
Kerajaan Selangor memperkenalkan dasar bekerja dari rumah atau WFH sebagai langkah awal yang dilihat pantas dan strategik dalam menangani kesan krisis tenaga global yang semakin meruncing. Inisiatif ini diumumkan sebagai respons kepada konflik Asia Barat yang memberi tekanan besar terhadap bekalan tenaga dan harga barangan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan dasar bekerja dari rumah ini akan bermula 15 April, melibatkan penjawat awam pada hari Selasa hingga Khamis setiap minggu.
Pelaksanaan WFH Selangor Kurangkan Beban Ekonomi
Menurut beliau, pelaksanaan ini di peringkat kerajaan negeri Selangor bukan sahaja bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api, malah mampu membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan produktiviti penjawat awam dalam situasi mencabar ini.
Langkah ini turut dilihat sebagai pendekatan praktikal dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, selain memberi ruang kepada penjawat awam menyesuaikan diri dengan norma kerja lebih fleksibel.
Beliau turut memaklumkan bahawa dasar ini akan dinilai secara bulanan bagi memastikan keberkesanannya. Dalam masa sama, sektor swasta juga digalakkan mempertimbangkan pendekatan sama mengikut kesesuaian operasi masing-masing.
Sokongan Teknologi Digital Diperkukuh
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan ini di Selangor, kerajaan negeri bersedia memperkukuh penggunaan teknologi digital dalam semua jabatan. Ini termasuk memastikan sistem komunikasi, pengurusan data dan penyampaian perkhidmatan awam terus berjalan lancar tanpa gangguan.
“Kerajaan Selangor juga akan menghentikan perjalanan rasmi ke luar negara bagi semua jabatan, kecuali bagi urusan berkaitan promosi pelaburan dan pelancongan dari luar negara ke Selangor,” katanya.
Langkah Penjimatan & Penyusunan Semula Belanjawan
Langkah penjimatan turut diperluaskan apabila kerajaan negeri memutuskan untuk menghentikan perjalanan rasmi ke luar negara bagi semua jabatan, kecuali yang berkaitan dengan promosi pelaburan dan pelancongan.
Menurut Amirudin, pendekatan ini penting bagi memastikan ekonomi tempatan terus stabil serta peluang pekerjaan rakyat tidak terjejas.
“Ini bagi memastikan ekonomi tempatan, industri sokongan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Selangor terus terpelihara. Di peringkat kerajaan negeri, setiap jabatan perlu menyelaraskan usaha dan program serta beroperasi dalam mod krisis.”

Selain itu, Belanjawan Selangor 2026 juga akan disemak semula dengan memberi keutamaan kepada kos sara hidup, bantuan kepada golongan terjejas serta sokongan kepada industri.
Penubuhan Pasukan Khas Krisis Tenaga
Kerajaan negeri turut menubuhkan Selangor Energy Crisis Special Task Force bagi menangani cabaran ini secara menyeluruh. Pasukan ini melibatkan pakar daripada pelbagai sektor termasuk ekonomi, tenaga, industri, makanan, perbankan dan akademik.
Pasukan ini akan dipengerusikan oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim, bersama tokoh lain termasuk Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dan Datuk Mohamed Rafiq Merican.
“Pasukan khas ini akan mencadangkan langkah segera untuk mengurangkan kesan kepada rakyat serta merangka pelan tindakan sehingga setahun sekiranya konflik ini berterusan.”
Kesan Global & Kepentingan WFH
Menurut Amirudin, konflik yang menjejaskan Selat Hormuz memberi kesan besar kepada rantaian bekalan global, termasuk sumber tenaga, baja untuk pengeluaran makanan serta bahan penting dalam sektor kesihatan dan teknologi.
Krisis ini secara langsung memberi tekanan kepada harga barangan dan kos sara hidup rakyat, menjadikan pedekatan WFH di Selangor sebagai salah satu langkah mitigasi awal yang signifikan.
Kerajaan negeri dijangka mengumumkan fasa pertama langkah mitigasi dalam tempoh dua minggu bagi membantu rakyat Selangor menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.
BACA: 10 Petanda Anda Kini Bukan Lagi Pelari Beginner
Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat Selangor untuk bersatu dan bekerjasama dalam menghadapi cabaran ini, terutama dalam isu berkaitan tenaga global.
Langkah Awal Lindungi Ekonomi Negeri
Langkah-langkah yang diambil termasuk pelaksanaan WFH di negeri Selangor dilihat sebagai usaha awal untuk melindungi ekonomi domestik daripada kesan gelombang global yang tidak menentu.
Dalam landskap semasa, pendekatan pantas, fleksibel dan strategik seperti ini menjadi kunci untuk memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Sumber: Astro AWANI
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




