
Dalam usaha memperkukuhkan solidariti dan sokongan terhadap komuniti pelarian, microLEAP, platform pembiayaan Peer-to-Peer (P2P) pertama di Malaysia berbesar hati taja pasukan bola sepak Sekolah Fugee.
microLEAP yang menawarkan pembiayaan Patuh Syariah dan Konvesional mengumumkan tajaan untuk pasukan bola sepak lelaki dan perempuan Sekolah Fugee bagi kejohanan Faisal Cup 2024.
Keputusan taja pasukan bola sepak ini meliputi kelengkapan lengkap seperti jersi, seluar pendek, stokin, kasut bola dan sarung tangan penjaga gol.
Satu majlis penyerahan tajaan telah berlangsung menunjukkan komitmen mendalam microLEAP untuk meningkatkan semangat dan kehidupan anak-anak pelarian.

Ketika dunia fokus kepada penderitaan pelarian Palestin dan Somalia serta komuniti terpinggir lainnya, inisiatif oleh microLEAP dan Sekolah Fugee ini memberi harapan buat anak-anak pelarian.
MERAYAKAN SEMANGAT
CEO dan pengasas microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar, menyatakan kegembiraannya semasa acara tersebut.
“Hari ini adalah lebih daripada sekadar acara penyerahan; ia adalah perayaan semangat, ketabahan, dan kecintaan terhadap bola sepak. Usaha yang dilakukan oleh Sekolah Fugee adalah luar biasa.
“Menyediakan pendidikan dan peluang kepada pelajar pelarian adalah satu misi yang sangat bermakna. Kami mahu memberi peluang kepada anak-anak ini untuk bersinar di dalam dan luar padang.”

Sebagai platform Pembiayaan P2P yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), microLEAP komited dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan alternatif dengan menghubungkan pelabur dengan peminjam.
Melalui pembiayaan P2P, microLEAP menyokong perniagaan kecil dan memajukan pertumbuhan ekonomi.
“Di microLEAP, kami percaya pada peluang. Ramai kanak-kanak dan keluarga di seluruh dunia menghadapi kesukaran yang tidak terfikir dek akal. Malah sering terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat konflik, keganasan dan penganiayaan.
“Melalui sukan, pendidikan, dan sokongan komuniti, kita boleh memberikan sedikit normaliti dan platform bagi anak-anak ini untuk bermimpi besar dan mencapai kejayaan,” tambah Tunku Danny.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, Sekolah Fugee telah menjadi mercu harapan bagi anak-anak pelarian. Ia menawarkan akses kepada pendidikan dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah, serta perkhidmatan sokongan lain.
BACA: Ryan Reynolds Berjaya Bangunkan Empayar Bisnes Bernilai RM65 Bilion, Bagaimana Dia Melakukannya?
“Sebagai organisasi bukan keuntungan dengan sumber terhad, kami amat bersyukur atas tajaan microLEAP,” kata Deborah Henry, pengasas bersama Sekolah Fugee.
Faisal Cup merupakan kejohanan sukan untuk kanak-kanak pelarian di Malaysia, memberi mereka peluang merasai kegembiraan, kesatuan dan disiplin sukan kompetitif.
Kejohanan ini dinamakan sempena Faisal, seorang kanak-kanak pelarian yang tragis lemas ketika cuba mendapatkan bola di sungai Gombak. Kisahnya menjadi peringatan tentang risiko yang dihadapi oleh kanak-kanak terpinggir setiap hari.
Untuk maklumat lanjut tentang microLEAP dan Sekolah Fugee, layari www.microleapasia.com dan www.fugee.org.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Bahaya Ambil Ubat Isotretinoin Bukan Dari Doktor Pakar Kulit

Isotretinoin adalah salah satu ubat yang digunakan secara meluas untuk merawat masalah jerawat yang teruk. Namun, pengambilannya perlu dilakukan dengan berhati-hati.
Seorang doktor pakar kulit, Dr Lim Ing Kien atau lebih dikenali sebagai Dr Ingky menekankan beberapa aspek penting mengenai pengambilan Isotretinoin yang perlu anda ketahui.
Perlu Dos & Tempoh Pengambilan Tertentu
Pertama sekali, pengambilan Isotretinoin haruslah mengikut dos dan jangka masa yang bersesuaian. Penggunaan dos yang salah atau pengambilan dalam tempoh yang terlalu lama boleh membawa kepada risiko kesihatan yang serius seperti kerosakan hati dan ginjal. Maka, amatlah penting untuk tidak mengambil ubat ini tanpa bimbingan doktor.

Perlu Penilaian Doktor Dahulu
Sebelum memulakan rawatan dengan Isotretinoin, adalah wajib untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor pakar kulit. Doktor akan menilai keadaan kulit anda dan menentukan sama ada anda memerlukan Isotretinoin atau tidak.
Jika perlu, doktor akan menetapkan dos yang sesuai dan tempoh pengambilannya. Ini kerana hanya doktor pakar yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang cara terbaik untuk menggunakan ubat ini dengan selamat.
Perkembangan Perlu Dipantau Doktor
Selain itu, ubat Isotretinoin perlu diperoleh secara eksklusif daripada doktor pakar kulit yang merawat anda. Mendapatkan ubat ini dari sumber luar, terutama melalui pembelian dalam talian, adalah sangat berbahaya.
Ubat yang dibeli dari sumber yang tidak sah mungkin tidak memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti, dan tiada jaminan bahawa ia adalah produk yang sah. Hanya doktor yang merawat anda yang boleh memantau perkembangan kulit anda dan melakukan penyesuaian dos jika perlu untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.
Dr Ingky juga menegaskan bahawa sebarang risiko buruk akibat pembelian ubat secara sendiri adalah tanggungjawab individu tersebut.
Tanpa pengawasan doktor, seseorang mungkin tidak sedar akan kesan sampingan yang boleh timbul dan bagaimana untuk menanganinya dengan betul. Pemantauan doktor adalah kunci untuk memastikan rawatan berjalan lancar dan selamat.

Secara keseluruhannya, pengambilan Isotretinoin memerlukan perhatian dan pemantauan yang rapi oleh doktor pakar kulit. Pastikan anda mengikuti arahan doktor dan tidak mengambil risiko dengan membeli ubat ini dari sumber yang tidak sah. Kesihatan kulit anda adalah tanggungjawab yang perlu diuruskan dengan bijak, dan konsultasi dengan doktor pakar kulit adalah langkah pertama yang penting dalam perjalanan ke arah kulit yang lebih sihat.
BACA: Rutin Penjagaan Kulit Wajah Untuk Pemalas
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Demi Keluarga, Lelaki Ini Rela Hidup Dalam Kereta Tiga Tahun

Demi keluarga, lelaki ini hidup dalam kereta tiga tahun demi kasih sayang sejati
Demi keluarga, lelaki ini rela hidup dalam kereta tiga tahun satu keputusan luar biasa yang mencerminkan keberanian, ketabahan dan pengorbanan seorang lelaki sejati. Dalam dunia moden yang semakin menekan dengan kos sara hidup tinggi, tindakan seorang pengatur cara komputer dari China ini membuktikan bahawa kejantanan sebenar bukan diukur dengan kemewahan, tetapi dengan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap keluarga.

