Rasa sedih adalah salah satu perasaan yang normal kerana ia menggambarkan anda memiliki jiwa yang sempurna dengan penuh emosi.

Namun demikian, anda tidak digalakkan untuk bersedih lama-lama kerana ia boleh bertukar menjadi tekanan jiwa sekiranya tidak dirawat.

Sehubungan itu, khusnya bagi umat Islam, ini adalah 5 cara yang anda boleh lakukan untuk tenangkan diri pada saat anda merasakan jiwa anda kosong dan memerlukan tempat untuk mengadu :

1. Membaca Surah Yassin

Mungkin selama ini kita kurang membaca Al-Quran atau jarang sangat membuka kitab suci ini. Faktor ini menjadi salah satu sebab kita mudah untuk terganggu dan merasa tidak tenang.

Dengan kembali menghidupkan amalan itu, anda boleh menemui semula ketenangan apabila mendekati sang Pencipta.

Cuba baca Yassin selepas solat sebagai permulaan dan beransur menambah bacaan dengan membaca surah-surah yang lain selain cari masa untuk mengikuti kelas mengaji jika berkesempatan.

2. Solat Sunat Tahajjud

Bangunlah pada 2/3 malam untuk melakukan solat malam yang lebih dikenali sebagai solat sunat Tahajjud.

Tujuan solat Tahajjud adalah untuk menguatkan jiwa dan mendapatkan ketenangan dalam menghadapi dugaan hidup.

IKLAN

Amalan ini adalah antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah dan para sahabat.

Usolli Sunnatal Tahajjud Rak’ataini Lilaahi Ta’ala, Allahu Akbar.

” Sahaja aku Solat Sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala “

Pada rakaat pertama bacalah Al-Fatihah Selepas itu surah Al-Kafirun & Rakaat kedua bacalah Al-Fatihah, selepas itu surah Al-Ikhlas.

Solat Tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam.

Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat. Selepas itu berdoalah. Berdoalah apa sahaja. Adukan masalah kita direct kepada Allah. Mintalah ketenangan hati.

Jika anda kelu untuk berdoa, anda boleh amalkan doa ini:

IKLAN

اللهم اني اعوذ بك من الهم والحزن, واعوذ بك من العجز والكسل, واعوذ بك من الجبن والبخل, واعوذ بك من غلبة الدَّين وقهر الرجال

‘Allahumma innee A’oothu bika minal hammi wal hazan, wa a’outhu bika minal ajzi wal kasal, wa a’outhu bika minal jubni wal bukhl, wa a’outhu bika min ghalabatid deyni wa gahrir rijal.’

(Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kebimbangan dan kepiluan. Aku berlindung kepadaMu dari ketidakupayaan dan kelalaian. Aku berlindung kepadaMu dari perbuatan pengecut dan sifat kedekut. Dan aku mencari perlindungan dariMu daripada hutang dan penindasan manusia)

3. Banyakkan Istigfar Dan Berzikir

Istigfar dan zikir adalah senjata paling kuat untuk menenangkan diri. Lebih-lebih lagi sekiranya zikir itu menusuk tepat di hati. Jika ada masa terluang, anda boleh amalkan zikir seperti :

“La haula wala quwwata illa billah” (Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah)

IKLAN

Hasbunallaah wa ni’mal wakiil (Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baiknya Pelindung)

4. Elakkan Mendengar Lagu Bertema Kekecewaan

Ini penting kepada mereka yang baru sahaja mengalami putus cinta / tunang, sila hindari dari suasana yang boleh membuatkan anda sebak.

Elakkan mendengar lagu yang bertemakan putus cinta & kecewa kerana anda ingin menenangkan hati, bukan ingin menyesakkan hati kan?

Jangan menabur garam diatas luka kerana ianya pedih. Biarlah dahulu luka itu sembuh.

5. Sentiasalah mengingati Allah

Ini yang paling penting sekali. Sentiasa mengingati Allah dan yakinlah dengan sepenuh hati bahawa Allah maha mengetahui dan sentiasa bersama kita walaupun apa pun.

Apa yang membuat kita sedih, Allah lebih Maha Kuasa Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kita.