
Dalam hidup seorang lelaki, ada waktu kita diuji pada titik paling rapuh. Saat semua perancangan tak jadi seperti yang diharapkan, dan takdir memilih jalan yang berbeza. Begitulah kisah yang kini dilalui oleh penyanyi berbakat besar, Hafiz Suip, apabila rumah tangga yang dibina selama hampir sedekad akhirnya bernoktah di Mahkamah Syariah Shah Alam, pada 29 Mei lalu.
Dengan nada tenang namun jelas menyimpan rasa yang dalam, Hafiz, 35, mengesahkan dia telah sah bercerai talak satu dengan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah, atas sebab tiada lagi persefahaman antara mereka.
“Menjawab status, saya sudah bercerai talak satu pada 29 Mei. Hak penjagaan anak-anak milik bekas isteri. Saya rasa ibu adalah insan paling layak jaga anak-anak,” ujar Hafiz.
Tidak mudah untuk seorang lelaki mengakui kekalahan dalam institusi perkahwinan. Namun bagi Hafiz, dia memilih untuk berdamai bukan hanya dengan bekas isterinya, tetapi dengan takdir hidup yang Allah tentukan.
“Saya tak mahu lawan fasal hak penjagaan anak. Sampai bila pun tak akan habis. Lebih baik kita berdamai,” katanya sambil menjelaskan kini menetap di Kuching, Sarawak.
Penyanyi lagu Awan Nano ini juga tidak mahu terjebak dalam drama berpanjangan. Apa yang lebih penting kini adalah terus menjaga silaturrahim demi anak-anak.
“Tipulah kalau saya tak fikir tentang anak-anak. Tapi mereka juga ada hidup dan jadual sendiri. Kami masih berbincang, dan saya rancang untuk jumpa mereka sebulan sekali di KL.”
Apa yang mengangkat nilai seorang lelaki sejati bukan pada berapa kuat dia menahan, tetapi pada sejauh mana dia mampu reda dan terus melangkah. Hafiz membuktikan, walaupun hatinya diuji, dia memilih untuk kekal tenang dan matang dalam menghadapi perpisahan.
“Saya tak menyesal. Semua ini pengalaman dan pengajaran paling besar dalam hidup saya. Perceraian ini takdir. Kita kena belajar reda, barulah hati tenang.”
Dalam suasana yang penuh emosi dan keinsafan, Hafiz turut berpesan kepada para lelaki di luar sana agar tidak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk berkahwin. Katanya, perkahwinan menuntut kematangan, bukan sekadar cinta.
“Kalau nak kahwin, fikir masak-masak. Kena matang..”
Salute, Hafiz. Kau dah buktikan, lelaki pun boleh kuat walau dalam diam.
Sumber : Kosmo
BACA LAGI : 8 Sebab Ramai Wanita Pilih Lelaki Duda Sebagai Pasangan, Antaranya Pengalaman Lebih Luas