Kisah inspirasi lelaki hidup dalam kereta tiga tahun
Menurut laporan, lelaki tersebut, dikenali sebagai Yin, berusia 38 tahun dan bekerja di Beijing sebagai pengatur cara komputer. Demi menjimatkan perbelanjaan dan menyara keluarganya yang tinggal di Tianjin, Yin mengambil keputusan berani untuk tinggal di dalam kereta selama tiga tahun. Setiap minggu, beliau berulang-alik sejauh 130 kilometer, memulakan perjalanan seawal 5.30 pagi setiap Isnin dan pulang ke rumah setiap Jumaat untuk bersama keluarga tersayang.
Sebelum ini, Yin menyewa sebuah flat dengan kadar 2,500 yuan (RM1,525) sebulan. Namun sejak pertengahan 2022, beliau memilih untuk beralih kepada kereta elektrik yang diubah suai menjadi tempat tinggal lengkap yang dilengkapi dengan katil, dapur kecil, malah sistem karaoke. Menurut Yin, kehidupan di dalam kereta tidak jauh berbeza daripada menginap di hotel, asalkan ada kemudahan pengecasan elektrik dan kawasan selamat untuk berehat.

Rutin harian lelaki ini penuh disiplin dan ketabahan
Rutin hariannya cukup teratur. Setiap pagi, Yin akan bangun awal, bersiar-siar di taman untuk meregangkan otot, kemudian memasak sarapan menggunakan periuk elektrik. Waktu lapangnya diisi dengan menonton televisyen, menyanyi karaoke, dan menulis program komputer sebagai kerja sampingan. Beliau biasanya tidur sekitar jam 10 atau 11 malam sebelum memulakan hari baru keesokannya.
Cabaran hidup dalam kereta tiga tahun
Namun, kehidupan minimalis ini tidak datang tanpa cabaran. Akses kepada tandas dan bilik mandi menjadi masalah utama. Pada musim panas, Yin mandi menggunakan air dari tangki yang dipasang dalam kereta. Tetapi pada musim sejuk, beliau terpaksa menaiki kereta api pulang ke Tianjin pertengahan minggu semata-mata untuk membersihkan diri sebelum kembali ke Beijing keesokan harinya.
Walaupun begitu, pengorbanannya berbaloi. Kini, kos hidup Yin jauh lebih rendah — hanya sekitar 400 yuan (RM244) untuk tol, 300 yuan (RM183) untuk pengecasan elektrik, dan 100 yuan (RM61) untuk tiket kereta api sekali jalan. Dengan cara ini, beliau dapat menyalurkan lebih banyak wang kepada keluarganya serta menabung untuk masa depan. Malah, Yin gemar membawa keluarganya bercuti dengan cara berkhemah dan tidur di dalam kereta, menjadikan gaya hidup ini satu bentuk kebersamaan yang unik.
Lelaki sejati dan definisi maskuliniti moden
Kisah Yin tular di media sosial China dan mendapat pelbagai reaksi. Ada yang menganggap beliau simbol lelaki sejati — sanggup berkorban, berdikari dan berdisiplin demi keluarga. Namun, ada juga yang bimbang terhadap kesan kesihatan serta keselesaan jangka panjang.
Apa pun pandangan, kisah Yin menjadi inspirasi buat lelaki moden. Dalam dunia yang semakin materialistik, dia membuktikan bahawa kejayaan sebenar bukan pada rumah besar atau kereta mewah, tetapi pada kekuatan jiwa dan tanggungjawab kepada orang tersayang.
Sumber : Astro Awani
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Mengapa Bandar Ipoh Adalah Tempat Wajib Untuk Bercuti?


Ipoh, sebuah bandaraya yang terkenal dengan penangan white coffeenya yang memang ‘kaw’! Siapa sangka sebuah kawasan yang pernah mengalami peristiwa hitam pada tahun 1892 ini di mana kebakaran yang sangat besar pernah berlaku mampu membangun menjadi sebuah bandar yang bukan sahaja terkenal di Malaysia, malahan di seluruh dunia.
Untuk pengetahuan anda, Ipoh pernah disenaraikan di dalam laman web pelancongan antarabangsa, Lonely Planet, sebagai satu-satunya destinasi pelancongan di Malaysia yang terbaik pada tahun 2016. Pembangunan pesat bandar Ipoh dengan pusat-pusat pelancongan, kafe-kafe dan lain-lain lagi yang tumbuh bak cendawan selepas hujan menjadikan bandar ini destinasi yang wajib dilawati. Salah satu sebab mengapa Ipoh menjadi lokasi pilihan kepada ramai para pelancong adalah kerana kemampuannya untuk mengekalkan dan memelihara warisan klasik tanpa dimakan dek peredaran zaman yang menghauskan perubahan. Banyak bangunan-bangunan klasik yang masih terpelihara dengan baik di luaran tetapi fungsi dalamannya diubah untuk mengikut keperluan semasa atau lebih tepat lagi mengikut selera anak-anak muda yang tinggal di Ipoh. Sebab ini jugalah Ipoh digelar sebagai bandar hipster Malaysia! Memang lain dari yang lain.
Bukan itu sahaja, Ipoh turut kaya dengan keindahan alam semulajadinya yang memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Tersendiri bagaimana? Kalau anda nak tahu, teruskan membaca senarai 22 tempat menarik di Ipoh.
Lost Word Of Tambun

Taman tema Lost World of Tambun ini secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu dry park dan wet park. Di dry park anda boleh meningkatkan adrenalin dengan menaiki roller coaster yang juga sesuai untuk kanak-kanak, juga terdapat rumah hantu jika anda inginkan sedikit thrill. Di samping itu, anda boleh melawat Petting Zoo yang menempatkan pelbagai jenis haiwan seperti arnab, rakun, ular, zirafah, harimau dan bermacam lagi. Terdapat juga aktiviti-aktiviti lasak seperti berakit, merentas hutan, meneroka gua, mendaki gunung dan banyak lagi.
Di wet park terdapat Jungle Wave Pool yang memiliki kolam berombak yang terbesar di Malaysia, Adventure River pula adalah di mana anda dapat mengelilingi sungai buatan yang agak panjang dengan menaiki pelampung. Aktiviti-aktiviti lain di wet park ini adalah seperti Sandy Bay, Kids Explorabay, Cliff Racer dan Tube Raiders.
Aktiviti-aktiviti ini mungkin kedengaran agak lasak, namun jangan risau, permainan-permainan ini dibahagikan mengikut kesesuaian umur dan kemampuan pengunjung, jadi datanglah bersama ahli keluarga anda ke sini untuk memberikan mereka pengalaman yang tidak akan dilupakan!
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat kecuali Khamis (11.00am – 6.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah & Cuti Umum (10.00am – 6.00pm) | Khamis (Tutup). Telefon: +605 5428888. Lokasi: No.1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh
Gua Kek Look Tong & Zen Garden

Terletak berdekatan dengan Gunung Rapat dan 5 km dari bandaraya Ipoh adalah sebuah gua batu kapur yang besar digelar Gua Kek Look Tong. Pada tahun 1960, gua ini dijadikan tapak perlombongan besi. Kini, ia merupakan tokong Buddha yang telah memenangi pelbagai anugerah kerana keindahan lanskap taman yang ada disebalik gua ini. Siapa menyangka akan diraikan dengan pemandangan yang sebegitu indah sebaik sahaja keluar daripada terowong gua ini?
Sebaik sahaja anda sampai ke taman ini, anda akan dapat mendengar keriuhan burung-burung dan angsa yang dipelihara di sini. Yang lebih menarik lagi, anda boleh beriadah di sini kerana terdapat jalan yang disediakan untuk berjogging mengelilingi dua tasik yang indah. Taman ini juga memiliki salah satu daripada laluan refleksologi pejalan kaki yang terpanjang di Ipoh.
Waktu yang terbaik untuk anda melawat gua dan taman ini adalah pada waktu pagi supaya anda dapat menikmati keindahan taman ini di samping udara yang menyegarkan.
Waktu Operasi: Setiap hari termasuk hari cuti umum (7.00am – 6.00pm)/ Telefon: +605-312-81129. Lokasi: Kek Look Tong, Gunung Rapat, Ipoh
Art of Old Town

Art of Old Town persis namanya merupakan sebuah destinasi yang dihiasi dengan ilustari-ilustrasi kreatif pada dinding-dinding bangunan di sini. Ilustrasi-ilustrasi ini telah dihasilkan oleh Ernest Zacharevic, seorang seniman yang menerima pengiktirafan dunia atas lukisan-lukisan mural yang beliau hasilkan di sini. Beliau juga turut terlibat dalam penghasilan seni jalanan di New York.
Mural dinding yang terdapat di sini diinspirasikan daripada budaya masyarakat Ipoh. Masa yang diambil untuk melihat keseluruhan Art of Old Town ini adalah lebih kurang 30 minit. Anda perlu berjalan sekitar Market Street, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Padang, Jalan Bijeh Timah dan Concubine Lane 3. Jangan lupa membawa kamera anda sekali untuk mengabadikan diri anda dengan karya-karya kreatif ini.
Taman Rekreasi Gunung Lang

Terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman yang sebelum ini dikenali sebagai Jalan Kuala Kangsar adalah sebuah taman rekreasi yang dikelilingi pemandangan alam semulajadi. Sebelum tiba ke taman rekreasi ini, anda perlu menaiki bot yang akan membawa anda menyeberangi tasik ditemani dengan lanskap indah bukit batu kapur.
Setibanya di taman rekreasi ini, anda akan dapat melihat air terjun buatan manusia di atas bukit batu kapur. Untuk anda yang membawa anak pula, taman rekreasi ini turut dilengkapi dengan taman permainan dan juga mini zoo. Selepas berjalan-jalan anda boleh menaiki menara tinjau untuk menikmati keindahan taman sepuas-puasnya sebelum pulang.
Waktu Operasi: Isnin – Khamis (8.00am – 12.00pm/1.30pm – 7.00pm) | Jumaat (8.00am – 12.00pm/2.45pm – 4.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (8.00am – 6.30pm)
Bayaran Bot: Dewasa RM3 | Kanak-kanak 3 – 12 tahun RM1.50 | Warga emas 55 tahun ke atas RM1.50. Telefon: +605-5063088. Lokasi: Taman Rekreasi Gunung Lang Off Jalan Kuala Kangsar, 30010 Ipoh
Fantasy House Trick Art

Rumah yang dipenuh dengan ilusi optikal dan magikal ini dibuka pada tahun 2015. Masa yang diambil dalam proses menyiapkan semua lukisan-lukisan ini adalah dalam sekitar empat bulan. Terdapat lapan orang pelukis yang terlibat dalam projek ini.
Fantasy House Trick Art memiliki empat bahagian yang berbeza antara satu sama lain dari segi tema mereka. Pertama adalah galeri yang memaparkan bandaraya Ipoh, yang kedua adalah bahagian rumah terbalik ataupun upside-down house, yang ketiga adalah dunia fantasi dan yang terakhir sekali bertemakan Bilik Penderaan.
Pasti anda pernah melihat bukan gambar-gambar pengunjung yang pernah datang ke tempat ini? Amat menarik. Anda juga akan dapat pulang dengan foto-foto yang pasti akan menjadi kerana kakitangan-kakitangan di sini akan membantu anda mendapatkan gambar yang sempurna secara percuma.
Bayaran Masuk: Dewasa dengan MyKad RM15 | Dewasa tanpa MyKad RM19 | Pelajar dengan kad pelajar RM10 | Warga emas 60 tahun dan ke atas RM10 | Kanak-kanak RM10 | Pemegang kad OKU Percuma
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 6.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (9.00am – 8.00pm). Telefon: +605 2550 007. Lokasi: Funtasy House Trick Art 16, Jalan Market, 30000 Ipoh.
Ipoh Railway Station

