
Impian seorang pempengaruh permotoran untuk membaiki kereta sendiri bertukar menjadi insiden penuh misteri dan kebimbangan, apabila dia dilaporkan hilang selepas kenderaan yang dipandunya ditemui tenggelam di Sungai Tui, Bukit Kepong, petang Selasa lalu.
Mangsa yang dikenali ramai dalam komuniti permotoran sebagai Ija Nizaruddin, atau nama sebenarnya Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, kali terakhir dilihat meninggalkan rumahnya di Jalan Setia Indah 7/6, Johor Bahru kira-kira jam 9.30 pagi dengan hasrat untuk ke Parit Bakar, Muar bagi membaiki kenderaan peribadinya.
Menurut laporan Sinar Harian, kenyataan rasmi Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihaknya menerima maklumat dari orang awam sekitar jam 3 petang Selasa berkenaan penemuan sebuah kereta berwarna putih yang tenggelam di Sungai Tui, berhampiran kawasan ladang kelapa sawit.
Hasil siasatan awal mengesahkan kenderaan berkenaan adalah milik Ija, sekali gus mencetuskan kebimbangan besar di kalangan keluarga, rakan dan peminatnya.
“Kenderaan dikenal pasti sebagai milik mangsa yang dilaporkan keluar untuk membaiki kereta,” jelas Raiz Mukhliz.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh serta Muar, dengan kerjasama Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) kini sedang giat menjalankan operasi mengeluarkan kenderaan dan mengesan mangsa.
Walaupun kereta berjaya dikenal pasti, keadaan Ija masih belum diketahui sehingga malam Selasa. Operasi SAR (Search and Rescue) diteruskan tanpa henti, merangkumi pencarian di sekitar sungai dan kawasan berhampiran.
Pemergian mengejut ini mencetuskan gelombang simpati dan kebimbangan di kalangan komuniti peminat kereta dan pempengaruh automotif. Ija dikenali sebagai seorang yang ‘hands-on’, gemar membaiki kereta sendiri dan sering berkongsi tips, ulasan dan modifikasi menerusi akaun media sosialnya.
Beberapa pempengaruh terkenal termasuk rakan konten telah mula berkongsi semula video dan gambar Ija sebagai tanda solidariti dan harapan agar dia ditemui dengan selamat.
Pihak polis menyeru agar orang ramai yang mempunyai maklumat segera tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Muar di talian 06-9564800 atau hadir ke balai polis berdekatan.
Dalam masa yang sama, masyarakat diingatkan untuk tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman atau menyulitkan usaha pencarian.
Kami di MASKULIN turut merakamkan simpati dan doa buat keluarga Ija Nizaruddin. Semoga segalanya dipermudahkan dan mangsa ditemui dalam keadaan selamat.