
Demam Formula 1 jelas masih kuat dalam kalangan peminat sukan permotoran tempatan apabila Tiket MADANI serendah RM200 bagi perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober ini telah habis terjual.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata sambutan yang diterima cukup tinggi sebaik sahaja sistem jualan dibuka kepada orang ramai.
Menurut beliau, maklumat daripada pihak SIC menunjukkan tiket pada harga istimewa itu mendapat permintaan tinggi daripada rakyat Malaysia, sekali gus memberi gambaran betapa besarnya minat peminat tempatan untuk menyaksikan sendiri aksi perlumbaan berprestij tersebut.
“Setakat hari ini (tiket MADANI) memang dah terjual dengan secara keseluruhan, tetapi kita akan melihat juga sekiranya ada ruang dan keperluan untuk tambahan (tiket MADANI) dan sebagainya. Kita akan umumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Bagi peminat yang terlepas peluang mendapatkan Tiket MADANI, berita tersebut mungkin masih memberikan sedikit harapan.
Walaupun keseluruhan peruntukan tiket berkenaan sudah habis dijual, kerajaan bersama pihak berkaitan akan melihat kemungkinan menyediakan tambahan sekiranya terdapat ruang dan keperluan.
Harga bermula RM200 menjadikannya antara peluang lebih mampu milik untuk peminat tempatan merasai sendiri suasana perlumbaan F1 dari kawasan litar.
BACA: New Era Masuki Dunia Larian, Perkenal Koleksi RUNNER ERA Untuk Pelari Aktif
Permintaan tinggi itu juga menunjukkan acara sukan permotoran berskala besar masih mempunyai pengikut tersendiri di Malaysia, terutama apabila akses tiket ditawarkan pada harga lebih rendah.
Mohammed Taufiq berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Innovation Development Through Educational Activities (iDEA’26) dan jelajah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Institusi Latihan Kemahiran Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) Zon Timur 2026 di Dewan Tun Razak.
Sumber: BERNAMA
