri dan tayar boleh membantu memastikan kenderaan berada dalam keadaan terbaik sebelum memulakan perjalanan jauh.

Servis kereta untuk pastikan ia berada dalam keadaan terbaik supaya perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha bersama keluarga menjadi lebih selamat, selesa dan tenang.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim