
Dalam dunia automotif premium, nama Volvo sering sinonim dengan keselamatan, inovasi dan gaya kekal relevan sepanjang zaman. Terbaru, jenama asal Sweden ini mengukuhkan lagi reputasinya dengan memperkenalkan wajah baharu Volvo XC60, model SUV terlaris mereka yang kini tampil lebih premium, sporty dan intuitif.
Bagi keluarga urban di Malaysia yang mahukan keseimbangan antara keselesaan, teknologi dan kelestarian, XC60 bukan lagi sekadar pilihan. Ia kini dianggap sebagai ekspresi pernyataan gaya hidup.
Dengan lebih 2.7 juta unit terjual di seluruh dunia dan lebih 6,200 unit dimiliki di Malaysia, XC60 membuktikan ia kekal sebagai di antara SUV pilihan utama pengguna.
Pelancarannya pada 9 September 2025 hadir selepas kejayaan pengenalan model flagship EX90 dan XC90.
Kini, dengan reka bentuk yang disegarkan, sistem suspensi udara Volvo dan teknologi terkini, XC60 bersedia memikat hati mereka yang mahukan pengalaman pemanduan sofistikated tanpa kompromi.
“XC60 kekal sebagai model paling popular kami di Malaysia, dan dengan alasan yang kukuh,” jelas Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Chris Wailes.
“Ia mewakili segala yang Volvo perjuangkan iaitu rekaan elegan, keselamatan tanpa kompromi, serta fleksibiliti rangkaian kuasa.
“Sama ada pelanggan memilih plug-in hybrid atau mild hybrid, XC60 adalah cara kami menawarkan pemanduan sofistikated dan lestari untuk setiap gaya hidup,” tambahnya lagi.
Model terbaru Volvo XC60 ditawarkan dalam dua varian elektrifikasi iaitu XC60 T8 AWD Plug-in Hybrid (anggaran RM367,888) dan XC60 B5 AWD Mild Hybrid (anggaran RM333,888).
Kedua-duanya direka untuk memenuhi gaya hidup moden, sama ada menempuh kesesakan kota atau melancong hujung minggu secara spontan.
Bagi anda yang mementingkan kelestarian, XC60 T8 AWD Plug-in Hybrid menawarkan sehingga 89 kilometer pemanduan elektrik penuh (WLTP) – sesuai untuk perjalanan harian bebas emisi.
Apabila diperlukan, enjin petrolnya menghasilkan lebih 450Nm tork, menjadikan pemanduan jarak jauh tetap responsif dan berkuasa.
Sementara itu, XC60 B5 Mild Hybrid menawarkan kecekapan tanpa perlu pengecasan, menggunakan tenaga brek semula untuk menyokong enjin petrol, sekaligus mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi.
Reka bentuk XC60 disegarkan dengan gril mesh diagonal baharu, lampu belakang gelap, serta rim moden yang menyerlahkan identiti Scandinavia ringkas tetapi berkeyakinan. Pilihan warna eksklusif seperti Forest Lake
dan Bright Dusk menambah tarikan premium.Bahagian dalaman pula memberi fokus pada keselesaan. Tempat duduk yang sering diiktiraf sebagai antara paling selesa dalam segmennya digabungkan dengan sistem suspensi udara Volvo.
Ia kini ditawarkan secara percuma untuk varian plug-in hybrid bagi tempoh terhad. Penapis udara pintar yang mampu menyingkirkan sehingga 95% partikel berbahaya memastikan kabin sentiasa segar dan bersih untuk seisi keluarga.
Setiap perincian kabin dipertingkatkan dengan rekaan ergonomik, daripada pengecas tanpa wayar yang diposisikan semula, pemegang cawan yang direka baharu, hinggalah ruang kargo fleksibel yang sesuai untuk kegunaan harian.
Paparan bebas 11.2 inci dengan Google built-in menjadikan penggunaan lebih mudah, lengkap dengan Google Maps, Google Assistant, Spotify dan Waze. Bagi penggemar audio, sistem Bowers & Wilkins High Fidelity memberikan pengalaman bunyi setaraf konsert.
BACA: Dashboard Cover Boleh Jadi Punca Klaim Insurans Ditolak
Dengan gabungan elektrifikasi, keselamatan pintar, keselesaan dan teknologi mesra pengguna, refreshed Volvo XC60 terus mengekalkan statusnya sebagai SUV premium paling lengkap di pasaran.
Refreshed Volvo XC60 bukan sekadar sebuah SUV. Ia lambang evolusi gaya hidup moden — elegan, selamat, lestari dan penuh inovasi. Volvo Car Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa dalam dunia SUV premium, XC60 kekal sebagai juara sebenar.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.