Sepanjang 10 edisi berlangsungnya Pencarian Dewi Remaja, ini kali pertama gelaran juara Dewi Remaja 2018/2019 yang disandang oleh Sharifah Haneesya Sayed Sahlan ditarik semula berikutan kontroversi video yang tular beberapa hari lepas.
Penarikan gelaran Dewi Remaja 2018/2019 ini dibuat oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd yang juga pemilik jenama Dewi Remaja, selepas pihak pengurusan mendapati Haneesya Hanee telah melanggar syarat-syarat penyertaaan.
Setiap peserta juga sudah sedia maklum dan menandatangani syarat-syarat untuk tidak mempamerkan perlakuan tidak senonoh di khalayak ramai, sebagaimana yang termaktub dalam kontrak di awal penyertaan.
Menurut Editor Majalah Remaja, Faiz Aimman, pihak pengurusan tiada kompromi dalam insiden ini kerana ia melibatkan bukan sahaja reputasi peserta, malah reputasi jenama Dewi Remaja dan Majalah Remaja sebagai penganjur dan pemilik jenama Dewi Remaja.
“Selain penarikan gelaran ini, Haneesya Hanee bersama dua lagi finalis Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Faizni Fazreen Fazeera Faizul dan Erni Nurshahira Khairul Nizam tidak dibenarkan menggunakan gelaran ‘finalis Dewi Remaja’ untuk sebarang aktiviti seni mereka di masa akan datang,” ujar Faiz dalam sidang akhbar yang berlangsung tengah hari tadi.
Dengan berlakunya penarikan gelaran, ini bermakna tiada gelaran Dewi Remaja 2018/2019 untuk musim kali ini. Kedudukan Tia Sarah masih kekal di tempat kedua dan dia akan mewakili nama Dewi Remaja untuk sebarang aktiviti bersama Sherin Amiri pemenang tempat ketiga, Arena Iman sebagai Dewi Favourite dan Aween Ismail sebagai Dewi Inspirasi.
Menurut Faiz Aiman lagi, tiada sesiapa di antara mereka yang akan menyandang gelaran Dewi Remaja 2018/2019 kerana pemenang pada malam tersebut jelas milik Haneesya Hanee. Namun berikutan insiden yang berlaku, pihak pengurusan memutuskan untuk tidak menempatkan sesiapa sebagai pengganti demi menjaga kredibiliti Dewi Remaja.
Bagi menjawab kontroversi yang melanda gadis berusia 19 tahun ini, Haneesya Hanee nyata kesal dan merakamkan jutaan maaf dengan insiden yang melibatkan dirinya, selain berharap netizen berhenti menyalahkan ibunya.
“Hanee mengaku itu memang salah Hanee, Hanee mengaku itu perbuatan Hanee dan Hanee sedar dengan keputusan yang telah Hanee buat. Hanee dah terima keputusan yang dibuat untuk tarik balik gelaran dan itu memang sewajarnya. Sebelum keputusan penarikan gelaran, Hanee sendiri sudah bersedia untuk memulangkan gelaran tersebut.
“Hanee mengakui tiada manusia yang sempurna. Dan ketidaksempurnaan ini akan dipikul oleh Hanee. Hanee harap Hanee akan diberi peluang kedua,” katanya lagi.
Keberanian gadis ini untuk memikul tanggungjawab harus diberi pujian. Sebagai manusia, kita tidak seharusnya terus menghukum kerana tiada seorang pun manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan.
“Untuk perancangan masa akan datang, Hanee akan move forward dan ingin memperbaiki diri sendiri dahulu, selain meneruskan apa yang Hanee buat selama ini. Hanee tak akan berputus asa dan Hanee rasa semua orang berhak untuk mendapat peluang kedua,” jelas Haneesya Hanee yang sudah pun mendapat kontrak modeling selepas kemenangannya Ahad lalu.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI