
Aktor ‘superstar’ Bollywood, Shah Rukh Khan mencatat sejarah peribadi apabila secara rasmi menyertai kelab bilionair buat kali pertama di India, sekali gus menjadikannya salah seorang pelakon terkaya dunia. Menurut senarai Hurun India Rich List 2025 yang dipetik oleh BBC, kekayaan bersih bintang berusia 59 tahun itu kini dianggarkan mencecah AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion).
Shah Rukh kini sebaris dengan nama besar dunia seperti Arnold Schwarzenegger, Rihanna, Tiger Woods dan Taylor Swift. Antara bintang Bollywood lain yang turut tersenarai ialah Juhi Chawla, Hrithik Roshan, Amitabh Bachchan serta pengarah tersohor, Karan Johar.
Digelar sebagai Raja Romantik Bollywood, Shah Rukh Khan telah membina kerjayanya lebih tiga dekad dalam industri filem Hindi. Namun, kejayaannya tidak hanya bergantung pada lakonan semata-mata. Beliau berjaya mengubah dirinya daripada seorang aktor kepada pemilik empayar bisnes hiburan dan sukan.
Menurut laporan Hurun, status bilionair Shah Rukh banyak didorong oleh pegangan saham dalam Red Chillies Entertainment (syarikat produksi miliknya) dan Knight Rider Sports (kelab kriket IPL miliknya, Kolkata Knight Riders). Selain itu, sumber pendapatannya turut datang daripada bayaran filem, iklan bernilai jutaan dolar serta pelaburan hartanah di seluruh dunia.
Kisah Shah Rukh Khan adalah bukti nyata bahawa disiplin, keberanian dan visi jelas mampu menukar siapa sahaja menjadi legenda hidup. Dari seorang anak muda Delhi tanpa latar belakang filem, kini beliau berdiri sebagai ikon global yang disegani bukan sahaja kerana bakat, tetapi juga kebijaksanaan strategi kewangan.
Bagi lelaki moden, pencapaian Shah Rukh Khan adalah inspirasi untuk:
Berani keluar zon selesa – jangan hanya bergantung pada satu sumber rezeki.
Diversifikasi pendapatan – pelbagaikan portfolio dalam perniagaan, pelaburan dan aset.
Konsisten & fokus – kejayaan bukan datang dalam sehari, tetapi hasil kerja keras berdekad lamanya.
Hari ini, Shah Rukh Khan bukan sekadar bintang filem, tetapi simbol kejayaan lelaki yang mampu menguasai dunia dengan kombinasi bakat, usaha dan strategi pintar.