Berita

Legenda Kedah, Nelson San Martin Dedah Derita Tunggakan Gaji, “Pertarungan Paling Sukar Dalam Hidup Saya”

Share

Nama Nelson San Martin bukan asing dalam dunia bola sepak Malaysia. Bekas tonggak import Kedah yang pernah mencipta sejarah dalam era kegemilangan ‘double treble’ kini kembali menjadi perhatian, namun bukan kerana aksi di atas padang, sebaliknya kisah getir yang sedang dilaluinya.

Nelson San Martin yang berasal dari Chile itu yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal Kedah Darul Aman FC mendedahkan dirinya berdepan masalah tunggakan gaji Kedah yang masih belum diselesaikan, sekali gus memberi kesan besar kepada kehidupan peribadi dan keluarganya.

Menurut Nelson San Martin, beliau sudah lebih dua bulan tidak menerima bayaran, dengan kali terakhir hanya menerima sebahagian kecil daripada gajinya pada 10 Januari lalu. Sejak itu, segala usaha untuk menghubungi pihak kelab dikatakan tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Saya masih berada di Malaysia dan terikat kontrak, tetapi seperti ditinggalkan tanpa komunikasi atau sokongan daripada kelab,” jelas Nelson San Martin menerusi satu hantaran di Facebook.

“Pertarungan Paling Sukar Dalam Hidup Saya”

Dalam perkongsian yang sama, beliau turut meluahkan betapa situasi ini menjadi antara detik paling sukar dalam hidupnya.

“Saya tidak pernah menyangka pertarungan paling sukar dalam hidup saya adalah berjuang dalam diam, hanya untuk terus hidup dan memberi makan kepada keluarga saya,” tulisnya.

Isu tunggakan gaji Kedah ini menurutnya bukan sahaja melibatkan kontrak semasa yang ditandatangani pada November 2025, tetapi juga bayaran tertunggak daripada kontrak terdahulu yang dimeterai setahun sebelumnya.

Kesan Kewangan dan Emosi Yang Berat

Kesan daripada masalah kewangan ini bukan kecil. Sebagai seorang ketua keluarga, San Martin mengakui beliau kini berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan asas, termasuk membayar sewa rumah dan menyara keluarga.

“Saya kini berdepan isu undang undang yang serius di Chile yang memerlukan perhatian segera, namun saya seolah olah terperangkap di sini.

Saya seorang bapa dan pencari nafkah, tetapi ketika ini saya dan keluarga hanya berjuang untuk melalui setiap hari. Kami kekurangan keperluan asas manusia yang paling minimum,” jelasnya.

Foto: FB Nelson San Martin

Situasi ini menunjukkan bagaimana tunggakan gaji Kedah bukan sahaja memberi kesan kepada kewangan, malah memberi tekanan emosi yang mendalam kepada individu terlibat.

Rayuan Kepada Pengurusan Kelab

San Martin turut membuat rayuan agar dapat bertemu secara bersemuka dengan pemilik kelab, Daud Bakar, bagi menyelesaikan isu ini secara baik.

“Saya hanya memohon maruah untuk satu perbualan secara langsung bagi menyelesaikan perkara ini dengan penuh hormat. Saya sentiasa menghormati kelab ini sepenuhnya, dan saya hanya meminta penghormatan yang sama sebagai balasan,” katanya.

Beliau berharap isu tunggakan gaji Kedah ini dapat diselesaikan secara profesional tanpa perlu berpanjangan.

Sumbangan Besar Kepada Kedah

Untuk rekod, San Martin merupakan antara tonggak penting Kedah ketika meraih kejayaan bersejarah ‘double treble’ pada tahun 2007 dan 2008, apabila pasukan itu menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA selama dua musim berturut turut.

Beliau juga pernah kembali menyarung jersi Kedah pada tahun 2013 sebelum dilantik sebagai Pengarah Teknikal pada 2024, satu peranan penting dalam pembangunan pasukan.

Walaupun berdepan situasi sukar, San Martin tetap menunjukkan rasa cinta yang mendalam terhadap Malaysia, yang disifatkannya sebagai rumah kedua.

“Saya tidak menganggap diri saya sebagai legenda. Saya hanyalah seorang lelaki yang memberikan sepenuh hati dan jiwa saya kepada bola sepak Malaysia dan negeri Kedah.

Satu satunya harapan saya adalah untuk terus menyumbang, kini sebagai seorang jurulatih,” jelas Nelson San Martin lagi.

Kenyataan ini jelas mencerminkan dedikasi dan keikhlasan seorang pemain yang bukan sekadar datang sebagai import, tetapi benar benar menganggap Malaysia sebagai sebahagian daripada hidupnya.

Sokongan Penyokong dan Keadaan Semakin Kritikal

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong dan rakan rakan yang tidak putus memberikan sokongan sepanjang beliau melalui detik mencabar ini.

Sebagai usaha terakhir, Nelson San Martin juga dilaporkan berkongsi kod Touch n Go eWallet miliknya bagi mendapatkan bantuan kewangan daripada orang ramai, satu langkah yang menggambarkan betapa kritikalnya keadaan yang sedang dihadapinya akibat tunggakan gaji Kedah.

BACA: Benarkah Larian Menyebabkan Kecederaan Serius Pada Lutut?

Kini, tumpuan terarah kepada pihak pengurusan Kedah Darul Aman FC untuk memberikan respons dan mencari penyelesaian terbaik terhadap isu ini.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim