
Foto : Daily Sabah
Usain Bolt, legenda olahraga yang pernah digelar “manusia terpantas di dunia”, kini berdepan hakikat usia.
Pada usia 39 tahun, sekadar menaiki tangga pun boleh membuatkan bekas jaguh pecut dunia itu tercungap-cungap.
Walaupun masih kelihatan sihat secara fizikal, Bolt mengakui dirinya tidak lagi seperti dahulu.
Bolt, yang meraih lapan pingat emas Olimpik dan 11 kali juara dunia, bersara pada 2017 selepas memecah rekod dunia 100 meter, 200 meter dan 4×100 meter.
Namun kini, beliau lebih banyak meluangkan masa di rumah berbanding di trek.
Dalam temubual bersama The Guardian, Bolt mendedahkan rutin hariannya jauh berbeza dengan zaman kegemilangannya.
“Biasanya saya bangun pagi untuk hantar anak ke sekolah. Kalau tiada apa-apa kerja, saya hanya berehat. Kadang-kadang bersenam kalau ada mood. Selebihnya saya tonton siri atau filem, dan kini saya minat bina Lego. Bila anak-anak pulang, saya luangkan masa dengan mereka… sampai mereka mula menyakitkan hati, saya pergi. Kemudian saya hanya duduk di rumah dan layan movie,” katanya sambil ketawa.
Baru-baru ini, Bolt hadir ke Kejohanan Dunia dan duduk di ruangan khas stadium.
Walaupun sudah bersara lapan tahun, auranya masih terasa.
Walaupun nama-nama baharu seperti Oblique Seville muncul sebagai juara dunia 100 meter, tiada siapa yang mampu menandingi populariti dan catatan masa Bolt.
Bagi generasi baharu, termasuk tiga anaknya Olympia Lightning (5 tahun), serta pasangan kembar Saint Leo dan Thunder (4 tahun) mereka masih belum benar-benar faham betapa besarnya nama sang ayah dalam dunia sukan.
Bolt bercadang membawa mereka ke Beijing, lokasi lahirnya karier gemilangnya pada Olimpik 2008, untuk memperkenalkan kisah legasinya sendiri.
BACA LAGI : 13 Jam Menguji Ketahanan, Syed Saddiq Tamatkan Cabaran Ironman Dunia 2025
Bolt mengakui tubuhnya kini tidak lagi sekuat dahulu.
Walaupun masih melakukan senaman gim, beliau sedar sudah tiba masanya untuk kembali berlari agar tahap kecergasannya lebih baik.
“Saya banyak buat workout di gim. Tapi bila naik tangga pun dah semput, saya rasa perlu mula lari balik. Sekurang-kurangnya beberapa pusingan trek supaya pernafasan saya kembali normal,” katanya.
Masa mungkin telah meragut kelajuan legenda ini, namun nama Usain Bolt tetap terpahat sebagai ikon terbesar dalam sejarah olahraga dunia.
Usain Bolt, lahir pada 21 Ogos 1986 di Jamaica, merupakan atlet pecut terhebat dalam sejarah sukan olahraga.
Beliau memegang rekod dunia 100 meter (9.58 saat) dan 200 meter (19.19 saat) yang masih belum dapat dipecahkan sejak Olimpik 2009 di Berlin.
Sepanjang kariernya, Bolt meraih lapan pingat emas Olimpik dan 11 gelaran juara dunia, menjadikannya ikon global yang mengangkat nama olahraga ke tahap populariti luar biasa.
Gaya larian unik, personaliti ceria, serta gaya “Lightning Bolt” selepas kemenangan menjadikan dirinya legenda yang dikenang hingga kini.
Sumber : Hindustan Times
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.