Fesyen

Trend Baju Melayu Perincian Pelik, Hun Haqeem Anggap Perkara Itu Tidak Beradab

Share

PETALING JAYA – Melihatkan trend baju Melayu dimodenkan kebanyakan pereka fesyen dengan perincian pelik, pelakon Hun Haqeem melabel perbuatan tersebut sebagai tidak beradab.

Hun atau nama lengkapnya Haqeem Hermy, 26, menegaskan orang Melayu mempunyai kesopanan tinggi yang harus dijaga lebih-lebih lagi dalam menonjolkan identiti baju Melayu.

“Saya kecewa apabila tengok pereka fesyen mereka baju Melayu yang jarang seolah-olah sudah melanggar erti kemelayuan.

“Tiada songkok pun tak lengkap sebab sebagai orang Melayu kita terkenal dengan sifat sopan santun, beradab dan beradat.

“Kalau tunjuk ‘asam keping’, tak jadi beradablah. Apa-apa pun berbalik kepada kita punya asas dan rumpun siapa kita,” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis pelancaran filem Game Of Life The Movie, baru-baru ini.

Dalam masa sama, pelakon drama Kampung People itu beranggapan baju Melayu tidak perlu dimodenkan supaya menjaga nilai estetika baju tradisional terbabit.

Usah Calarkan Nilai Kesopanan Melayu

“Kalau nak memodenkan sesuatu kena pergi kepada asas.

“Nak buat sesuatu kalau calarkan kesopanan Melayu akan rosak juga nama bangsa Melayu. Benda macam itu kena jaga.

“Boleh nak ikut gaya Barat tetapi bila lagi mahu ambil peluang tunjuk dekat luar sana bahawa baju Melayu adalah pakaian seragam kita,” ujarnya lagi.

Kata Hun lagi, dia akan berkongsi pandangan tersebut supaya orang ramai lebih peka dengan keaslian Melayu.

“Baju Melayu ini macam sut. Rasa tampan kalau pakai lengkap.

Sebelum ini, ramai pereka fesyen memperagakan persalinan rekaannya bersempena hari raya Aidilfitri.

Ada juga di antara pereka fesyen yang sanggup ‘melacurkan’ identiti baju Melayu demi menampakkan hasil rekaan segar. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo!

BACA: Serangan Konsert Moscow: Ratusan Berjaya Selamat Kerana Remaja Ini

 

 

IKLAN