
Dalam dunia hiburan, wajah kacak sering dianggap sebagai tiket mudah untuk menyerlah. Namun bagi pelakon muda Syazwan Razak, dia tidak pernah menjadikan rupa paras sebagai ukuran untuk menilai dirinya. Malah, adik kepada pelakon terkenal Syafiq Kyle ini mengakui bahawa dia selesa dengan identiti sendiri dan tidak terfikir untuk menjadi seperti abangnya.
Baru-baru ini, Syazwan tampil dalam podcast Ashhrapp Channel bagi menjawab persoalan netizen yang sering membandingkan wajah dan penampilannya dengan Syafiq. Tidak dinafikan, ada segelintir pihak yang menganggap dirinya tidak setampan abangnya. Ada juga yang melemparkan komen berbentuk body shaming, menyifatkannya gemuk atau kembang.
Namun, jawapan Syazwan cukup matang dan penuh keyakinan diri.
“Bila saya muncul, orang nampak saya tak sehelok abang. Ada yang kata saya gemuk, saya kembang. Padahal saya sendiri tak pernah terfikir nak jadi macam dia,” jelasnya.
Selain isu penampilan, ada juga yang mendakwa Syazwan masuk ke dalam industri hiburan hanya kerana ‘kabel’ abangnya. Dakwaan ini sekali lagi ditolak tegas oleh pelakon muda itu.
“Yang masuk industri ini saya. Kalau nak pakai kabel abang, lama dah saya buat. Kenapa pula sekarang baru nak pakai?” katanya.
Tambahnya, segala langkah yang diambil adalah atas usaha sendiri, malah dia melihat Syafiq lebih gembira apabila dia turut berkecimpung dalam dunia seni.
“Alhamdulillah, kami saling sokong antara satu sama lain. Itu yang penting, brothers sentiasa di belakang,” ujarnya.
Bagi Syazwan, kejayaan dalam bidang seni bukan diukur dengan wajah kacak semata-mata. Apa yang lebih penting ialah bakat, disiplin, serta keaslian yang dibawa ketika menghidupkan watak. Baginya, setiap orang ada aura tersendiri, dan dia lebih selesa membina jalan sendiri tanpa perlu meniru sesiapa.
Kisah Syazwan Razak menjadi inspirasi buat lelaki di luar sana – bahawa keyakinan diri datang daripada penerimaan siapa diri kita sebenarnya. Wajah mungkin bonus, tetapi apa yang menentukan nilai sebenar seorang lelaki adalah usaha, kejujuran dan keberanian untuk terus berdiri dengan nama sendiri.
Maskulin sejati bukan tentang tampan di mata orang, tetapi tentang jati diri yang kukuh dan berani melangkah tanpa gentar dengan perbandingan.