Pembinaan Stesen Keretapi Ipoh dimulakan pada tahun 1914 dan dapat disiapkan pada tahun 1917 akibat Perang Dunia Pertama yang mengakibatkan masalah bahan dan kos binaan. Bangunan yang turut diberi gelaran Taj Mahal Ipoh ini telah direka bentuk oleh seorang arkitek British bernama AB Hubback yang juga merupakan arkitek bagi Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Rekabentuk bangunan ini tidak diubah sama sekali sehingga ke hari ini, yang dilakukan hanyalah pengubahsuaian dalaman bangunan ini pada tahun 1993.
Stesen keretapi ini sangat indah bukan hanya kerana seni binanya, malahan, ia dikelilingi oleh tumbuhan bunga-bungaan tempatan yang berwarna-warni. Kecantikan lokasi ini telah menarik perhatian Hollywood untuk merakamkan filem Anna and the King lakonan Jodie Foster di sini. Untuk penginapan pula, Majestic Hotel turut berkongsi bangunan dengan stesen keretapi ini.
Lokasi: Ipoh Railway Station, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh
Kinta Riverfront

Kinta Riverfront ialah satu destinasi yang agak menarik untuk dilawati pada waktu malam kerana terdapat cahaya lampu LED yang dipasang pada pokok-pokok di sepanjang laluan sungai Kinta ini. Konsepnya sama seperti I-City di Shah Alam. Lampu-lampu berwarna-warni yang menerangi kawasan ini memberikan suasana yang agak romantik dan mengujakan. Ia memang lokasi yang sempurna untuk anda bergambar dengan yang tersayang.
Waktu Operasi: Setiap hari. Lokasi: Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh
Muzium Geologi Ipoh

Sekiranya anda suka mempelajari sesuatu yang baru, lawatilah muzium ini. Ditubuhkan pada tahun 1957, Muzium Geologi Ipoh ini merupakan tempat yang penting untuk memberi didikan kepada masyarakat tentang geologi dan geosains di Malaysia.
Penyusunan muzium ini juga adalah sangat teratur mengikut kesesuaian informasi yang disampaikan, ibarat anda membuka buku teks yang bermula dengan pengenalan dan berakhir dengan konklusi. Muzium ini terbahagi kepada tujuh bahagian iaitu dari A sehingga G. Anda akan mempelajari struktur geologi dan sejarah bumi serta bagaimana perlombongan mineral dilakukan. Di sini juga anda dapat melihat pameran pelbagai koleksi yang unik melibatkan batuan, batu permata, fosil dan mineral yang turut didatangkan dari luar negara. Tidak lupa juga pameran sampel-sampel bijih timah yang boleh ditemui di Lembah Kinta. Perjalanan anda di muzium ini akan ditutup dengan penceritaan tentang sumbangan geologi kepada manusia. Satu destinasi yang perlu anda lawati untuk menjadikan percutian anda lebih terisi lebih-lebih lagi untuk anak-anak yang mempunyai perasaan ingin tahu.
Bayaran Masuk: Percuma. Waktu Operasi: Isnin – Khamis (9.00am – 12.30pm & 2.00pm – 4.30pm) | Jumaat (9.00am – 12.00pm & 3.00pm – 4.30pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (Tutup). Telefon: +605-540 6000. Lokasi: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jalan Sultan Azlan Shah, 31400 Ipoh
Dataran MBI Food Court

Datanglah ke dataran ini sekiranya anda ingin berjalan-jalan cari makan di sekitar Ipoh. Terdapat banyak pilihan gerai dengan pelbagai jenis makanan yang dijual di sini, boleh kenyang juga perut melihat pilihan yang terlalu banyak. Contoh makanan yang anda boleh temui di sini adalah nasi kerabu ayam dara, pattaya banjir, sate kambing, char kuew teow, nasi itik, sup tulang, nasi goreng daging pedas, nasi ayam dan banyak lagi. Untuk pengetahuan anda, gerai-gerai yang terpilih sahaja yang boleh dibuka di sini, ini bermakna besar kemungkinan untuk anda berpuas hati dengan apa sahaja yang anda makan di sini.
Taman Alam Kinta (Taman Burung)

Taman Alam Kinta menempatkan lebih daripada 150 spesies burung air. Dengan keluasan 900 hektar, taman ini memiliki populasi burung air yang lebih daripada 1000 ekor. Antara spesies yang boleh dijumpai di sini adalah burung panglim, wak-wak, raja udang, bangau, toing air dan banyak lagi. Anda juga boleh menaiki menara pemerhati burung yang disediakan di taman ini untuk melihat habitat-habitat pelbagai jenis burung ini seluas pemandangan anda.
Telefon: +6012-5009400. Lokasi: Taman Alam Kinta, Kampung Pisang, Batu Gajah, Ipoh, Perak
Dataran Jam

Terletak di bahagian tengah Dataran Bandaraya Ipoh adalah sebuah menara jam yang agak tinggi dan unik sekali reka bentuknya. Untuk anda yang ingin mengisi perut yang lapar, di sekitar Dataran Jam ini anda dapat melihat banyak gerai makanan yang dibuka. Dinasihatkan supaya anda datang ke kawasan gerai ini sekitar pukul 6 petang kerana agak ramai pengunjung yang datang ke sini untuk menikmati selera.
Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh (Masjid Negeri)

Pada asalnya masjid ini dinamakan Masjid Negeri (Perak) namun pada tahun 1984, masjid ini ditukarkan namanya kepada Masjid Sultan Idris Shah II untuk memperingati Sultan Idris Iskandar Shah II yang kembali ke Rahmatullah pada tahun itu.
Terletak di Bandaraya Ipoh, masjid ini mula dibina pada tahun 1966 yang memakan belanja sebanyak RM1,840,000.00. Batu asas masjid ini telah diletakkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu pada tahun 1967.
Lokasi: Masjid Sultan Idris II, Jalan Sultan Iskandar, 30000 Ipoh
Penginapan Di Ipoh
Ipoh Bali Hotel Inside

Jika anda sedang merancang untuk bercuti ke ipoh dan berminat untuk melihat apa pilihan hotel yang menanti anda disana, kami telah menyediakan beberapa entri untuk memudahkan anda membuat pilihan. Mencari sesuatu yang istimewa? anda boleh melihat senarai 14 hotel menarik di Ipoh untuk pengalaman menginap luar biasa.
Jika anda perlukan penginapan yang memberi nilai paling baik untuk wang, anda boleh membaca senarai hotel murah di Ipoh. Amat sesuai untuk mereka yang sedang merancang percutian bajet ke Ipoh.
Bandaraya Ipoh bukan sahaja kaya dengan warisan sejarah yang dipelihara dengan baik, malahan, terdapat juga destinasi-destinasi pelancongan yang menarik yang baru dibuka dan bakal dibuka.
Untuk anda yang menjadikan fotografi sebagai hobi, jangan lupa untuk menjadikan Ipoh sebagai salah satu destinasi anda. Pelbagai lokasi yang menarik boleh dijadikan sebagai subjek ataupun latar belakang foto anda. Bandaraya yang meriah dengan bermacam tarikan seperti gerai-gerai makan, taman rekreasi, taman hiburan, lokasi-lokasi seni, dan gua-gua yang mengagumkan ini wajib dilawati untuk anda yang mendambakan satu pengembaraan yang menyeronokkan.
Akhir kata, terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk membaca senarai tempat menarik di Ipoh ini. Saya berharap, pelbagai aktiviti yang menarik yang boleh anda rancang berdasarkan senarai ini. Apa yang anda tunggu lagi? Mari kita ke Ipoh!
sumber: maisinggah.com
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang

