
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) secara rasmi memperkenalkan Volkswagen Tayron serba baharu, sebuah SUV tujuh tempat duduk yang direka untuk memenuhi keperluan keluarga moden dengan gabungan prestasi, teknologi dan keselesaan premium.
Dipasang secara tempatan di kilang Volkswagen di Pekan, Tayron hadir dalam dua varian iaitu Elegance dan R-Line. Varian Elegance ditawarkan pada harga bermula RM189,890, manakala R-Line kini dibuka untuk pratonton dengan anggaran harga antara RM259,000 hingga RM269,000.
Tayron Elegance menggunakan enjin 1.5L eTSI mild hybrid yang menghasilkan 150PS dan 250Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan sistem 48-volt mild hybrid serta teknologi Active Cylinder Management (ACTplus) yang membantu meningkatkan kecekapan bahan api dengan menyahaktifkan dua silinder ketika pemanduan ringan.
Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih agresif, Tayron R-Line pula dibekalkan dengan enjin 2.0L TSI turbo berkuasa 265PS dan 400Nm, lengkap dengan sistem pacuan semua roda 4MOTION AWD untuk tahap cengkaman dan kestabilan lebih tinggi.
Kedua-dua varian menggunakan transmisi DSG tujuh kelajuan serta sistem Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro) yang melaras suspensi secara automatik mengikut keadaan jalan bagi memberikan keseimbangan antara keselesaan dan prestasi.
Sebagai SUV tujuh tempat duduk, Tayron menawarkan ruang kabin fleksibel dengan kapasiti kargo sehingga 1,905 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat.
Tempat duduk hadapan Varenna Leather ergoActive Plus turut dilengkapi pelarasan elektrik 12 hala, fungsi pengudaraan, pemanas serta urutan pneumatik menggunakan 10 kusyen udara untuk meningkatkan keselesaan sepanjang perjalanan jauh.
Dari segi hiburan, Tayron Elegance menerima paparan infotainmen Discover bersaiz 12.9 inci, manakala R-Line hadir dengan skrin Discover Pro Max 15 inci. Kedua-duanya menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, selain dipadankan dengan paparan Digital Cockpit Pro bersaiz 10.25 inci.
Volkswagen turut melengkapkan Tayron dengan rangkaian sistem bantuan pemandu IQ.DRIVE, termasuk Adaptive Cruise Control, Travel Assist, Lane Assist, Front Assist, Side Assist, Rear Traffic Alert serta Park Assist Plus.
SUV ini juga menerima penarafan keselamatan lima bintang Euro NCAP, selain dilengkapi sembilan beg udara termasuk beg udara tengah hadapan yang membantu mengurangkan risiko kecederaan ketika pelanggaran sisi.
BACA: Xiaomi EV Cipta Sejarah Di Nurburgring, Catat Pusingan Rasmi Pertama Dunia Tanpa Pemandu
Bersempena sambutan Hari Kebangsaan, Volkswagen menawarkan pakej eksklusif kepada 69 pemilik pertama Tayron.
Pakej tersebut merangkumi penyelenggaraan percuma selama tujuh tahun, perlindungan kemalangan diri dan kunci kereta secara percuma, selain peluang memenangi percutian mewah selama tiga hari dua malam.
Menurut Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia, Renate Noessler, Tayron dibangunkan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah mengikut fasa kehidupan mereka.
Dengan kedudukan di antara Tiguan dan Touareg dalam barisan SUV Volkswagen, Tayron dilihat mampu menjadi pilihan baharu buat mereka yang mahukan SUV premium dengan ruang lebih besar, teknologi moden dan pengalaman pemanduan yang seimbang untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.