
Selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tempatan dengan pelbagai lagu ikonik yang terus menjadi siulan ramai, kumpulan Spider akhirnya bakal meraikan perjalanan seni mereka menerusi sebuah konsert berskala besar yang dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti tahun hadapan.
Diberi nama ‘Spideraya’, konsert istimewa tersebut akan berlangsung pada 26 September 2026 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bermula jam 8.30 malam. Ia bukan sekadar sebuah konsert biasa, sebaliknya sebuah perayaan yang menghimpunkan perjalanan muzik Spider bersama para peminat yang setia menyokong mereka sejak penghujung 1990-an.
Buat pertama kali dalam sejarah kumpulan itu, Spider akan tampil dalam sebuah persembahan berskala mega yang meraikan keseluruhan legasi muzik mereka, daripada album Ngam Ho yang diterbitkan pada tahun 1998 sehinggalah ke album Ankabut yang dilancarkan pada 2016.

Lebih Daripada Sekadar Sebuah Konsert
Menurut penganjur, B7 Resources Sdn Bhd, nama Spideraya dipilih bagi melambangkan satu perayaan yang meraikan keseluruhan perjalanan seni kumpulan yang dianggotai oleh Tam, Aie, Iss dan Pown.
Wakil penganjur, Khairul Afizi atau lebih dikenali sebagai Khai berkata, Spider mempunyai kedudukan yang cukup istimewa dalam industri muzik tanah air dan tidak memerlukan pengenalan panjang untuk membuktikan kredibiliti mereka.

“Kami di B7 Resources Sdn Bhd tidak memerlukan alasan yang lebih besar daripada jenama Spider itu sendiri untuk menganjurkan Spideraya pada 26 September 2026 ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
“Spider adalah kugiran legenda tanah air. Katalog muzik mereka daripada zaman album Ngam Ho di tahun 1998 sehingga Ankabut yang lahir pada 2016, sekitar 10 tahun lalu masih relevan sehingga satu dekad kini tanpa karya baharu.
“Spider juga tidak perlu ‘menjual’ kugiran dan karya mereka dengan terlalu keras tetapi melalui kualiti dan kredibiliti mereka, Spider terus menjadi salah sebuah kugiran terbaik yang ada dalam ranah muzik tanah air,” jelasnya lagi.
Beliau turut menyifatkan penganjuran Spideraya sebagai satu acara yang sudah lama dinantikan peminat dan berpotensi menjadi antara konsert terbesar kumpulan itu sepanjang karier mereka.
Lagu-Lagu Ikonik Yang Menyatukan Generasi
Apa yang menjadikan Spider kekal relevan sehingga hari ini ialah kekuatan katalog muzik mereka yang berjaya merentas generasi.
Lagu-lagu seperti Relaku Pujuk, Aladin, Mungkinkah Terjadi, Kita Satu, Nazrakui, Kacap Terlabik dan Ngam Ho masih terus dimainkan di radio, platform digital serta menjadi pilihan peminat ketika sesi karaoke.
Menurut Khai, kekuatan karya-karya inilah yang menjadikan Spideraya lebih daripada sekadar persembahan muzik.
“Kami percaya baik gen Milenial sehingga gen Z, semua pernah mendengar Aladin, Relaku Pujuk, Mungkinkah Terjadi atau Kacap Terlabik.
“Maka Spideraya menggambarkan keseluruhan fasa karya Spider sejak 30 tahun lalu yang masih malar segar dan relevan.”
Beliau turut menyifatkan Spider sebagai antara kugiran tempatan yang layak diraikan menerusi sebuah persembahan berskala besar kerana pengaruh mereka yang masih kuat dalam industri muzik tempatan.
Spider Janji Persembahan Yang Akan Diingati
Sementara itu, vokalis Spider, Tam mengakui keputusan untuk menjayakan Spideraya dibuat selepas perbincangan yang teliti bersama pihak penganjur.
Menurutnya, kumpulan tersebut sentiasa memastikan setiap persembahan yang dilakukan mempunyai impak dan meninggalkan kesan kepada peminat serta industri hiburan secara keseluruhan.

“Visi dan misi yang dibawa B7 Resources dalam penganjuran Spideraya sangat selari dengan Spider.
“Menghiburkan peminat atau mengadakan sebuah persembahan tanpa meninggalkan impak yang besar dan sejarah dalam industri hiburan itu mungkin mudah.
“Tetapi apa yang Spider selalu pentingkan dalam setiap kemunculan kami selama berkarya ini adalah bagaimana kesan baik yang ditinggalkan bukan sahaja kepada kami atau peminat tetapi keseluruhan industri hiburan.”
Tambah beliau, Spider melihat diri mereka bukan sekadar penghibur, tetapi juga pemain industri yang serius dalam setiap projek yang dijalankan.
“Kerana walaupun ini adalah industri hiburan tetapi Spider adalah pemain industri yang serius.
Maka kami serius dalam setiap kerja yang dilakukan, apa lagi membabitkan penganjuran konsert berskala besar seperti Spideraya yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, 26 September 2026.
Spider akan membawakan konsep ‘perayaan’ yang tidak akan pernah dilupakan.”
BACA: 5 Kesan Jangka Panjang Bila Tidur Tak Cukup Sebab Tengok Bola
Tiket Sudah Mula Dijual
Bagi peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada sejarah Spideraya, tiket kini boleh dibeli menerusi platform Ticket2U.
Antara kategori yang ditawarkan ialah KITA SATU (RM148), ALADIN (RM158), NGAM HO (RM168), ANKABUT (RM208), BINTANG 12 (RM238) dan kategori premium NAZRAKU pada harga RM268.

Dengan reputasi Spider yang masih kukuh dan beberapa siri konsert terdahulu yang mendapat sambutan hangat, Spideraya dijangka menjadi salah satu acara muzik tempatan paling mendapat perhatian pada tahun 2026.
Bagi peminat setia yang membesar dengan lagu-lagu Spider, konsert ini bukan sekadar peluang menyaksikan persembahan secara langsung, tetapi juga satu malam untuk mengimbau nostalgia, meraikan perjalanan muzik dan menjadi sebahagian daripada sejarah sebuah kugiran yang sudah lebih 30 tahun menghiburkan rakyat Malaysia.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




