Gaya Hidup

Shokz OpenFit Pro, Earbud ‘Noise Reduction’ Terbaik Buat Pelari & Pengamal Gaya Hidup Aktif

Share

Dalam dunia audio sukan, Shokz bukanlah nama asing. Jenama ini cukup dikenali menerusi teknologi bone conduction yang menjadi pilihan ramai pelari dan penunggang basikal kerana membolehkan pengguna kekal peka dengan bunyi persekitaran.

Namun dengan OpenFit Pro, Shokz mengambil pendekatan berbeza. Ia bukan lagi menggunakan bone conduction sepenuhnya.

Sebaliknya tampil sebagai open-ear true wireless earbuds yang menggunakan teknologi air conduction, sekali gus menawarkan pengalaman mendengar yang lebih hampir kepada earbud premium, tanpa menutup saluran telinga.

Selepas meneliti dan menguji sendiri, inilah pendapat kami tentang prestasi dan potensi sebenar Shokz OpenFit Pro.

Rekaan Sangat Selesa

Perkara pertama yang paling menonjol ialah tahap keselesaannya. Berbeza dengan earbud in-ear biasa yang masuk ke dalam saluran telinga, OpenFit Pro hanya ‘terletak’ di luar telinga sahaja dengan aplikasi cangkuk fleksibel yang diperbuat daripada aloi nikel titanium.

Hasilnya, ia hampir tidak terasa dipakai walaupun selepas beberapa jam melakukan aktiviti harian biasa dan juga senaman aktif seperti larian atau bersenam di gym!

Disebabkan itulah buat mereka yang selalu berlari, melakukan gym atau bekerja sambil memakai earbud

sepanjang hari, faktor ini menjadi kelebihan yang sangat besar.

Dan paling penting Shokz OpenFit Pro tetap kekal stabil dan tidak terjatuh walaupun ketika kami melakukan aktiviti larian atau aktiviti berimpak tinggi.

Kualiti Bunyi Lebih Baik Daripada Dijangka

Sebelum ini, kelemahan utama kebanyakan open-ear earbuds ialah bass yang kurang bertenaga.

Shokz nampaknya berjaya memperbaiki perkara tersebut. OpenFit Pro menggunakan pemacu dwi diafragma bersaiz 11 x 20 mm yang menghasilkan bunyi lebih penuh dengan bass yang jauh lebih baik berbanding generasi terdahulu.

Sudah tentu ia masih belum mampu menandingi earbud in-ear premium yang mempunyai pengasingan bunyi sepenuhnya.

Namun untuk kategori open-ear, prestasi audionya antara yang terbaik ketika ini. Podcast, muzik pop, rock dan EDM kedengaran jelas dengan vokal yang kemas serta pentas bunyi yang luas.

Kekal Peka Dengan Persekitaran

Inilah sebab utama ramai memilih Shokz. Ketika berlari di jalan raya atau berbasikal, anda masih boleh mendengar hon kenderaan, bunyi motosikal atau suara orang di sekeliling.

Dari sudut keselamatan, ini merupakan satu kelebihan yang sukar ditawarkan oleh earbud ANC biasa.

Sebab itu OpenFit Pro lebih sesuai digunakan untuk aktiviti luar berbanding model yang menutup telinga sepenuhnya.

Bagi pelari, kesedaran terhadap persekitaran sering dianggap sama penting dengan kualiti bunyi itu sendiri.

Noise Reduction Yang Menarik, Tetapi…

Antara ciri baharu yang paling mendapat perhatian ialah teknologi Noise Reduction.

Secara teorinya, ia kedengaran agak pelik kerana bagaimana sebuah open-ear earbuds boleh mengurangkan bunyi luar?

Mungkin anda terfikir bahawa ini adalah satu paradoks. Open ear dan noise redcution seakan tidak sesuai berada dalam satu ayat yang sama namun inilah kelebihan teknologi yang Shokz tawarkan.

Hakikatnya, ia memang berfungsi. Namun jangan mengharapkan pengalaman seperti Active Noise Cancellation (ANC) pada peranti audio di pasaran yang direka khas untuk menghalang segala bunyi luaran.

Sebaliknya, ia lebih kepada mengurangkan bunyi persekitaran sederhana seperti pendingin hawa, pejabat terbuka atau gimnasium. Dalam bahasa mudahnya, ‘menapis’ bunyi kotor yang tidak diperlukan dan mengganggu.

Bunyi trafik dan suara orang ramai masih boleh didengari, cuma pada tahap yang lebih rendah. Bagi kami, fungsi ini lebih kepada nilai tambah dan bukannya sebab utama untuk membeli OpenFit Pro.

Bateri Yang Meyakinkan

Hayat bateri juga antara kekuatan terbesar model ini. Shokz OpenFit Pro mampu bertahan sehingga 12 jam penggunaan bagi satu cas, manakala bekas pengecas meningkatkan jumlah keseluruhan sehingga sekitar 50 jam.

Ia juga turut menyokong pengecasan pantas, dengan beberapa minit pengecasan sudah cukup untuk digunakan bagi beberapa jam berikutnya.

Untuk mereka yang kerap melakukan larian jarak jauh atau melancong, angka ini sememangnya meyakinkan.

Siapa Yang Patut Membelinya?

Jika anda seorang audiophile yang mahukan bass paling kuat dan ANC terbaik, OpenFit Pro mungkin bukan pilihan paling sesuai.

Tetapi jika anda seorang pelari, penggemar aktiviti luar, kaki gym atau individu yang memakai earbud sepanjang hari ketika bekerja, ceritanya sangat berbeza.

Keselesaan, kestabilan ketika bergerak serta keupayaan kekal mendengar bunyi persekitaran menjadikan OpenFit Pro antara open-ear earbuds paling lengkap di pasaran ketika ini.

Malah, tidak keterlaluan kami katakan bahawa Shokz Openfir Pro merupakan model open-ear terbaik pernah dihasilkan oleh Shokz setakat ini.

BACA: 5 Sebab Pelari Biasa Mula Beralih Kepada Trail Running

Verdict

Kelebihan

  • Sangat selesa dipakai dalam tempoh lama
  • Bunyi jauh lebih baik berbanding kebanyakan open-ear earbuds
  • Stabil ketika berlari dan bersenam
  • Hayat bateri yang panjang
  • Kekal peka dengan bunyi persekitaran, sesuai untuk aktiviti luar

Kekurangan

  • Noise Reduction tidak boleh disamakan dengan ANC sebenar
  • Prestasi mikrofon boleh terjejas ketika angin kuat

Skor MASKULIN: 4.5/5

Shokz OpenFit Pro bukan direka untuk menggantikan semua jenis earbud. Ia dibangunkan untuk mereka yang mengutamakan keselesaan, keselamatan dan gaya hidup aktif.

Jika anda seorang pelari atau individu yang sentiasa bergerak, sukar untuk menafikan bahawa OpenFit Pro merupakan antara pilihan terbaik dalam kategori open-ear yang ada di pasaran hari ini.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim