Tahniah & Selamat Datang GCEO Baru Kumpulan Media Karangkraf, Mohamed Izam Mohamed Yusof

Share

Kumpulan Media Karangkraf melantik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) yang baharu iaitu Mohamed Izam Mohamed Yusof berkuat kuasa hari ini

Pengumuman ini dibuat oleh Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pengarah Urusan Kumpulan serta Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang melepaskan jawatan berkenaan bermula hari ini.

“Saya hanya akan kekal memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah serta Pengarah Urusan Kumpulan dan juga Penerbit (untuk akhbar Sinar Harian). Sementara Datuk Muhammad Nasir Hamzah akan kekal sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah,” katanya.

Selain itu, Hussamuddin turut memaklumkan bahawa Syamil Fahim Mohamed Fahim dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada syarikat usahasama Karangkraf-Astro, Nu IdeAktiv Sdn Bhd (Karangkraf Digital 360 Sdn Bhd) mulai 1 Mei 2018.

“Syamil Fahim akan dibantu oleh Farah Hussamuddin yang akan memegang jawatan sebagai Chief Contents Officer (CCO),” katanya.

Mohamed Izam sebelum ini, memulakan kerjayanya sebagai juruaudit di Ernst and Young sebelum bekerja dengan anak syarikat Tabung Haji – TH Technologies dan TH Global Services selama 17 tahun.

Beliau menamatkan perkhidmatannya di anak syarikat Tabung Haji sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TH Global Services. Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor selama lima tahun.

Jawatan terakhir beliau sebelum berpindah ke Kumpulan Media Karangkraf ialah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif IAP Integrated Sdn Bhd selama tiga tahun, sebuah syarikat yang mengendalikan platform berasaskan teknologi yang patuh syariah.

Sumber : Sinar Harian

IKLAN