
Bintang Hollywood, Tom Cruise, dilaporkan membuat keputusan mengejut untuk meninggalkan apartmen mewah bernilai £35 juta (RM188.6 juta) miliknya di One Hyde Park, London, selepas merasakan kawasan itu tidak lagi selamat.
Keputusan tersebut dikaitkan dengan satu insiden rompakan bersenjata yang berlaku di sebuah kedai Rolex di bawah bangunan apartmen berkenaan, sekaligus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di antara lokasi paling eksklusif di ibu kota Britain.
Menurut sumber terdekat Tom Cruise, pelakon berusia 63 tahun itu kini merancang untuk kembali ke Amerika Syarikat selepas serangan tersebut mengubah pandangannya terhadap kehidupan di London.
“Kejadian ganas itu mengesahkan kekurangan keselamatan mencukupi di sekitar apartmen mewah di London. Dia dulu suka berjalan di kawasan itu, tetapi dia rasa bandar ini semakin tidak selamat sejak dua tahun kebelakangan ini,” kata sumber tersebut.
Kedai Bucherer menjadi sasaran enam perompak bersenjata yang menggunakan parang, tukul besar dan kecil, serta peralatan khas untuk memecahkan kaca tebal.
Mereka turut mengugut pengawal keselamatan sebelum melarikan sekitar 20 jam tangan mewah Rolex. Serangan itu hanya berlangsung kira kira tiga minit sebelum kumpulan terbabit meloloskan diri menaiki motosikal.
Tom Cruise sebelum ini terkenal dengan rutin larian pagi di Hyde Park, yang terletak betul betul bertentangan dengan apartmennya.
Beliau juga sering dilihat menaiki helikopter dari Battersea Heliport ke kawasan desa England, menjadikan London bukan sekadar lokasi kerja, tetapi juga tempat rehat peribadi.
Media tempatan Britain turut melaporkan pekerja dilihat mengeluarkan barangan peribadi Cruise dari apartmen tersebut susulan keputusan mendadaknya untuk berpindah.
“Dia cintakan London dan gaya hidupnya di situ. England adalah pusat kerja dan tempat privasinya, tetapi peningkatan jenayah membuatkan dia berfikir semula untuk terus tinggal di Knightsbridge,” tambah sumber berkenaan.
Walaupun dikenali sebagai kawasan elit, Knightsbridge dan Belgravia kini menyaksikan peningkatan kes jenayah melibatkan kumpulan motosikal yang menyasarkan pelancong dan penduduk kaya.
Statistik Metropolitan Police menunjukkan sebanyak 295 jenayah direkodkan di kawasan tersebut pada November 2025 sahaja, hampir separuh daripadanya berlaku berhampiran Harrods.
Beberapa butik mewah turut menjadi sasaran rompakan serupa sejak kebelakangan ini.
Kawasan itu juga dikejutkan dengan insiden tragik tahun lalu apabila seorang lelaki berusia 24 tahun, Lou Stevens, maut ditikam berhampiran hotel Park Tower Knightsbridge. Pembunuhnya masih belum dikenal pasti.
Tom Cruise sebelum ini sering menyatakan kekagumannya terhadap budaya Britain dan keindahan London.
Dalam satu wawancara bersama Mirror pada 2022, beliau berkata, “Saya suka berjalan di jalanan London dan melihat mercu tanda bersejarah, serta kawasan desa Britain seperti yang sering digambarkan dalam filem Amerika.”
Sejak berpindah ke UK pada 2021, Cruise turut menghadiri pelbagai acara besar termasuk Platinum Jubilee Ratu Elizabeth, Wimbledon, Grand Prix Britain, serta konsert Adele dan The Rolling Stones di Hyde Park.
BACA: Penganjur Makar Fest XL Mohon Maaf Isu Tarian Penonton Tular Di Media Sosial
Beliau juga diraikan bersama selebriti terkenal seperti David Beckham, Gordon Ramsay dan James Corden.
Insiden ini mencerminkan kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat di beberapa kawasan paling eksklusif di London.
Bagi figura berprofil tinggi seperti Tom Cruise, keputusan meninggalkan kehidupan mewah di Knightsbridge menunjukkan bahawa walaupun status dan lokasi premium, faktor keselamatan tetap menjadi keutamaan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.